Home > Hajj 1432H > Gua Hira’: Menjejak Uzlah Rasulullah

Gua Hira’: Menjejak Uzlah Rasulullah

Nota Penting:

  1. Mendaki Jabal Nur dan bersolat di atasnya atau di dalam gua hira’, bukanlah suatu tuntutan agama, dan tidak dijanjikan apa-apa fadhilat tertentu. Bagaimanapun, semangat ingin menjejak apa yang Rasulullah telah lalui, merasai penat lelahnya, mengambil pedoman dan berazam melaksanakan sunnahnya adalah suatu yang bermanfaat, semoga diberi ganjaran sebaiknya oleh Allah SWT.
  2. Beruzlah (memencilkan diri) bukanlah sebahagian daripada tuntutan agama. Rasulullah tidak pernah beruzlah sebagaimana uzlah baginda di Gua Hira’ setelah baginda dilantik menjadi Rasul.

Menjadi kebiasaaan di kalangan kita untuk merasa sedikit bangga apabila menjejakkan kaki ke tempat yang ada sejarahnya yang panjang, atau tempat berlakunya sesuatu yang signifikan, contohnya: apabila berdiri di Old Trafford, kita mungkin akan berkata, inilah padang tempat bermainnya Ryan Giggs, atau Alan Shearer atau mana-mana lagenda bolasepak Man U. Demikian juga halnya dengan peminat All Blacks bila tiba di Canterbury atau peminat tenis di Roland Garros atau Wimbledon. Demikian juga halnya bila kita berada di Westminster Abbey, atau Eiffel Tower, Hollywood dan sebagainya. Menjejakkan kaki ke tempat-tempat seumpama ini tentunya memberikan nostalgia yang tersendiri.

Alhamdulillah, dalam beberapa ketika berada di Makkah selepas musim haji, saya berpeluang melawat beberapa tempat yang selalu kita baca dalam kitab-kitab seerah.

Pengalaman mendaki Gua Hira’ meruapakan antara pengalaman yang istimewa. Gua Hira’ terletak kira-kira 5 kiloemeter daripada Masjidil Haram (jarak dikira berdasarkan kiraan garis lurus menggunakan Google Map) atau kira-kira 8km mengikut jalanraya yang terhampir.

Pendakian Gua Hira’

Gua Hira’ masih berada di dalam kawasan Tanah Haram. Perjalanan kami ke Gua Hira bermula kira-kira jam 3.00 petang. Dalam perjalanan kami, kedengaran berkumandang azan asar iaitu kira-kira jam 3.15 petang. Setibanya di kaki Bukit Nur (Jabal Nur), kami solat asar di sebuah masjid kecil di kaki bukit. Kami sempat solat berjemaah dengan penduduk tempatan di situ, yang cuma memulakan solat asar secara berjemaah kira-kira jam 3.45 petang, apabila ramai jemaah telah sampai ke Masjid.

Pendakian ke gua hira’ amat mecabar secara fizikalnya kerana bukitnya curam. Walaupun banyak anak tangga telah dibuat untuk memudahkan pengunjung, namun kesukaran mendaki anak-anak tangga itu masih terasa. Terlintas juga, bagaimana agaknya Rasulullah mendaki bukit ini sepanjang siri uzlah baginda di Gua Hira’.

Kami pernah diberitahu oleh Ust Halim yang memimpin kami sepanjang berada di tanah suci tentang pendakian Gua Hira’; Pada ketinggian lebih kurang setengah pendakian akan ada pondok menjual minuman, dan mungkin kita berpeluang ternampak bagaimana kotak-kotak minuman itu dipikul mendaki bukit tersebut, dan bagaimana peti sejuk tempat menyipan minuman itu di angkat ke atas sana.

Saya dan isteri hampir-hampir membatalkan niat kami untuk mendaki hingga ke puncak, apabila kami ternampak seorang nenek tua berbangsa turki yang sudah bongko tiga masih terus mendaki walau dengan bertongkat. Tidak kurang juga di kalangan mereka yang sedang mendaki turun memberi kata-kata perangsang supaya kami meneruskan pendakian.

Akhirnya, kami tiba juga di pondok menjual minuman. Walaupun dalan backpack yang saya bawa telah tersedia bekal air zamzam sejuk dari masjidil-haram, kami terasa sangat-sangat memerlukan tenaga baru daripada air minuman yang manis. Amat menakjubkan saya, apabila air minuman dalam tin yang disimpan dalam peti sejuk di pertangahan bukit itu masih sama harganya dengan air minuman di kaki bukit. Tiada eksploitasi di sini. Mungkin mereka sekadar mengharapkan pahala membantu orang lain yang dalam kesusahan, itu fikir saya.

Sebaik selesai menghirup minuman kami meneruskan pendakian. Antara yang menguatkan motivasi kami untuk terus berjalan ialah pasangan Haji Fuad dan Hajjah Nadzrah yang usia mereka telah lebih dari pada 50 tahun, hampir-hampir dua kali ganda usia kami, namun masih terus mendaki jauh di hadapan kami. Semoga Allah terus memberkati usia dan nikmat kesihatan kepada mereka.

Kami tiba jua di puncak Jabal Nur kira-kira jam 5.15 petang, kira-kira setengah jam sebelum masuk waktu Maghrib. Masih ramai manusia di sana, dan gua hira’ masih penuh dengan manusia yang hendak melihat tempat Rasulullah bertafakur, memisahkan diri daripada masyarakat Arab Jahiliyyah, mengenangkan nasib masyarakat yang kian jauh daripada ajaran Nabi Ibrahim dan mencari kebenaran daripada Allah yang Esa.

Pintu Gua Hira'

Kelihatan orang berpusu-pusu di hadapan pintu gua hira' (gambar di ambil dari puncak Jabal Nur)

Di puncak bukit itu, ada beberapa pondok yang dibina, ada yang siap dengan bangku dan dengan latarbelakang permaidani untuk sesiapa yang berhajat mengambil gambar (dengan sedikit bayaran), ada ruang untuk orang solat dan ada yang menjual pelbagai barangan seperti tasbih, batu-batu permata, cincin, inai dan lain-lain.

Permandangan matahari terbenam dari puncak itu cukup cantik, dengan cahaya daripada lampu ‘spotlight’ masjidil haram boleh dilihat di kejauhan. Mungkin inilah sebab Rasulullah memilih tempat ini, gua yang tenang, tersorok dari hiruk-pikuk kota Makkah, tetapi masih kelihatan dikejauhan, sambil bertemankan alam semesta cipataan Allah, langit, mentari, batu-batu dan burung-burung.

Permandangan matahari terbenam dari puncak jabal Nur; kelihatan Menara Jam Makkah dan Perkarangan Masjidil Haram disebelah kanan gambar.

Kami solat Maghrib di puncak itu. Itulah solat yang istimewa bagi saya.

Selesai solat, kami mengisi masa di puncak Jabal Nur dengan sedikit Tazkirah oleh Ust Hasan Halim yang mengingatkan kami mengenai peristiwa Wahyu Pertama yang di terima oleh baginda Rasulullah di Gua Hira’ ini.

Tazkirah Maghrib

Antara isi penting pengisian Ust Hasan:

  1. Peristiwa turun Wahyu Pertama
  2. Pengasingan Jiwa daripada segala bentuk Jahiliyyah: walaupun secara zahirnya kita berada dalam dunia yang dipenuhi unsur-unsur Jahiliyyah
  3. Pentingnya ilmu dalam urusan agama: IQRA’

Perjalanan menuruni Jabal Nur pada waktu malam, dengan dibantu cahaya lampu suluh drpd handphone agak mencabar. Terlintas di fikiran, bagaimanakah Rasulullah bergegas turun daripada bukit ini, dalam keadaan tergesa-gesa, cemas dan terkejut dengan kunjungan pertama Jibril sehinggalah baginda bertemu Khadijah radiallahuanha, sambil meminta diselimutkan; zammiluuni, zammiluuni, zammiluuni…. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW.

Sambungan: Apa signifikannya Gua Hira’ & Penurunan Wahyu Pertama

Categories: Hajj 1432H
  1. izz masayu
    January 8, 2012 at 8:31 pm

    terima kasih atas catatan pengalaman… sy akan jadikannya salah satu sumber rujukan

  1. No trackbacks yet.

Leave a comment