Archive

Archive for the ‘Aktiviti’ Category

Wacana Peradaban: Kedudukan Orang Melayu Dalam Model Baru Ekonomi

February 22, 2012 Leave a comment

Wacana Peradaban:Kedudukan Orang Melayu dalam Model Baru Ekonomi

Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk bersama-sama menjayakan siri wacana peradaban Ikatan Muslimin Malaysia.

Dalam perbualan saya dengan salah seorang panelis sebelum majlis bermula, beliau bertanya kenapa ISMA berminat membincangkan tajuk ini. Jawapan saya, kita mahu supaya ahli ISMA mengambil tahu dan mendapat maklumat mengenai apa yang berlaku disekeliling, walaupun hal tersebut di luar bidang kepakaran masing. Tambahan pula, isu dasar ekonomi semasa ada kesan langsung kepada semua ahli masyarakat.

Antara perkara paling membuka mata saya adalah apabila statistik yang dibentangkan menggambarkan betapa jauhnya jurang ekonomi bangsa Melayu disebalik kepesatan pembangunan negara, walaupun setelah hampir 40 tahun perlaksanaan dasar ekonomi yang memberi beberapa keistimewaan kepada bangsa Melayu telah berjalan. Bukan sahaja matlamat merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan mengubah identifikasi kegiatan ekonomi berasaskan kaum tinggalan penjajah tidak berhasil, malah lebih malang lagi apabila dasar inilah yang turut menyumbang kepada realiti ekonomi semasa, tanpa menafikan beberapa kesan positif dasar-dasar tersebut.

Model baru ekonomi dirangka dengan mengambil kira beberapa realiti ekonomi;

  1. Jurang antara pencapaian ekonomi semasa dengan sasaran yang digariskan dalam Wawasan 2020.
  2. Kedudukan ekonomi negara berbanding negara serantau pasca Krisis Kewangan Asia 1997.
  3. Kadar pertumbuhan ekonomi semasa yang berada pada aras antara 5-6% yang jauh lebih rendah daripada sebelum Krisis Kewangan Asia.
  4. Kesan daripada globalisasi dan liberalisasi ekonomi dunia.
  5. Kegagalan dasar-dasar ekonomi sebelum ini untuk mencapai matlamat masing-masing.

Tuntasnya, MBE akan lebih mengutamakan pencapaian, persaingan, meletak prinsip ekonomi mendahului perkiraan kaum.

MBE merupakan satu “wake up call” kepada bangsa Melayu bahawa mereka perlu bangkit mempersiapkan diri untuk bersaing dalam pasaran terbuka, berasaskan merit dan tiada lagi “tongkat” yang memberi false impression bahawa Melayu sudah maju.

Saya merasakan bahawa bangsa Melayu tidak ada pilihan lain melainkan untuk menghadapi realiti ekonomi ini.

@KKIA, KK, Sabah

Advertisements
Categories: Aktiviti, Bangsaku

Konvensyen Fiqh Ummah 2012: sekalung penghargaan

February 19, 2012 Leave a comment

K-Fiqh @ PWTC semasa majlis perasmian

Tahniah di ucapkan kepada para penganjur Konvensyen Fiqh Ummah 2012, yang terdiri daripada iluvislam, Zaharuddin.net, Telaga Biru dan Mantop Training Consultancy.

Konvensyen yang membariskan para ilmuan Islam yang telah dikenali seperti Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Dr Zaharuddin, Dr Zahazan dan Ust Zamri “Mantop”, juga menampilkan beberapa tokoh muda yang saya percaya memiliki potensi yang besar untuk menyumbang kepada dakwah Islam di negara kita. Secara peribadi, saya amat tertarik dengan Ust Fauwaz Fadzil yang pertama kali saya saksikan secara ‘live’. Ketokohan beliau dari segi gaya bicara dan isinya apabila membentangkan tajuk “Wasatiyyah dalam Turath (ilmu warisan Islam)” amat saya kagumi. Semoga beliau terus maju mencorak arus dakwah negara ini. Para asatizah lain yang tidak saya sebutkan di sini juga tidak kurang hebatnya. Terus-terang, kehadiran saya ke konvensyen ini memperkenalkan saya kepada sesetengah daripada mereka, yang sama sekali belum saya kenali sebelum ini. Alhamdulillah.

K-Fiqh Ust Ahmad Fauwaz Fafzil

 

Sedikit kesimpulan yang saya kutip dari setiap slot, sekadar nota ringkas daripada saya:

Wasatiyyah: Wasatiyyah bukan sekadar bermaksud kesederhanaan, malah sama sekali tidak bermaksud memberi ruang kompromi dalam perkara yang telah thabit, hukum yang telah pasti dan pegangan yang telah muktamad. Wasatiyyah juga memberi makna terbaik, paling hampir dengan sunnah Rasulullah, terpilih dan Islam itulah jalan wasatiyyah. Ekstreme dalam melebih-lebihkan dan juga terlampau bermudah-mudah bukanlah jalan wasatiyyah.

Wasatiyyah dalam Aqidah: dalam isu aqidah, jalan wasatiyyah mengambil berat kepda kesepakatan dalam perkara usul aqidah, dan berlapang dada dalam isu “furu’/cabang” dalam aqidah. Perbezaan dalam perkara furu’ tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan apatah lagi mengkafirkan.

Wasatiyyah dalam Dakwah: Dalam dakwah, pendekatan wasatiyyah memberi penekanan kepada “dakwah bil hikmah” dalam ertikata hikmah yang sebenar. Hikmah bukan semata-mata lembut, tetapi yang lebih tepat ialah “cara yang terbaik yang paling sesuai dengan keadaannya/realiti/waqi'”

Wasatiyyah dalam Turath/khazanah ilmu warisan Islam: Pendekatan wasatiyyah di sini mengiktiraf dan menghargai warisan ilmu Islam dan jasa para alim ulama lampau. Warisan ini perlu sentiasa dirujuk oleh mereka yang mendalami ilmu agama. Adapun, disiplin-disiplin dan metodolgi yang benar adalah amat perlu dalam berinteraksi dengan kita-kitab turath, dengan mengambil kira tiada ulama yang maksum disamping adab-adab apabila membincangkan kelemahan dan membuat pembetulan di mana yang perlu.

Wasatiyyah dalam Muamalah Harta; pendekatan wasatiyyah mengiktiraf kewujudan institusi kewangan hari ini dan juga penggunaan wang kertas “fiat money” di samping menerima kelemahan yang ada. Usaha pembaikan dan pengenalan sistem mumalah Islam perlu dibuat secara berterusan, disamping pengenalan sistem alternatif seperti dinar emas.

Wasatiyyah dalam Penyucian Jiwa: Mengambil kira aliran-aliran tasauf yang bersumber kepada nas yang shahih. Adapun, keramat, wali, ilham dan  mimpi tidak boleh diambil sebagai hujah atau sumber hukum.

Wasatiyyah dalam Ibadah: Ibadah dalam ertikata yang luas, yang merangkumi seluruh aspek kehidupan tanpa meringan-ringankan sebarang tuntutan yang wajib dan berlebih-lebihan dalam mengejar redha Allah.

Wasatiyyah dalam kefahaman teks al-quran dan hadith: keperluan kepada disiplin dan metodologi yang benar dalam mengambil pengajaran dan beramal dengan teks al-quran dan hadith.

Wasatiyyah dalam Siasah/Politik: kepentingan adab dalam berpolitik. Matlamat akhir politik adalah menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Wasatiyyah dalam gaya hidup: Gaya hidup Islam yang wasatiyy dalam ruang lingkup hukum syarak, tanpa berlebih-lebihan dalam keduniaan atau langsung menolak kesenangan dunia.

Semoga usaha para asatizah ke arah mendidik umat ke jalan Islam yang syumul ini mendapat ganjaran sewajarnya daripada Allah.

Secara peribadi, saya amat mengalu-alukan usaha mencari kesepakatan dalam isu beragama ini, mencari titik persamaan dan mewujudkan satu persekitaran yang harmoni untuk perkembangan ilmu dan perbahasan ilmiah. Adapun, sebagaimana bidang professional yang lain, kedudukan para asatizah dan kepakaran dalam bidang masing-masing amatlah perlu dihormati dan ditegakkan. Saya amat terkesan dengan pendekatan Hasan Al-Banna dalam menyatukan kefahaman Islam dalam ruang lingkup Usul 20, yang pada saya amat selari dengan aliran wasatiyyah ini.

Categories: Aktiviti, Sharing

3 event besar hujung minggu ini

Categories: Aktiviti

Dua event besar this weekend! Jangan ketinggalan

July 12, 2010 1 comment

Karnival Larian Islami, Kekeluargaan & Kesihatan

Konsert Demimu Al-Aqsa

Categories: Aktiviti

Belia Kita, Kitalah belia itu!

March 24, 2010 Leave a comment

Belia  secara takrifnya  berumur antara 17 hingga 40 tahun. Satu julat umur yang besar yang mengumpulkan satu kelompok yang sangat signifikan dalam sesebuah masyarakat.  Apabila kita memerhatikan masayarakat kita pada hari ini, maka sebahagian besar permasalahan dalam masyarakat bahkan negara kita hari ini adalah masalah yang melibatkan golongan belia.

Mari kita senaraikan beberapa contoh masalah yang selalu kita dengar, masalah gejala social, seks bebas luar nikah, rempit dengan pelbagai aksinya, masalah budaya lepak, penagihan dadah, kes-kes jenayah seperti rogol  dan jenayah-jenayah seksual yang lain kebanyakannya melibatkan golongan ini. Gejala hiburan berlebihan, tidak serius, membazirkan masa, juga  melibatkan golongan belia. Masalah kekurangan kualiti tenaga kerja, pengangguran,  kegagalan  memenuhi pasaran pekerjaan dan kegagalan dalam akademik juga melibatkan golongan belia, Malah bagi saya, permasalahan kurang cemerlangnya pencapaiaan Negara dalam bidang sukan juga adalah masalah belia.

Menjadi salah seorang belia hari ini, saya tertanya-tanya kenapa segala ini berlaku kepada generasi belia hari ini dan di manakan punca silapnya. Bukan untuk menuding jari  mencari salah silap sesiapa, tetapi untuk cuba mencari penyelesaiaannya. Mengenalpasti punca masalah adalah sebagian drpd usaha ke arah menyelesaikan sesuatu masalah itu. Kenapa negara kita dan masyarakat kita gagal melahirkan generasi belia yang berkualiti?

Dari website KBS: Anugerah belia 2007, belia bagaimanakah yg kita impikan?

Saya tertanya-tanya ke manakah hilangnya potensi sebenar yang ada pada belia? Bukankah belia seharusnya mempunyai ciri-ciri tertentu seperti tinggi idealismenya, tidak takut akan cabaran, tidak mudah menyerah kalah dan sanngup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya? Sejarah bangsa kita juga penuh dengan karektor-karektor belia berjiwa besar. Bukankah sebahagian besar tokoh-tokoh pimpinan negara kita adalah tokoh belia pada zaman mudanya? Tun Mahathir, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi merupakan tokoh belia di zaman mereka.  Dalam bidang sukan juga kita tidak kurang hebatnya. Tokoh sukan kita pernah mencabar pentas dunia pada zaman mereka, biarpun negara baru sahaja merdeka. Kalau kita telusuri sejarah kita sehingga ke zaman kegemilangan bangsa melayu Islam pada kurun kelima belas, maka tentu lebih ramai lagi tokoh belia untuk kita angkat sebagai ‘role model’ kepada generasi belia hari ini.

Apakah yang telah membunuh potensi sebenar belia hari ini? Pada hemat saya, jawapan kepada soalan ini terkandung dalam cara bagaimana generasi hari ini dibesarkan dan suasana pembesaran mereka. Generasi yang lahir ketika negara terjajah membesar dengan memiliki daya juang yang diasuh untuk memperjuangkan kemerdekaan. Generasi yang lahir dalam suasana sukar akan diasuh untuk bekerja keras untuk keluar daripada belenggu kesusahan. Namun generasi yang lahir dalam keadaan serba senang akhirnya gagal menghargai nikmat kesenangan itu. Ini bukan sekadar sangkaan malah antara penemuan kajian yangmelihat bagaimana sebuah perniagaan keluarga selalunya tidak dapat berkembang ‘beyond the third generation’.

Lalu apakah agenda yang akan menjadi penggerak (motive for action) generasi belia hari ini. Mereka lahir merdeka, kebanyakannya hidup senang dan tiada apa lagi yang perlu diperjuangkan? Bagaimana untuk menanamkan daya juang kalau sememangnya tiada lagi istilah perjuangan dalam hidup mereka? Bagaimana mengajar belia supaya sanggup bersusah kalau semua perkara mereka perolehi tanpa perlu bersusah payah? Lalu dalam situasi ini ke manakah dihalakan tenaga yang bayak yang ada pada belia? Ke manakah dicurahkan segala kemampuan untuk belajar sesuatu yang baru yang ada pada belia? Ke manakah diletak semangat yang tinggi yang ada pada belia?

Oreintasi kehidupan masyarakat

Saya melihat apa yang berlaku kepada generasi belia hari ini adalah terjemahan kepada orientasi hidup masyarakat itu sendiri. Penekanan melampau terhadap pencapaian akademik semata-mata bagi saya terlah membunuh potensi belia. Mana mungkin pencapaian keseluruhan generasi itu diukur dengan satu kayu ukur semata-mata? Ukuran pencapaian akademik bagi saya gagal memperlihatkan potensi sebenar sebuah generasi. Perlumbaan untuk mencapai pencapaian akademik semata-mata, telah mengakibatkan perlumbaan dalam satu sudut potensi manusia, sehingga mengabaikan sudut-sudut yang lain. Kita dapat lihat generasi muda kita tidak lagi bersungguh-sungguh dalam perkara selain akademik seperti kesukanan, kesenian, kecemerlangan sahsiah,  kepemimpinan, kemahiran dan keushawanan, sedangkan bidang-bidang ini juga perlu dititikberatkan dalam pembangunan sebuah generasi.

Orientasi hidup yang terlalu menekankan unsur kebendaan juga bagi saya membunuh potensi belia. Kalaulah nilai kejayaan di terjemahkan semata-mata kepada nilai matawang, maka banyak perkara akan hilang nilaian sebenarnya. Perkara seperti kemuliaan peribadi, keperihatinan terhadap masyarakat sekeliling, sensiviti terhadap masalah umat, ringan tangan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang perlu tentunya tiada nilai matawang. Apatah lagi, saya selalu dengar pesanan sesetengah ibubapa apabila anaknya terlibat dengan banyak aktiviti persatuan semasa di kampus, kata mereka “jangan pedulikan sangat hal-hal lain tu, yang penting study betul-betul, nanti boleh dapat kerja yang bagus.” Alangkah malangnya.

Cara fikir “video game”

Satu lagi penyakit yang pada saya member impak yang sangat besar kepada generasi hari ini ialah gabungan perkembangan teknologi yang tidak diimbangi dengan perkembangan modal insan. Teknolgi maklumat memberi banyak kebaikan kepada generasi ini, namun jika tidak diimbangi dengan kewarasan akal dan tidak dibatasi dengan lingkungan budaya dan agama, maka generasi kita seolah tidak mampu memilih maklumat apa yang dicari dan diakses. Kecanggihan teknologi juga banyak mengubah cara generasi belia mengisi masa terluang. Sukan pada generasi ini cuma bersukan di alam maya, virtual reality dengan segala gadjet yang ada. Kita dapat lihat, peminat sukan dan penggiat sukan tidak mengeluarkan setitik peluh pun dalam permainan mereka. Semangat juang generasi ini cuma ada dalam game “RPG” dan kecerdasan generasi ini cuma dalam game-game strategi. Kedua-dua ini; kepesatan maklumat yang ‘available’ dan cara fikir yang diperoleh daripada permainan alam maya ini menyumbang kepada cara fikir generasi hari ini. Dalam permainan video game, segala perkara boleh di cuba, “try and error”, kalau silap tekan sahaja “restart”, semua perkara boleh di ulang semula. Peluang atau ‘life’ yang ada boleh diulang semula. Semua ini membentuk cara fikir dan cara mereka berinteraksi dengan alam reality. Seolah-olah semua perkara boleh di cuba, dan jika tak suka restart sahaja. Saya nampak cara fikir ini dalam cara generasi belia kita menangani masalah dalam alam kerjaya, dalam rumahtangga, dalam bergaul dengan rakan-rakan dan dalam kehidupan mereka. Mereka lupa, mereka muda cuma sekali. Hidup tidak boleh diundur semula walau sesaat. Tidak semua kesilapan boleh di “undo” , minda dan hati tidak boleh di “format” semula daripada apa yang telah dilalui. Dalam bahasa statistic, tak semua keputusan kita pada sesuatu masa itu “mutually independent”; tidak berkait dengan keputusan-keputusan yang telah di buat sebelumnya.

Inilah cabaran generasi belia hari ini. Cabaran yang berbeza di setiap zaman memerlukan ‘approach’ yang berbeza, walaupun kaedah asalnya tetap sama. Kaedah asal mengenai jiwa manusia yang perlukan agama tetap sama, kaeadah perlunya kepada seruan kepada kebaikan dan usaha mencegah kemaksiatan tetap sama. Manusia tetap manusia yang hidup dan akan mati, selanjutnya akan dipertanggungjawabkan segala amalan mereka.

Inilah cabaran PEMBINA. Mencari penyelesaian kepada masalah belia, dan mengangkat potensi sebenar belia. Penyelesaian daripada belia untuk generasi belia.

Categories: Aktiviti, Life Notes, Sharing

Coretan2 Pasca KoBANNA

February 5, 2010 Leave a comment
Categories: Aktiviti, Sharing

Pasca KOBANNA: Kenapa ISMA membincangkan tajuk ini

February 5, 2010 10 comments

Alhamdulillah, sudah hampir seminggu Kobanna berlalu, bermacam-macam komen yang saya dpt baca sama ada di alam cyber atau di dunia nyata.

Antara yang saya tergerak utk respon ialah soalan di atas. apa kaitan ISMA sbg sebuah NGO Islam dalam isu Agenda bangsa, dan apa kaitan agenda bangsa dengan Hassan Al-Banna.

Saya mahu menjawab persoalan ini dengan melihat evolusi ISMA itu sendiri, sejak saya mengenali ISMA. Semoga dengan ini, mereka yang agak asing dengan ISMA dapat melihat ke mana hala tuju ISMA dan apa penyelesaian yang kami bawa untuk umat ini.

Tulisan ini agak panjang, yang saya coretkan pasca AGM ISMA 2009.

******************************************************************

Pasca AGM ISMA 31 Jan 2009

Segala puji bagi Allah SWT yang telah mengatur setiap sesuatu dengan sebaik-baik aturan. Tiada satu pun kebetulan kerana kebetulan bukanlah sebahagian daripada aqidah kita. Kita beriman bahawa setiap yang berlaku itu adalah sebagaimana yang dikehendaki Yang Esa. Dialah Yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam mengatur setiap sesuatu.

Segala puji bagi Allah kerana telah mengatur satu pengalaman hidup yang amat berharga, pengalaman berjalan bersama-sama satu organisasi dakwah yang berjalan di atas satu manhaj yang jelas, berfasa dan sentiasa memandang ke hadapan, meletak unjuran yang mencabar minda dan tenaga ahlinya.

AGM ISMA 2005: “Perkukuhkan ISMA, Kesani Masyarakat”

Mengimbau kenangan menyertai AGM ISMA yang pertama bagi saya pada tahun 2005. Pada masa itu saya baru pulang daripada luar negara, baru mengenali jalan dakwah ini dalam bentuknya yang amat simple dan sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Ketika menjadi pemerhati kepada perbahasan-perbahasan ketika itu, yang antaranya melibatkan penukaran nama ISMA, pemerkasaaan amal akhawat, dan merayu supaya penggerak-penggerak akhawat diberi kebebasan yang lebih dalam amal di samping tanggungjawab mengurus rumah tangga, perbahasan di sekitar pemilihan JKP, mengekal atau merubah struktur sedia ada, saya terfikir, mengapalah para peserta AGM hari itu ‘menghabiskan masa’ membahaskan perkara-perkara yang remeh pada pandangan saya. Timbul satu persoalan dlm AGM itu, ada pendapat mahukan supaya dirujuk apakah yang tertulis dlm perlembagaan? Perlembagaan pula tiada di situ untuk dirujuk! Terfikir saya, bukankah tanggungjawab yang ada lebih banyak daripada masa yang kita ada? Bukankah dakwah ini simple dan jelas halatujunya, kenapa perlukan pendetailan sehingga ke peringkat pemilihan perkataan, apa lagi yang perlu dibincangkan? ayuh teruskan bekerja. Itulah antara perkara yang berlegar-legar dalam kepala saya pada masa itu.

Antara perkara yang saya masih saya teringat daripada pengalaman pertama ber-AGM hari itu adalah tema ucapan dasar : Perkukuhkan ISMA, Kesani Masyarakat. Terngiang- ngiang lagi rayuan Ust Abdullah Zaik supaya semua ahli ISMA tidak malu-malu menggunakan nama ISMA dalam medan amal, dan bersama ISMA ’sepenuhnya’ kerana masyarakat tidak akan terkesan sekiranya setiap individu cuma tampil sebagai orang-orang baik tanpa jenama. Sekali lagi minda simple orang muda ini terfikir, kenapa perlu ada jenama, bukankah dakwah ini universal? Teringat juga, ada perbahasan mengenai ’kesani masyarakat’. Ada suara-suara ahli yg merasakan seolah-olah ”kesani masyarakat” adalah satu fasa yang masih terlalu jauh dan penumpuan patut diberikan kepada keluarga dan tarbiah ahli.

Selepas berlalu beberapa ketika, barulah saya sedari bahawa AGM sedemikian rupa merupakan salah satu wasilah menyatukan fikrah dan amal. Sesuatu benda hanya boleh dianggap telah difahami setelah ia benar-benar lumat dibincang. Kemungkinan kita menganggap kita berkongsi satu kefahaman, tetapi gambaran perlaksanaannya dalam kepala masing-masing mungkin berbeza. Menutup ruang perbincangan dengan alasan itu adalah isu remeh cuma menambahkan lagi ruang kecelaruan. Matangnya sesuatu organisasi adalah bila mana ahli-ahlinya mampu berbincang secara rasional, berselisih dengan beradab dan akhirnya bersepakat atas satu pandangan yang lebih shahih.

AGM ISMA 2005 saya simpulkan sebagai satu usaha menggarap ahli, meraih sokongan untuk bekerja bersama-sama di bawah satu bendera dan meyakinkan mereka yang masih di atas pagar (walaupun pagar itu sendiri kurang jelas sempadannya)

AGM ISMA 2006: MEMBINA GENERASI WAWASAN

Menghadiri AGM tahun berikutnya merupakan satu lagi pengalaman yang membina. AGM ini mengutarakan beberapa projek ISMA yang antaranya adalah projek generasi muda, projek generasi wawasan, projek pengukuhan organisasi, projek dana dan projek pembinaan imej, itu yang saya masih ingat.

Teringat dalam perbahasan kali ini, antara persoalan yang ditimbulkan adalah ”adakah kita hendak mengulangi apa yang telah orang lain buat sebelumnya”, ”adakah kita hendak kembali ke 5 atau 10 tahun lepas?”, ”kenapa setelah kita berbincang untuk mengesani masyarakat dalam AGM pada tahun sebelumnya, kita kembali menfokuskan perhatian kita kepada projek-projek dalaman?”

Antara yang dibincangkan juga adalah penubuhan cawangan. Bagaimanapun perbincangan panjang lebar pada hari itu cuma berakhir dengan usul menyerahkan kpd JKP untuk membuat perincian tentang pindaan perlembagaan yang diperlukan untuk membolehkan penubuhan cawangan selesai. Sekali lagi minda org muda ini berfikir, ”what a waste!.” Teruk-teruk berbincang cuma itu keputusannya. Dan perlu ada satu lagi EGM untuk luluskan pindaan perlembagaan itu kelak!

Setelah berlalu beberapa ketika, barulah difahami bahawa dalam hal-hal sebegini perbincangan sedemikian rupa sebenarnya tidak sia-sia. Dalam berorganisasi, ada peraturan yang perlu dipatuhi, ada perbincangan yang perlu di buat, supaya organisasi itu akhirnya dapat berjalan secara terpandu dan tidak bergerak secara terburu-buru. Masa yang digunakan untuk menyusun sistem, sebenarnya akan menentukan perjalanan sesuatu sistem itu.

AGM kali ini saya simpulkan sebagai persiapan dalaman organisasi agar kelak dapat bergerak dengan lebih baik lagi. Inilah pelaburan jangka panjang, melabur dalam mengenbangkan kapasiti ahli di setiap peringkat, agar ahli dapat terus memikul beban tugas yang bakal bertambah dengan perkembangan organisasi itu.

AGM ISMA 2007: MELAKAR SEMULA PETA SIASI: Berfikir di luar Kotak

27 Januari 2007. Terus terang, ucapan dasar kali ini merupakan ucapan dasar yang saya susah nak faham, kerana bagi saya topik perbualannya bukanlah sesuatu yang biasa dibicarakan oleh sebuah organisasi tarbawi. Presiden menngingatkan supaya tidak tertipu dan meletak harapan bulat-bulat kepada kaedah DEMOKRASI dalam membawa agenda perubahan kerana demokrasi sekadar menjadi alat kepada barat sedangkan barat sendiri menolak demokrasi apabila amalan demokrasi itu bertentangan dengan agenda barat. Presiden memberi contoh kemenangan HAMAS dalam pilihanraya di Gaza yang dinafikan oleh Amerika dan sekutu-sekutunya yang kononnya champion dalam memperjuangkan demokrasi.

Presiden juga menyeru supaya kita befikir di luar kotak pemikiran umat yang rata-rata terperangkap dengan kerangka politik kepartian sehingga mengabaikan kepentingan dan masalahah umat. Presiden meletakkan harapan kpd ISMA untuk menjadi penyelamat kepada masalah umat ini dengan beberapa seruan iaitu kesatuan dan perpaduan, bersepakat dalam masalah kepentingan umat dan menghidupkan syura dan dialog.

Seruan keluar dari kotak pemikiran berasaskan demokrasi dan politik kepartian saya anggap sebagai satu seruan yang ’pelik’ dan mencabar minda untuk di fahami, ketika rata-rata umat meletak harapan kepada amalan demokrasi untuk keluar daripada kemelut politik semasa. Menutup ucapan dasar pada hari itu, saudara presiden menggariskan semula projek-projek dalam ISMA sebagaimana yang telah dibentangkan dalam AGM sebelumnya dan meletakkan keyakinan bahawa projek-projek inilah yang akan membantu melonjakkan ISMA sebagai penyelamat umat.

Sekali imbas, saya tidak dapat melihat kaitan antara agenda besar merubah peta siasi umat dengan projek-projek di dalam penumpuan ISMA. Saya tertanya-tanya adakah kita bercakap mengenai satu agenda yang besar padahal tindakan kita terfokus kepada perkara yang lain. Are we aligned?

2008: Pasca PRU ke-12

Tahun 2008 berlalu tanpa AGM memandangkan tarikh cadangan asal AGM begitu hampir dengan PRU12 pada 8 Mac 2008.

Pada saya, senario politik pasca PRU 12 memberi pemahaman yang benar dan jelas mengenai apa yang saudara Presiden cuba tonjolkan dalam AGM sebelumnya. Mungkin pemikiran saya lambat setahun agaknya. Kemelut politik BN dan PR pasca PRU-12 meyakinkan saya mengenai seruan saudara Presiden. Maslaha umat terabai dalam perebutan kuasa kedua-dua belah pihak dalam politik dwi-polar ini. Pelbagai tuntutan bangsa lain seakan mendapat tempat dan perhatian kedua-dua bleh pihak. Tidak dapat tidak, umat perlu di selamatkan daripada kancah ini!

Agenda Penggarapan Umum yang dicanangkan pihak JKP pada separuh akhir tahun 2008, pada saya merupakan agenda besar tahun ini, yang layak mengambil tempat dalam ucapan dasar sekiranya ada AGM pada tahun 2008. Agenda ini pada saya adalah penerusan kepada projek-projek dalaman sebelum ini, di mana kekuatan yang telah disemai dan arus yang telah diempang perlu dihalakan ke arah projek yang sebenar: mengambil tempat dalam masyarakat.

AGM ISMA 2009: MEMACU MISI PERJUANGAN UMMAH

Menghadiri satu lagi AGM merupakan satu lagi lonjakan buat minda saya. Ketika saya baru seakan memahami apa yang cuba diutarakan oleh pimpinan ISMA dalam AGM 2007 dan Agenda Penggarapan Umum, minda saya di asak untuk memahami satu lagi hakikat yang lebih jauh terkedepan. Berbekalkan semangat daripada Perang ’Furqan” 23 hari di Gaza, ”Memacu Misi Perjuangan Ummah” meletakkan satu gambaran yang jelas sejelas mentari pagi akan masyarakat yang bagaimana yang kita cita-citakan. ”Gaza sebagai masyarakat contoh” seakan memberi satu halatuju yang baru, membuka satu dimensi baru dalam pemikiran, dan meletakkan satu cita-cita yang besar untuk ummat ini. ISMA juga mengambil satu pendirian yang berani dalam memperkatakan isu survival umat Islam dan bangsa melayu, di luar norma pemikiran sedia ada. 3 polar pemikiran perjuangan Islam dan bangsa yang sedia ada dikupas (islamist, nasionalist & liberalist) dan ISMA hadir dengan satu pendekatan alternatif yang ’real’.

Saya melihat satu kelainan yang jelas dalam AGM kali ini. Amat sedikit isu-isu dalaman yang kita bincangkan. Perbahasan perwakilan juga menunjukkan satu kesatuan pemikiran yang menunjukkan perwakilan dari setiap kawasan ’beriman’ dengan misi perjuangan kita. Perwakilan seolah-olah telah berjaya menyelesaikan kemelut dalaman, isu penggarapan ahli dan bersedia untuk berfikir keluar, mengambil tempat yang sewajarnya dalam masyarakat. Perkembangan positif di setiap tempat seolah-olah menjadi bukti keberkesanan cara kerja kita sehingga ia tidak perlu dibincangkan lagi. Apa perlu perbincangan sekiranya bukti sudah ada di medan!

APA YANG TELAH SAYA PELAJARI?

Mengimbau kenangan-kenangan daripada AGM-AGM ISMA yang telah saya hadiri meyakinkan saya bahawa perjuangan bersama ISMA adalah satu perjuangan yang dinamik, bertahap dan jelas halatujunya. Dakwah ini bukanlah satu perjuangan yang kaku dan sekian bentuknya sehingga pendokongnya sekadar berpusing-pusing di tempat yang sama, mengulangi apa yang telah diulang sebelumnya. Dakwah ini juga bukanlah satu gerakan yang sekadar ”go with the flow” yang cuma menurut arus semasa, arus membawa kita ke jalanan maka kita ke jalanan, arus mengejar kekayaan ekonomi dan pangkat maka ke situlah kita, arus mendaki bangunan parlimen, maka kita juga ke situ.

Saya meyakini bawah dakwah sebeginilah yang akan terus wujud, sebahagian daripada kewujudan alam, memainkan peranannya, berfungsi dalam setiap keadaan. Dakwah inilah yang kita warisi sejak daripada wujudnya manusia di alam ini.

Terdetik di hati, saya baru menyaksikan perjalanan selama 5 tahun!. Perjalanan seterusnya tentu lebih menarik, mencabar dan menuntut setiap kudrat yang ada. Semoga saya dapat terus berjalan! Ameen.

Zaizul Azizi Bin Zaman

Ahli ISMA No. 539

AJK ISMA GOMBAK

Categories: Aktiviti, Sharing