Home > Bangsaku, Malaysia > Hak Istimewa Orang Melayu?

Hak Istimewa Orang Melayu?

Ada kalangan umat Melayu yang bertanya kenapa setelah lebih 60 puluh tahun merdeka, kita masih lagi menuntut agar hak istimewa orang Melayu dipertahankan. Bukankah terbukti hak istimewa ini gagal melahirkan bangsa Melayu yang maju dan berdaya saing?

Saya katakan, bukan sahaja hak istimewa yang ada perlu dipertahankan, bahkan apa yang ada perlu diperkasakan lagi supaya dapat mengembalikan umat Melayu, bangsa asal tanah air ini ke tempat mereka yang sebenarnya sebelum zaman penjajahan. Mereka maju dan berdaulat di bumi mereka sendiri.

SEKATAN EKONOMI

Sebenarnya, bangsa ini telah menghadapi diskriminasi terancang selama ratusan tahun, sejak bermulanya era colonial. Kita belajar dalam matapelajaran sekolah bagaimana peraturan-peraturan yang diperkenalkan British sebenarnya menyekat dan melumpuhkan aktiviti ekonomi bangsa Melayu.  Saya bawakan satu contoh peraturan ini. Antara sebab Haji Abdul Rahman Limbong menentang British ialah disebabkan larangan membuka tanah dan menebang pokok serta cukai yang dikenakan untuk aktiviti itu. Larangan menebang pokok sebenarnya satu larangan yang mematikan banyak lagi aktiviti ekonomi lain, seperti membina rumah dan bangunan, pembinaan jong dan tongkang yang dibuat daripada kayu, segala industri seperti pertukangan logam yang menggunakan kayu sebagai bahan api, pembukaan penempatan baru dan juga menyekat aktiviti pertanian. British juga mengawal aktiviti pertanian yang asalnya bersifat sara diri kepada tanaman kontan yang pasarannya di kawal oleh British. Ini salah satu bentuk sekatan dan diskriminasi.

SISTEM MONOPOLI DAN DISKRIMINASI KAUM

Penjajah British juga mengamalkan sistem ekonomi berasaskan wakil tunggal dan monopoli. Contohnya, bijih timah cuma akan dibeli oleh British melalui wakil tertentu di setiap kawasan. Kebanyakan wakil ini merupakan etnik bangsa Cina yang di bawa masuk oleh British, mangambil tempat pembesar Melayu yang berkhidmat kepada Sultan. Hal yang sama juga berlaku kepada penanam getah persendirian yang mana mereka cuma boleh menjual hasil getah kepada orang tertentu yang telah ditetapkan.

Penjajah British, setelah membawa masuk etnik Cina dan India ke Tanah Melayu, meminggirkan bangsa Melayu untuk sektor tertentu sahaja. Apabila lombong dan ladang di buka oleh British, etnik Cina dan India yang di bawa masuk dari luar menjadi orang kepercayaan British.

PENGURNIAAN HARTANAH STRATEGIK

British juga memperkenalkan undang-undang tanah berasaskan sistem Torren yang menggantikan undang-undang tanah asal yang telah digunapakai beratus tahun secara tradisi. Sebahagian besar tanah dikurniakan (alienated) kepada syarikat-syarikat British untuk membuka ladang dan lombong, seolah-olah tanah-tanah ini sebelumnya tidak dimiliki sesiapa. Hasil kekayaan hartanah milik syarikat British ini, akhirnya diwariskan pemilikannnya kepada orang kepercayaan British, daripada etnik Cina terutamanya, apabila syarikat British ini keluar dari Tanah Melayu. Kekayaan dari segi pemilikan hartanah yang strategik akhirnya membawa kepada jurang kekayaan yang amat jelas di kalangan bangsa di Malaysia. Cuba kita lihat beberapa syarikat hartanah terkemuka hari ini, bukankah asalnya sebenarnya berasaskan kekayaan tanah ladang kurniaan British?

PEMBANGUNAN YANG CUMA MENGUNTUNGKAN BRITISH DAN ANAK EMASNYA

Umum mengetahui bahawa pembangunan yang diusahakan di zaman penjajahan cuma untuk memudahkan penguasaan ekonomi British. Negeri-negeri Selat yang menjadi pangkalan utama British di awal penguasaannya di Tanah Melayu menjadi pintu masuk kepada pendatang dari Cina dan India. Mereka diterima sebagai rakyat British di Negeri-negeri Selat. Daripada negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, mereka memasuki negeri-negeri Melayu yang lain atas alasan berdagang. Mereka membeli hasil mahsul dari negeri-negeri ini, di bawa ke pelabuhan-pelabuhan, yang akhirnya tertumpu ke Singapura sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan British.

Semua pembangunan baik dalam bentuk jalanraya, jalan keretapi dan juga pelabuhan sebenarnya cuma untuk memudahkan hasil mahsul bumi di bawa keluar dan diperdagangkan untuk kepentingan British. Tiada pelabuhan yang dibina untuk menyaingi Singapura, cuma menjadi perantara untuk barang dagangan sampai ke Singapura. Pembangunan sebegini tentunya menguntungkan etnik Cina yang berada di sepanjang rantaian perdagangan, daripada kampong-kampung Melayu sampai ke Singapura.

Inilah realiti yang berlaku sehingga hari ini. Pembangunan infrastruktur yang berjalan ratusan tahun sejak awal kemasukan British meminggirkan orang Melayu sebagai penduduk asal. Bandar-bandar kemudiannya berkembang di sepanjang jalan perdagangan daripada asas ini, membawa kepada pemilikan hartanah di bandar yang cuma dikuasai etnik tertentu.

Bagaimana untuk kita kembalikan semula kedudukan bangsa Melayu setelah menghadapi diskriminasi, dipinggirkan daripada pembangunan selama ratusan tahun sejak awal kedatangan penjajah? Cukupkah dengan hak istimewa yang cukup terhad yang tidak pun dilaksanakan sepenuhnya? Ini belum mengambilkira angkara pimpinan Melayu sendiri yang mengkhianati amanah bangsa sejak kita merdeka. Tentunya apa yang tinggal wajib dipertahankan, sambil kita berusaha untuk menuntut yang lebih dari itu..

Sungguh, kita bukan sekadar mahukan kesenangan yang sedikit, sebaliknya kita mahu mengembalikan maruah bangsa, kembali ke tempat asalnya. Berdiri gagah di bumi sendiri, dengan kedaulatan undang-undang yang berpaksi kepada Islam sebagai jatidiri.

Categories: Bangsaku, Malaysia Tags:
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a comment