Archive

Archive for June, 2011

Bukit Bintang to set benchmark for cleanliness

Dalam pages BERNAMA Radio24 di Facebook minggu lalu, ada membincangkan mengenai kenyataan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan untuk menjadikan Bukit Bintang sebagai penanda aras bagi kebersihan sekitar Lembah Kelang.

Pages Bernama Radio24:

On Air! 4-8PM: Bukit Bintang akan dijadikan kawasan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk skop kebersihan sekitar Lembah Klang dalam jangka masa enam bulan bermula bulan ini.
Adakah lokasi yang menjadi tumpuan pelancong sahaja perlu melepasi tahap KPI? YA ATAU TIDAK? APA KATA ANDA?
-Selain Bukit Bintang, wajarkah ia diperluaskan lagi di sekitar Kuala Lumpur? June 6 at 3:46pm

Dalam perbincangan tersebut, saya mencelah:

Zaizul Azizi Zaman Kita selalu tekankan kebersihan utk kawasan yg jadi tumpuan pelancong. Don’t we deserve to live in a better, cleaner environment? Pelancong cuma datang sekejap, tapi kita yang hidup di sini sepanjang masa patutnya lebih perihatin dengan keperluan kita.

Satu perkara yang saya amat terkesan ialah ‘double standard’ yang kita biasa lihat, kenapa kita perlu jaga kebersihan untuk menunjukkan imej bersih kepada pelancong padahal kebersihan itu sebenarnya adalah keperluan kita. Kita lebih patut untuk mengambil berat tentang kebersihan supaya kita dapat hidup dalam suasana yang lebih baik, bukan sekadar supaya nampak baik di mata para pelancong.

Daripada inisiatif yang diumumkan ini, kemungkinan kita akan mendapat kesan yang sama iaitu dalam memperbaiki kelemahan kita dalam menjaga kebersihan. Namun, faktor atau sebab kita melakukan sesuatu perkara itu akan memberi makna sebenar kepada usaha kita dan akan menentukan sejauhmana ia akan berkekalan. Seandainya penjagaan kebersihan kita lakukan semata-mata untuk dilihat bersih, tentunya hasilnya akan berbeza sekiranya penjagaan kebersihan itu dilakukan kerana kita memang mahukan kebersihan itu. Dalam dua keadaan ini, saya jangka keadaan kedua akan jauh lebih baik dan akan pasti membuahkan hasil yang berpanjangan.

“Superficiality”

Sering berlaku, apabila kita mahukan sesuatu perubahan, kita akan memberi fokus dan tumpuan kita kepada sesuatu yang tampak dan zahir pada pandangan kita. Pendekatan ini pada saya tidak akan membuahkan hasil yang berpanjangan. Kesinambungan sesebuah perubahan adalah berpaksi kepada faktor dalaman, kenapa perubahan itu di buat. Perubahan sikap ke arah sukakan kebersihan, kehendak untuk tinggal dalam suasana bersih dan selesa dan tidak bermudah-mudah dalam urusan menjaga kebersihan tentunya akan menyebabkan usaha mengekalkan suasana bersih akan berpanjangan. Petunjuk yang ‘superficial’ seperti dilihat baik pada pandangan pelancong tentunya akan menghasilkan kesan yang pincang, dan sesetengah kawasan sahaja yang terpelihara. Saya pernah melihat seorang pekerja menyapu sampah ke dalam longkang, kerana pada pandangan beliau sampah yang berada di dalam longkang bawah tanah sudah tentu tidak kelihatan. Dia mungkin terlupa kesan tindakannya itu adalah lebih teruk apabila berlaku hujan lebat.

‘Hipocracy’

Budaya kita begitu mengambil berat apa yang tampak. Selalu saya dengar nasihat yang berbunyi “cepat-cepat kemas, ada pelawat yang datang”. Perkara yang sama saya temui di sekolah, apabila satu ketika, kementerian pendidikan pada masa itu amat melihat kepada penarafan berasaskan bintang. Apabila tiba giliran sekolah saya diperiksa, semua perkara dipastikan berada dalam keadaan terbaik, supaya akhirnya mendapat penarafan lima bintang. Perkara asas seperti sikap pelajar dalam menjaga kebersihan dan keperluan lain kurang di ambil endah di luar waktu audit berjalan. Di tempat kerja juga saya mendapati perkara yang sama. Pensijilan ISO atau apa jua standard adalah cuma satu usaha melengkapkan senarai semak dengan kurang mengambilkira perubahan yang sebenar dalam alam realiti. Akhirnya apabila beberapa sijil diterima, mutu dan kualiti kerja masih tidak berubah.

 Dalam isu kebersihan ini juga, acapkali kita dengar seruan untuk menjaga kebersihan untuk menjaga imej di hadapan pelancong. Persoalannya, adakan imej bersih yang mahu kita tonjolkan itu benar-benar berasal daripada semangat cintakan kebersihan? Atau kita sekadar mahu dilihat sebagai bersih?

Tentunya, kita sentiasa mahukan perubahan dan peningkatan kualiti hidup yang berterusan. Pada saya, ini semua cuma akan dapat dicapai apabila kita bersedia untuk berubah dalam diri kita, maka perubahan akan terzahir dalam alam realiti. Asas yang sama juga perlu kita amalkan dalam segenap perubahan yang kita mahu bawa, baik di peringkat individu, masyarakat atau negara. Perubahan lahiriah atau tampal-tampalan tanpa mengambilkira nilai dan perubahan dalaman tidak akan mampu untuk bertahan lama.

Akhirnya, apa yang ada dalam diri anda akan terserlah, kalau bersih maka akan bersih lah luarannnya. Kalau pincang maka pincanglah hasilnya. Berubahlah dari dalam, dalam apa sahaja perubahan yang anda inginkan!

(akhirnya setiap orang akan mendapat apa yang dia niatkan! hadith ke-2 drpd kumpulan Hadith 40, imam an-nawawi)

Categories: Life Notes

Muktamar Pas: Etika berpakaian yang dipersoalkan!

Saya merujuk kepada laporan dalam Malaysiakini yang turut saya dengar dalam berita di Radio 24 pagi ini.

Beberapa perkara yang saya terfikir:

1.       PAS seharusnya tidak terlalu “apologetic” dalam isu ini. Kalau pun etika berpakaian yang ditetapkan oleh PAS untuk Muktamar ini merangkumi semua peserta temasuk pemerhati dan wartawan tanpa mengira kaum dan agama. Apabila kita mengadakan sesuatu majlis, adalah hak penganjur untuk menetapkan “dress code” untuk majlis itu.
2.       Umum mengetahui setiap tempat ada “dress code” masing-masing. Ada orang pakai jeans di halau daripada kelab golf. Kalau pub dan night club, kelab golf, gelanggang sukan, majlis rasmi kerajaan, majlis kahwin dan pengebumian pun ada “dress code”, kenapa tidak Muktamar sebuah “parti Islam” yang memerlukan pesertanya berpakaian selari dengan kehendak Islam. Kenapa dinafikan hak ini? Peraturan tersebut adalah untuk tempat tertentu dan masa tertentu pun, bukan dikuatkuasakan sewenang-wenangnya.
3.       Setiausaha agung Wanita MCA Chew Lee Giok tidak sepatunya mempolitikkan isu sekecil ini. Tindakan mempersoalkan satu peraturan dalaman untuk satu majlis dalaman adalah satu sikap yang tidak menggambarkan keperihatinannya dalam budaya masyarakat majmuk dan amat bertentangan dengan kata-kata beliau yang dipetik oleh Bernama “Dalam sebuah negara berbilang kaum saya menghormati sepenuhnya kod pakaian Islam, tetapi kita juga mahu PAS menghormati adat dan pilihan oang bukan Islam” Apalah salahnya seorang bukan islam mengenakan pakaian yang sesuai dengan majlis orang Islam yang dihadirinya? Tambahan pula, tiada larangan dlm budaya orang cina untuk mengenakan tudung.
4.       Apabila melihat skop yang lebih luas, saya juga mendapati dalam banyak situasi, wanita Islam diminta untuk membuka auratnya atas kehendak majikan, keperluan tempat kerja, dan atas pelbagai sebab. Dimana isu hak asasi dalam hal ini? Bagaimana dengan pembantu rumah warga Indonesia beragama Islam diarahkan supaya cuma berpakaian baju-T dan seluar pendek oleh majikan? Adakah dalam isu ini unsur menghormati tuntutan agama si pekerja diambil kira?
5.       Apakah lagi urusan umat Islam yang akan dipersoalkan selepas ini? Dan adakah setiap kali ada suara yang mempersoalkan, orang Islam akan tunduk, memohon maaf dan berundur beberapa langkah?

Saya menyeru supaya semua pihak melihat isu ini secara rasional dan meletak setiap sesuatu pada tempatnya. Janganlah semata-mata untuk menjaga imej politik, kita menjadi terlalu ‘apologetik’ sedangkan kita berada di pihak yang benar.

Categories: Bangsaku