Archive

Archive for April, 2013

Non-Muslim di Malaysia: Saya Bukan Racist!

April 27, 2013 Leave a comment

Mungkin kebanyakan tulisan saya dalam mengajak kepada perpaduan  Melayu, mengukuhkan pegangan politik Melayu, memperkasakan kedudukan Islam dalam struktur negara Malaysia dan membongkarkan agenda-agenda jahat seperti liberalisasi, LGBT, kristianisasi dan pluralism, telah pun disalahertikan sehingga menggambarkan saya seorang yang racist dan hanya memikirkan berkenaan survival Melayu dan Islam.

Saya ingin menekankan bahawa semua pandangan saya adalah untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang aman damai dan pada masa yang sama mengiktiraf kewujudan kaum-kaum lain selain Melayu dan mereka yang bukan beragama Islam. Pada pandangan saya, kedudukan bangsa Melayu dari segi ekonomi, politik dan sosio-budaya  dan kedudukan agama Islam adalah satu faktor yang penting dalam mewujudkan sebuah negara Malaysia yang harmoni dan sejahtera.

Saya ingin mengajak supaya kita melihat kewujudan kaum dan agama sebagai satu realiti yang tidak boleh dinafikan, dan perlu diambilkira. Saya melihat ada sesetangah kelompok yang cuba mengenepikan factor perkauman dan factor agama dalam merangka perjalanan negara pada masa akan datang.

Mari kita mengambil contoh daripada pengalaman jiran kita Indonesia. Walaupun kelihatan berlaku asimilasi kaum dan agama berasaskan nilai pancasila, sehingga semua rakyat tanpa mengira bangsa menggunakan nama-nama Indonesia (termasuk mereka yang berbangsa Cina) menggunakan bahasa Indonesia dan hidup dengan cara hidup yang hampir sama, namun asimilasi yang dipaksakan ini akhirnya meledak sebagai satu rusuhan bersifat perkauman pada Mei 1998. Menafikan kewujudan faktor bangsa dan agama dalam kerangka negara hanya akan menyebabkan isu-isu berkenaan kaum dan agama ini disenyapkan dan tidak ditangani dengan sewajarnya.

Apabila saya mengutarakan isu perpaduan Melayu, kekuasaan politik Melayu, isu kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, saya tidak sesekali menafikan hak bukan Melayu dan bukan Islam secara pukul rata. Apa yang saya inginkan ialah kesedaran bahawa penghormatan kepada Melayu dan Islam sebagaimana wujud dalam kontrak sosial yang merupakan sebahagian daripada prasyarat kewujudan negara Malaysia. Usaha-usaha mempersoal, merungkai semula kontrak sosial dan menyamaratakan semua perkara berasaskan hak asasi semata-mata adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Saya akui bahawa saya membesar di kalangan masyarakat Melayu di Terengganu dan Kelantan semenjak saya lahir sehinggalah saya berumur akhir belasan tahun. Pengalaman saya berinteraksi dengan mereka daripada bangsa lain amat terhad, cuma kepada hubungan ketika berurusniaga di kedai-kedai, dan dengan beberapa orang pelajar bukan Melayu di sekolah saya yang bilangannya cuma 2 atau 3 orang dalam setiap batch.

Apabila saya melanjutkan pelajaran ke kolej persediaan di Damansara, saya mengalami kejutan budaya apabila hidup selama beberapa bulan dalam keadaan cuma terdapat sebilangan kecil pelajar Melayu di kolej tersebut. Pengalaman itu tidak lama, cuma hampir setengah tahun.

Apabila saya melanjutkan pelajaran ke Australia, itulah pengalaman saya berhubung rapat dengan kawan-kawan berbangsa cina, yang salah seorang daripadanya merupakan teman serumah saya selama dua tahun yang menjadi kawan rapat saya sehingga ke hari ini. Pengalaman berinteraksi dengan manusia daripada pelbagai kaum selepas itu banyak merubah persepsi saya dan membuatkan saya lebih menghargai kepelbagaian bangsa dan agama yang wujud di Malaysia.

Saya meyakini banyak perkara yang boleh dipelajari daripada bangsa lain dan setiap bangsa memiliki kekuatan masing-masing. Saya juga meyakini bahawa terdapat banyak peluang untuk dakwah kepada agama Islam hasil daripada interaksi yang sihat antara kaum-kaum di Malaysia. Ada pihak yang memberi komen bahwa sebahagian daripada tulisan saya cuma menutup ruang dakwah kepada bangsa lain dan melambatkan mereka mendapat hidayah.

Saya ingin menyatakan bahawa dalam berurusan dengan hal ehwal perkauman di Malaysia, kita perlu membezakan beberapa kelompok kaum di Malaysia. Sabahagian mereka merupakan sasaran dakwah yang sangan hampir dengan Islam, sebahagiannya cuma ingin untuk hidup aman dan ada juga kelompok yang tidak berpuas hati dengan struktur negara yang ada dan inginkan perubahan dan kebebasan mutlak.

Semua ini ada latar belakang sejarahnya. Masyarakat Cina di Malaysia contohnya saya kategorikan kepada tiga kelompok, berasaskan kepada beberapa pembacaan saya;

  1. Kelompok Pertama : Kaum cina tiba di Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sebahagiannya berasimilasi dengan budaya tempatan sehingga lahirnya budaya tersendiri seperti Baba Nyonya di Melaka.
  2. Kelompok Kedua: Sebahagian besar kaum Cina tiba di Tanah Melayu pada zaman penjajahan British. Sebahagian daripada mereka tinggal di negeri-negeri Melayu dan mengiktiraf kewujudan Kesultanan Melayu dan pemilikan asal Melayu ke atas Tanah Melayu.
  3. Kelompok Ketiga: Terdapat juga kaum Cina di Malaysia yang datang dan tinggal di negeri-negeri Selat (Penang, Malacca and Singapore). Negeri-negeri Selat ditadbir secara langsung oleh Britsh sebagai sebahagian daripada koloni British. Penduduk Cina negeri-negri Selat memiliki kerakyatan British dan tidak mempunyai hubungan dengan kerajaan-kerajaan Melayu dan sebahagian daripada mereka masih mengekalkan ketaatan mereka dengan Tanah Besar Cina.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan, tentunya ketiga-tiga kelompok ini, menjadi warganegara Malaysia. Apa yang kita lihat dalam senario politik dan sosio-budaya semasa adalah terjemahan langsung kepada fakta sejarah ini. Terdapat masyarakat cina yang begitu hampir dengan masyarakat Melayu sehingga tiada langsung pelat dalam berbahasa Melayu. Ada yang berpuas hati dengan suasana semasa di bawah kuasa politik orang Melayu asal sahaja peluang mereka untuk mencari rezeki tidak terhalang. Di sana juga ada kelompok yang memperjuangkan hak kesamarataan mutlak, supaya akhirnya tiada lagi apa jua had ke atas mereka, baik dalam politik, pemilikan harta, bahasa, agama dan apa jua aspek hidup mereka.

Saya ingin meyeru mereka terutamanya aktivis politik Islam agar menyedari hakikat ini. Dalam keghairahan kita menjalinkan kerjasama politik, menyampaikan dakwah dan menunjukkan contoh teladan, jangan kita lupa bahawa ada kelompok yang memilik agenda tersendiri dan kita perlu sentiasa berwaspada supaya kita tidak menjadi mangsa agenda politik mereka atau akhirnya terkorban setelah diperkudakan.

Ambillah contoh sirah secara syumul. Ya, Rasulullah bekerjasama dengan penduduk Madinah yang terdiri daripada bangsa Arab, Yahudi dan Kristian. Dalam masa yang sama Rasulullah sangat-sangat berhati-hati dengan segala tipudaya, helah dan kelicikan Yahudi, dan terus mengambil tindakan yang keras apabila jelas ada unsur khianat.

membangun umat beragenda

Ini kalilah! Ubah Sekarang! ABU!

April 25, 2013 Leave a comment

abuBeberapa posting saya kebelakangan ini agak kritis terhadap PAS dan Pakatan Rakyat. Sehingga ada tuduhan bahawa saya orang BN. Tentunya tuduhan itu datang daripada mereka yang tak mengenali saya.

Bagi mereka yang mengenali, mereka akan faham betapa saya mahukan perubahan terhadap banyak perkara dalam negara Malaysia yang tercinta ini. UMNO dan BN telah sekian lama berkuasa dan petanda bahawa kekuasaan mereka makin menghampiri tarikh luput mereka amat jelas dan terang. Pelbagai perkara boleh kita bawakan sebagai bukti pernyataan ini, daripada ketiadaan agenda bangsa yang jelas, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan kekayaan negara, keruntuhan moral umat dan kecairan identiti hasil pengaruh globalisasi sedunia, semuanya menggambarkan bahawa kita memang memerlukan pembaharuan dalam banyak aspek negara kita.

Saya membesar dalam mengharapkan PAS membawa pembaharuan ini. Saya masih menaruh harapan itu. Saya juga membesar sambil memerhatikan perjalanan politik negara, saya pernah bersama REFORMASI pada 1998 kerana saya harapkan itulah pembaharuan yang negara kita perlukan.

Setelah sekian lama masa berlalu, saya berpandangan bahawa perubahan yang benar-benar diperlukan oleh negara ini bukan hanya terletak kepada perubahan kerajaan. Banyak perkara yang boleh kita ubah dalam ruang lingkup capaian kita sebagai individu, sebagai keluarga dan sebagai ahli masyarakat. Perubahan kerajaan merupakan satu langkah yang perlu apabila tiba masanya.

Adakah masanya sekarang?

Saya amat menekankan bahawa perubahan yang kita mahu lakukan perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. Kita tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Kita perlu mengiktiraf pencapaian sedia ada dan melakukan perubahan yang melengkapi dan menambah baik apa yang ada, bukannya memusnahkan semuanya dan bermula semula dari kosong.

Perubahan ini juga memerlukan landasan yang jelas, dan halatuju yang jelas. Kita perlu jelas, akhirnya apakah gambaran negara yang kita akan bentuk? Apakah neraca nilai yang akan kita guna?

Dalam kerakusan sesetengah pihak mengejar kuasa dan inginkan perubahan, saya nampak banyak kegopohan yang berlaku. Kegopohan yang melalaikan kita daripada membuat persediaan yang rapi dan tersusun. Selalu saya dengar kata-kata, kita dapat kuasa dulu, lepas tu kita bincanglah apa yang kita nak buat. Saya katakan, ia tidak semudah itu!

Dalam kegopohan itu, saya lihat kita terlupa siapa kawan dan siapa lawan? Kita sudah biasa sangat menuduh UMNO itu Kafir, Fasiq, Zalim dan Toghut sehingga kita terlupa bahawa kita semakin hampir dan cenderung kepada mereka yang sedia ada kafir. Padahal Islam mengajar kita supaya sangat-sangat berhati-hati dalam mengkafirkan sesama Islam dan supaya kita sentiasa berhati-hati dengan agenda dan muslihat orang kafir.

Dalam kegopohan itu, kita lupa menganalisa sesuatu perkara dengan terperinci, baik dari sudut perkiraan matematik dan angka, dari sudut feqah dan usul fiqh, dan kita lupa bahawa sesetengah isu memerlukan kepakaran tertentu untuk diselesaikan.

Saya syorkan kepada rakan-rakan dalam PAS supaya mengenali DAP luar dan dalam. Berapa ramai ahli dan pimpinan PAS yang pernah baca apa yang DAP tulis sebagai misi dan visinya? Anda boleh rujuk laman web DAP. Dalam keadaan ramai menyatakan kesyukuran mengenai keterbukaan DAP untuk menggunakan simbol PAS baru-baru ini, apa kata Karpal Singh pula? Saya quote di bawah ini:

Whilst the DAP values and appreciates the offer by PAS to have allowed the DAP to use its symbol in the event the Rocket was disallowed to be used in the elections, it does not mean that the DAP has by this action accepted the Islamic policies including Hudud. The DAP has consistently stated its stand that it would oppose any such agenda by PAS to establish an Islamic state and allow Hudud to be established in the country. The Federal Constitution does not provide for an Islamic state. It provides for Islam to be the official religion of the country with all other religions being allowed to be practised in the country in peace and harmony. The DAP respects Islam as the official religion. Further, as far back as 1988, a 5-man bench of the Supreme Court, the highest court in the country then, headed by Tun Salleh Abas, the then Lord President, ruled the country was governed by secular law. There cannot be an Islamic state in a system governed by secular law. Obviously, the framers of the Constitution took into account the multiracial and multi-religous society and for that reason did not provide for an Islamic state. The establishment of Hudud would mean having two sets of laws in one system. That would be incongrous and will lead to chaos. As an exapmle, if a Muslim and a non-Muslim were charged jointly for a criminal offence and the Muslim opted to be tried by Hudud and the non-Muslim by the ordinary criminal law, it would be impossible to have a trial for both because the non-Muslim co-accused cannot give evidence in a Syariah court and neither can non-Muslim witnesses testify in that court. This will lead to injustice in that both the Muslim and non-Muslim cannot be prosecuted. This will jam the legal system.

Berapa ramai oarang PAS yang jelas tentang bagaimana PKR mendapat dana mereka? Siapa penaja mereka? Mungkin laporan RAND Corporation boleh membantu anda.

Saya mahukan perubahan yang jelas agendanya, yang bukan dicemari oleh bermacam ideologi dan agenda yang masing-masing berlawanan dan jauh bertentangan dengan Islam.

Satu perkara lagi, isu kedudukan parti-parti dalam PR yang saya utarakan dalam posting yang lalu juga penting. Sepatutnya, seandainya PR benar-benar yakin dan bersedia untuk membentuk kerajaan selepas PRU13, saya mahu lihat apakah strukur kabinet PR? Sepatutnya telah ada struktur kabinet bayangan PR yang kita boleh lihat dan kaji satu persatu. Janganlah bagi jawapan kepada saya bahawa kita akan pastikan kita menang dulu, baru kita akan mula bincang! Sekurang-kurangnya saya mahu membandingkan kredibiliti bakal-bakal PM, TPM dan Menteri-menteri PR, supaya boleh dibandingkan dengan pemegang jawatan sedia ada. Kalau saya dapati kredibiliti mereka yang bakal menjawat jawatan tersebut adalah lemah atau lebih teruk daripada yang sedia ada yang memang sudah teruk, apakah kita masih perlu ubah?

Akhirnya, saya sayang kan negara ini. Saya yakin banyak benda boleh di ubah ke arah yang lebih baik. Namun, perlu diingat, kita bukan sekadar ubah semata-mata untuk ubah, atas nama perubahan. Kita perlu pastikan kita berubah ke arah yang lebih baik. Biar lambat, asal selamat!

Ambillah pengajaran daripada pengalaman Iraq yang dijanjikan perubahan!

Categories: Bangsaku Tags: , , ,

PRU13: Calon Bebas Bukti Gabungan Sedia Ada Tidak Diyakini

April 24, 2013 1 comment

Berikut adalah statistik calon-calon yang akan bertanding dalam PRU 13.

Statistik Calon PARLIMEN PRU13

Statistik Calon-Calon bagi kerusi Parlimen dalam PRU13 (sumber: laman web SPR)

Statistik Calon-Calon bagi kerusi DUN dalam PRU13 (sumber: laman web SPR)

Statistik Calon-Calon bagi kerusi DUN dalam PRU13 (sumber: laman web SPR)

Antara perkara yang begitu ketara ialah dalam PRU13 adalah peningkatan calon yang bertanding atas tiket Bebas dan Parti-Parti Kecil yang tidak menyatakan kecenderungan mereka, sama ada bersama BN atau PR. Jumlah calon bebas untuk kerusi Parlimen adalah seramai 79 orang dan seramai 191 lagi di kerusi DUN. Jika di tambah dengan calon Parti BERJASA, BERSAMA, KITA, PCM dan PSM yang menurunkan seramai  14 calon parlimen dan 25 calon DUN, yang menjadikan jumlah mereka dalam katergori ini seramai 309 orang (93 calon Parlimen dan 216 calon DUN). Jumlah ini merupakan peningkatan hampir 3 kali ganda jumlah calon bebas dalam PRU12 :2008 iaitu seramai 115 orang.

Saya melihat pertambahan bilangan calon yang tidak memihak kepada mana-mana blog parti BN mahupun PR merupakan satu petanda bahawa terdapat banyak ketidakpuasan hati di kalangan rakyat akar umbi terhadap perjalanan politik semasa. Pertentangan PR dan BN dalam banyak hal tidak menguntungkan banyak pihak dan cuma berlaku dengan semangat saling menjatuhkan dan bukan mencari penyelesaian terbaik untuk umat dan rakyat secara keseluruhan.

Saya mengharapkan agar ada di kalangan calon-calon ini yang akhirnya berjaya memenangi kerusi di Parlimen dan DUN, untuk membawa suara alternatif dan tidak hanya bertekak atas dasar pembangkang yang akan sentiasa membangkang dan kerajaan yang seolah-olah sentiasa betul!

Saya mengharapkan suasana politik yang lebih matang, beragenda dan rasional dan tidak hanya menyokong atau membangkang atas dasar kepartian. Akhirnya, mereka yang dipilih adalah Wakil Rakyat dan bukan Wakil Parti!

Categories: Bangsaku Tags: ,

PRU13: Analisa Pembahagian Kerusi Dalam Pakatan Rakyat

April 24, 2013 31 comments

Pakatan Rakyat seakan-akan begitu yakin bahawa inilah peluang terbaik untuk mereka merebut kuasa setelah lebih 50 tahun merdeka dan tiada pertukaran kerajaan berlaku di peringkat nasional. Keyakinan ini bertambah kuat memandangkan kerajaan BN sekarang dilihat berada pada kedudukan paling lemah dalam sejarah pentadbiran negara dan gagal mempertahankan majoriti 2/3 dalam parlimen pada PRU12;2008.

Saya suka untuk melihat bagaimana agaknya komposisi kerajaan yang bakal dibentuk PR sekiranya mereka benar-benar Berjaya merebut kuasa. Berbeza dengan Barisan Nasional yang merupakan satu organisasi yang tersusun yang merangkumi parti-parti komponen yang jelas boleh dilihat diketuai oleh UMNO (Presiden dan Timbalan Presiden UMNO adalah Pengerusi dan Naib Pengerusi BN-lihat carta di bawah), Pakatan Rakyat pula merupakan satu pakatan yang lebih longgar dengan struktur yang tidak berapa jelas. Sehingga sekarang, siapakan calon Perdana Menteri, TPM dan Menteri-menteri kanan adalah sebuah teka-teki yang masih diperbahaskan antara pimpinan PR.

CARTA ORGANISASI BN 06122012-A

Agakan saya, senarai calon dan pembahagian kerusi di kalangan parti-parti dalam PR merupakan satu pentunjuk yang baik akan komposisi kerajaan Pakatan Rakyat. Berikut adalah sedikit fakta daripada senarai calon-calon PR untuk kerusi Parlimen.

Calon Parlimen PR PRU13

Carta: Pembahagian kerusi Parlimen di kalangan Parti-Parti dalam PR

Calon PR 2013

Seandainya, angka-angka ini dilihat secara sekali imbas, kelihatan seolah-olah PKR adalah ketua kepada PR dengan jumlah kerusi paling banyak, diikuti oleh PAS dan DAP. Namun, adakah ini benar-benar mencerminkan kedudukan parti-parti dalam PR?

Sebelum hari pancalonan pada 20 April lalu, jelas kelihatan berlaku perebutan kerusi di kalangan parti-parti dalam PR, terutama pertindihan tuntutan antara PAS dan PKR. Saya agak khuatir kerana saya tidak pula mendengar akan pertindihan tuntutan antara PAS dengan DAP atau PKR dengan DAP. Saya agak khuatir, adakah pembahagian kerusi dalam PR berlaku dengan DAP terlebih dahulu memilih kerusi mereka dan kemudiannya terpulanglah kepada PAS dan DAP untuk memilih dan membahagikan kerusi-kerusi selebihnya?

DAP mungkin meletakkan calon paling sedikit, tapi apakah kesannya sekiranya kerusi yang dipilih DAP adalah kerusi-kerusi selamat atau kerusi boleh menang? Saya berani mengutarakan hal ini kerana inilah yang telah berlaku dalam PRU12 di Perak, yang telah saya ulas dalam entri PAS dalam Pakatan Rakyat.

Dalam PRU12;2008 di DUN Perak, PAS dan PKR masing-masing bertanding di 21 dan 20 kerusi manakala DAP cuma bertanding di 18 kerusi daripada 59 kerusi di DUN Perak. Keputusan PRU tersebut memberi kemenangan kepada DAP di semua kerusi yang dipertandingkan (18/18) berbanding PAS yang cuma menang di 6 daripada 21 kerusi dan PKR 7/20.

Pakatan Rakyat perlu memenangi 112 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan, manakala 148 kerusi perlu dimenangi untuk memiliki majoriti 2/3 dalam parlimen. Dengan bertanding di cuma 51 kerusi, sekiranya senario di Perak pada 2008 berulang, DAP sebenarnya memiliki 51/112 atau 46% kerusi dalam kerajaan dengan majoriti mudah atau 51/148 atau 34% dalam kerajaan PR yang memiliki majoriti 2/3.

Bagaimana agaknya pembahagian jawatan menteri dalam kerajaan seumpama ini? Kita tidak mahu pengalaman kerajaan PR Negeri Perak berulang, apabila kesemua jawatan exco kanan kerajaan negeri dipegang oleh DAP, walaupun jawatan Menteri Besar yang dihadiahkan kepada PAS (itupun cuma kerana Undang-undang Tubuh Negeri Perak mengkehendaki jawatan MB dipegang oleh bangsa Melayu).

Bagaimanakah struktur pentadbiran negara pada masa itu? Bagaimana pula dasar kerajaan akan dirangka dan dibentuk? Walaupun bilangan tersebut masih agak kecil untuk mengubah perlembagaan, namun saya tidak yakin bahawa hak-hak bangsa Melayu dan kedudukan agama Islam akan terjaga dalam situasi ini, dalam konteks perjalanan sebuah negara. Ini belum lagi mengambil kira fahaman liberal dan pluraslime agama yang menular dalam PKR dan kewujudan golongan syiah dalam PAS.

Saya khuatir, dengan keghairahan untuk mengubah kerajaan sedia ada, kita berubah kepada sesuatu yang lebih buruk. Jangan nanti, terlepas dari mulut buaya, masuk pulang ke mulut Sang Rimau. Jangan pula jadi ibarat Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai!

Siapa akhirnya yang memperguna dan siapa yang diperkudakan? Agenda siapakah yang akan dijulang?

Saya khuatir Pakatan HAraPan RAKyat akan cuma tinggal Pakatan HAPRAK! Seandainya ini bakal terjadi, saya katakan “Lain Kali Saja Lah!”

Saya harap tidak begitu! Saya doakan yang terbaik untuk umat Islam di Malaysia dan keberlangsungan Malaysia dalam suasana aman dan barakah.

Categories: Bangsaku Tags: , , , , , , ,

PRU:13 Ust Nasrudin Tantawi vs Saifuddin Abdullah (P:88 Temerloh)

April 19, 2013 Leave a comment

PRU-13, bakal menyaksikan pertembungan yang dijangkakan amat sengit. Antara banyak-banyak kerusi parlimen yang dipertandingkan, ini adalah antara salah satu pertembungan yang amat menyedihkan saya.

Saifuddin vs Nasrudin

Kedua-dua tokoh ini bagi saya memberi harapan baru kepada suasana politik Malaysia yang saya harapkan akan menjadi persaingan yang lebih sihat, terpelajar dan bermruah.

Ust Nasrudin Tantawi merupakan seorang yang berpendidikan agama yang saya perhatikan masih menjaga disiplin ilmunya. Saifuddin Abdullah pula merupakan seorang yang memiliki pendekatan yang agak jauh berbeza berbanding kebanyakan pimpinan UMNO terutama dalam isu memperkasakan generasi muda teruatamanya mahasiswa.

Saya amat mengharapkan agar kedua-dua tokoh muslim berwibawa ini akan berada dalam Parlimen Malaysia Pasca PRU2013. Namun pertembungan kedua-dua tokoh ini merebut kerusi Parlimen Temerloh cuma memberikan kita peluang untuk melihat salah seorang daripada mereka ke Parlimen.

Sememangnya ini adalah pertembungan dua tokoh generasi muda, pewaris kepimpinan akan datang. Betapa ruginya bertembung sebegini.

Persoalan saya, kenapa Pas perlu meletak Ust Nasruddin untuk bertembung dengan Saifuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Temerloh sejak PRU2008? Adakah ini merupakan percaturan dalaman sebahagian daripada kelompok dalam PAS yang seakan terlalu ghairah untuk mengubah imej PAS dan seterusnya meminggirkan golongan ulamak dalam barisan kepimpinan?

Semoga PAS tidak terus dirosakkan oleh kelompok yang berkepentingan, dan semoga PAS mampu bangkit sebagai sebuah parti yang dominan dalam PR sebagaimana saya harapkan supaya UMNO mengekalkan dominasi orang Islam dalam BN.

Dalam scenario sebegini, akhirnya yang rugi adalah ummat yang akan kehilangan seorang pemimpin muslim berwibawa.

Pun begitu, saya mengharapkan agar pertembungan di Temerloh akan berlaku dalam suasana ukhuwwah Islam, dengan adab dan akhlak Islam. Semoga jika ditakdirkan pertembungan ini tidak dapat dielakkan lagi (kita tidak pasti sehinggalah hari penamaan calon), kita harapkan ia menjadi satu contoh yang baik bagaimana dua pimpinan melayu muslim berwibawa bersaing dalam kempen pilhanraya.

Photo:Harakahdaily

Photo:Harakahdaily

Undilah calon Muslim Berwibawa!

Sistem Demokrasi: suara minoriti lebih “berkuasa”?

April 16, 2013 3 comments

PRU-13 3

Umum memahami bahawa dalam sistem demokrasi, keputusan ditentukan oleh suara majoriti. Sesetengah keputusan memerlukan sokongan majoriti mudah (simple majority) iaitu sekadar lebih daripada separuh manakala kebanyakan keputusan besar memerlukan majoriti 2/3.

Sekali imbas, membuat keputusan berasaskan sistem demokrasi hanyalah permainan angka (game of numbers). Siapa yang lebih banyak sokongan dia akan menang dalam apa jua isu, tanpa mengambil kira siapa di pihak yang salah dan siapa di pihak yang betul. Betul dan salah kemudiannya menjadi satu nilai yang seakan relatif, dan tiada di sana istilah absolute truth.

Dalam sistem ini, semua perkara boleh dipersoalkan, dibahas, difikir dan diputuskan tanpa ada panduan dari sudut nilai (kerana nilai juga adalah relatif) mahupun dari sudut agama. (apa yang diharamkan oleh agama boleh di`halal`kan oleh suara majoriti)

Dalam konteks parlimen Malaysia yang mana Perlembagaan Negara menjadi kerangka rujukan tertinggi, mungkin ramai beranggapan bahawa kerangka asas negara ini tidak akan dapat diganggu gugat oleh mana-mana pihak selagi manapihak tersebut belum memiliki majoriti 2/3. Lalu segala amaran mengenai halatuju negara dalam jangka masa panjang cuma dilihat sebagai retorik untuk mengekalkan status quo dan menolak perubahan kerajaan. Jangan lupa bahawa perlembagaan juga boleh dipinda dengan majoriti 2/3!

Daripada pengamatan saya, terhadap beberapa peristiwa yang dialami di beberapa negara, isu-isu yang akhirnya menjadi penentu menang kalah sesebuah parti bukan lagi isu yang melibatkan golongan majoriti penduduknya. Mengapa dalam pilihanraya di Amerika contohnya, isu yang akhirnya menjadi penentu bukan lagi pada isu dasar pentadbiran, cukai atau urustadbir yang baik, tetapi isu-isu yang lebih kecil seperti abortion rights, pengiktirafan kepada perkahwinan sejenis, pemilikan senjata api mahupun isu LGBT?

Apabila masyarakat majoriti telah terpecah kepada dua pihak (dalam sistem 2 parti), maka yang menjadi penentu menang kalah adalah mereka yang berada “atas pagar”.  Dalam keadaaan ini, golongan minoriti yang berkepentingan akan memperjuangkan kepentingan mereka, dan mana-mana parti yang dilihat mampu lebih “accommodative” kepada tuntutan mereka akan mendapat undi.

Alangkah malang, apabila yang menentukan menang kalah dalam pilihanraya sebenarnya ialah golongan minority, yang mana mungkin tuntutan mereka sama sekali tidak mencerminkan kehendak majority!

Dalam situasi “hung parliament” apabila tiada parti yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, maka yang menjadi penentu adalah wakil-wakil bebas yang mempunyai  “bargaining power” yang amat besar. Mana-mana parti yang dapat menarik sokongan golongan ini akan mampu membentuk kerajaan. Untuk rujukan lebih lanjut, silakan google “2010 Australian Hung Parliament.”

Taburan Penduduk Mengikut Kumpulan Etnik 2012

Taburan Penduduk Mengikut Kumpulan Etnik 2012

Berbalik kepada suasana Malaysia, kita telah pun menyaksikan dalam keadaan orang Melayu dan Bumiputera yang merupakan 67% daripada jumlah penduduk telah pun terpecah dua, maka undi solid kelompok masyarakat cina yang tidak sampai pun 25% mampu menjadi penentu kemenangan dan memiliki kuasa bargaining yang lebih. Kita dapat lihat bahawa kedua-dua pihak daripada BN atau PR seolah-olah mengalah kepada tuntutan masyarakat cina kerana mengharapkan undi penentu masyarakat cina.

Dalam suasana inilah kita memerlukan satu lagi kuasa pendesak, penentu, pengimbang & pemersatu rakyat. Kuasa yang akan memastikan bahawa kepentingan golongan majoriti tidak tergadai oleh dalam kerakusan mana-mana parti memancing undi kelompok minoriti yang dilihat sebagai undi penentu.

Politik Lucah: Siapa untung, siapa rugi?

April 16, 2013 Leave a comment

PM3_TolakPolitikLucah

Saya berlepas diri daripada menuduh seseorang Muslim tanpa bukti. Saya juga berlepas diri daripada menuduh angkara siapakah yang menyebabkan politik lucah ini berleluasa.

Senario penyebaran video lucah dalam kehangatan kempen PRU ini sangatlah jijik, penyebaran tanpa sebarang sekatan yang membolehkan video ini boleh diperolehi oleh sesiapa sahaja yang memepunyai akses internet. Politik lucah ini sudah sampai ke tahap sangat menjijikkan.

Siapa yang rugi?

Tak kiralah siapa pelaku dan siapa penyebarnya, yang rugi sebenarnya adalah umat Islam secara keseluruhan, kerana tersebarnya maksiat dan kefasadan adalah satu bala. Yang rugi sebenarnya ialah bangsa Melayu Islam yang saban hari disogokkan dan dikaitkan dengan segala sifat lemah dan kehinaan, padahal banyak lagi nilai murni dan sejarah yang agung yang semakin dilupakan, Yang rugi sebenarnya umat Islam, yang seakan gagal menjadi umat contoh, apatah lagi untuk memperlihatkan kemurnian, kecantikan, keagungan Islam itu sendiri.

Apabila politik lucah ini dikaitkan dengan pimpinan Parti Islam, yang rugi adalah seluruh gerakan Islam. Alangkah jijiknya sekiranya niat dan cita-cita murni memartabatkan Islam akhirnya cuma disamakan dengan perlakuan jijik Presiden MCA, yang terang-terangan mengakui perlakuannya, dan kemudian masih di angkat sebagai presiden.

Siapa pula yang untung?

Ada beberapa pandangan yang saya dengar.

1. PR menghadapi isu pertindihan tuntutan kerusi terutamanya antara PAS dan PKR. Skandal politik lucah ini seolah-olah melemahkan posisi PAS dalam mempertahankan tuntutan ke atas kerusi yang dimahukan.

2. Terdapat arus akar umbi dalam PAS yang tidak mengiktiraf calon PM daripada PKR. Kalaulah pimpinan PAS juga ada skandal, maka tak susah nak tekan PAS supaya terima sahaja calon PM yang ada.

3. Selepas PRU 2008, beberapa pimpinan PAS ada terlibat dalam perbincangan mengenai “Unity Government” atau Kerajaan Perpaduan,  antaranya Presiden,Timbalan Presiden dan SUA. Ada puak dalam PAS yang tidak mahukan idea sama diutarakan lagi pada masa akan datang. Timbalan Presiden dah pun disingkiran. Kini SUA pulak dikaitkan dengan politik lucah. 2/3 dah dikeluarkan! Maka selamatlah puak yang sangat-sangat anti kepada idea Kerajaan Perpaduan, walau apapun hujahnya.

4. So, dalam keadaan PKR tengah berlawan dengan PAS, DAP bertepuk tangan. Tak hairan kalau selepas PRU 2013, DAP akan jadi parti terkuat di parlimen dikalangan PR!

Mungkinkan PAS sebenrnya tersilap pilih kawan?

Apapun, politik lucah ini patutnya dikuburkan terus daripada terus menjadi perosak kepada umat!

(disclaimer: pandangan ini adalah pendapat beberapa peribadi bukan pendirian rasmi daripada Arus Baru!)

Categories: Bangsaku Tags: , , , , , ,