Archive

Archive for May, 2012

Durian Runtuh: Antara Ikan atau Joran

Pengumuman “durian runtuh” kepada warga Felda oleh DS Najib di Jengka 8 semalam mendapat reaksi yang pelbagai daripada banyak pihak. Ada yang memuji, menyatakan rasa terima kasih dan bersyukur kepada Allah dan tidak kurang juga yang sinis, kritis dan mengemukakan pelbagai persoalan.

Seorang rakan di syarikat minyak dan gas nasional menyatakan rasa tidak puas hati sekiranya durian runtuh ini dibiaya oleh “taxpayer’s money”. Maklumlah, mereka secara individu merupakan penyumbang besar kepada kutipan cukai pendapatan, dan pada peringkat syarikat pula menyumbang lebih daripada 40% pendapatan Negara. Mungkin rakan saya ini terlupa bahawa kewujudan dan keutuhan mereka pada hari ini bergantung banyak kepada Akta Petroleum 1974 yang “memilik-Petronas-kan” semua hasil minyak dan gas yang dijumpai di bumi Malaysia. Tanpa menidakkan kerja keras dan professionalism semua kakitangan dalam menjayakan syarikat tersebut sehingga mendapat pencapaian hari ini, mereka sepatutnya menyedari bahawa mereka cuma pengendali sumber hasil Negara yang seharusnya memberi manfaat kepada semua rakyat.

Berbalik kepada isu durian runtuh, Ahmad Maslan sudahpun menjelaskan bahawa durian runtuh ini dibiaya oleh wang Felda dan bukan daripada duit pembayar cukai. Untuk makluman, Felda merupakan sebuah agensi kerajaan (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) yang telah sekian lama tidak mendapat peruntukan terus daripada kerajaan, sebaliknya bersifat “self-sufficient” bergantung kepada hasil daripada aktiviti ekonomi anak-anak syarikat. Perbenlanjaan tahunan Felda dikatakan berjumlah RM2billion setiap tahun.

Apabila melihat isu durian runtuh yang telah diumumkan, agakan saya ramai yang tidak berpuas hati dengan jumlah yang dijanjikan (RM15,000 yang dibayar dalam 3 kali pembayaran) jika dibandingkan dengan publisiti yang telah diberikan yang antaranya berbunyi “amaun yang tidak pernah tergambar oleh warga peneroka”. Umum mengetahui bahawa, pada harga pasaran komoditi Minyak Sawit Mentah semasa, pendapatan peneroka menjangkau RM 5000 sebulan. Pembayaran durian runtuh sebanyak RM15,000 dalam tiga kali pembayaran agak tidak jauh bezanya daripada pendapatan bulanan mereka. Persoalan saya, adakah wajar pembayaran sedemikian rupa dibuat?

Felda dibangunkan atas idea berani Tun Abdul Razak, membuka tanah dan memberikan hakmilik kepada peneroka untuk mengusahakan tanah ini sehingga membuahkan hasil. Bagi saya, tindakan ini sangatlah bertepatan dengan tajuk saya, yakni memberikan joran yang membolehkan peneroka akan akhirnya dapat berdikari. Usaha ini seolah-olah menampakkan hasil yang amat memberangsangkan apabila kita melihat kepada hasil pendapatan para peneroka pada hari ini.

Saya melihat idea “visionary” Tun Razak ini amat bertentangan dengan arus ekonomi kapitalis masa kini. Seandainya Tun Razak lebih mencita-citakan perkembangan ekonomi sebagai matlamat, maka sepatutnya tanah yang dibuka diberikan kepada syarikat perladangan komersil, yang tentunya akan membuahkan hasil ekonomi yang berlipat kali ganda, jauh daripada pencapaian peneroka yang mengusahakannya secara persendirian seperti pekebun kecil yang lain. Akan tetapi, apakah makna kemajuan sekiranya anak bangsa akhirnya terpinggir di tanah sendiri? Apakah akan terjadi seandainya projek mega seumpama Felda ini diberikan kepada kroni dan kaum kerabat untuk diusahakan?

Perkembangan Felda selepas era Tun Abdul Razak pada pandangan saya telah agak terpesong daripada matlamat asal untuk melahirkan satu masyarakat yang mampu berdikari, sebaliknya saya melihat bahawa terdapat usaha terancang untuk mengekalkan kebergantungan peneroka terhadap Felda dan kerajaan yang memerintah dan seterusnya menjadikan peneroka sebagai “safe deposit” yang akan dimanipulasikan setiap kali menjelang pilihanraya.

Saya pada mulanya menyalahkan pihak kerajaan ke atas kebergantungan peneroka kepada Felda dan kerajaan. Namun, saya terasa amat terkesan apabila melihat bagaimana tuntutan daripada badan-badan dan kelompok yang mewakili generasi Felda sendiri terhadap pihak kerajaan. Antara tuntutan yang timbul baru-baru ini ialah supaya kerajaan menyediakan rumah dan peluang pekerjaan kepada generasi kedua dan ketiga Felda dan tuntutan supaya tanah ladang yang sekarang diusahakan melalui Felda Plantation dibahagikan kepada generasi kedua peneroka.. Adakah sesuatu yang wajar apabila sebuah generasi yang telah mendapat bantuan untuk hidup berdikari, kemudiannya menuntut supaya pihak yang telah membela nasib mereka kemudiannya membantu pula anak dan cucu mereka? (hal yang sama dengan ahli professional yang telah berjaya dengan bantuan dan peluang pendidikan yang diberikan kepada mereka, kemudiannya masih mengharapkan supaya anak-anak mereka terus dibiaya dengan biasiswa kerajaan, sedangkan sepatutnya merekalah yang membantu orang lain yang masih susah)

Saya membesar dikalangan masyarakat peneroka Felda dan menyaksikan bagaiamana rakan-rakan yang membesar bersama-sama saya dari kalangan anak-anak peneroka Felda melalui hidup mereka. Ada yang berjaya (terutamanya yang meneruskan pelajaran di luar kawasan Felda) dan ramai pula yang menjadi mangsa pelbagai gejala yang melanda mereka yang masih tinggal di tanah rancangan.

Saya melihat pemberian durian runtuh ini, cuma sekadar pemberian ikan yang akan habis juga, melainkan ada yang bijak untuk “menternak” ikan tersebut untuk mendapat hasil jangka panjang. Saya menafsirkan imbuhan ini sekadar salah satu usaha meneruskan kelangsungan kebergantungan masyarakat peneroka kepada pihak kerajaan dan tidak lebih dari itu.

Dengan penyenaraian FGV yang akan datang ini, saya mengharapkan agar masyarakat peneroka bertindak lebih bijak dan tidak cuma menjual saham yang diperuntukkan kepada mereka untuk mendapat untung cepat yang akhirnya habis dijoli, atau dihabiskan dalam “perlumbaan” sesama jiran untuk melihat siapa yang memiliki rumah yang lebih besar dan kereta yang lebih mewah.

Saya mengharapkan akan munculnya satu arus politik baru yang tidak akan memperjudikan nasib anak bangsa untuk kepentingan politik semata-mata. Perjuangan politik tanpa prinsip sehingga sanggup menggadaikan semua perkara perlu dihentikan baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Apa agenda kita dalam berpolitik? Adakah sekadar untuk menang kerusi yang akhirnya kita menurut jejak Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai. Tidak mustahil kita masih akan memenangi pilihanraya, sedang anak bangsa akan terus merempat di tanahairnya yang telah berstatus Negara maju.

Categories: Bangsaku, Sharing Tags: ,

Media Arus Perdana, Kelucahan Melampau & Liberalisasi Nilai

Minggu lepas, media arus perdana negara kita termasuk Utusan Melayu, TV3 dan lain-lain akhbar dan saluran televisyen memaparkan gambar kelakuan seksual seorang pemimpin sebuah parti politik. Tindakan ini amatlah tidak wajar, dan merendahkan martabat media arus perdana jauh lebih rendah daripada sebahagian tabloid dan hampir sama taraf dengan pornography yang hina.

Kes pendedahan skandal seks ini bukan benda baru dalam politik Malaysia, namun kejadian kali ini sudah sampai ke satu tahap yang amat parah, apabila gambar perilaku seksual dipaparkan di muka depan akhbar. Ini menandakan satu gejala politik yang amat kotor lagi hina. Gejala ini nampaknya tidak mengenal bangsa, agama mahupun pendirian politik.

Gejala ini jelas menunjukkan bahawa tahap kematangan politik kita berada pada satu tahap yang amat rendah. Segala perkara menjadi isu politik dan segala perkara seolah-olah boleh dipolitikkan. Pertimbangan yang ada cuma berasaskan neraca politik, tanpa di sana ada pertimbangan lain, dari sudut adat budaya, nilai dan akhlak, pegangan dan agama.

Kesan penyebaran propaganda seksual kepada Masyarakat.

Media arus perdana sepatutnya membuat penilaian yang teliti sebelum isu seumpama ini dipertontonkan kepada khalayak umum. Pertimbangan mereka sepatutnya mengambilkira kesan jangka panjang kepada golongan pembaca yang pelbagai, termasuk kanak-kanak dan remaja. Peranan media arus perdana dalam membentuk pandangan umum terhadap sesuatu perkara perlu diambil berat.

Kemungkinan penyiaran minggu lepas sekadar satu propaganda politik semata-mata. Namun, perlu disedari bahawa kesan yang akan dihadapi oleh masyarakat adalah mendalam dan bersifat jangka panjang. Penyiaran seumpama ini, termasuk pendedahan salah laku seksual beberapa orang artis dan politikus sebelum ini akhirnya mengarus-perdanakan gejala seks luar nikah, perlakuan sumbang dan perilaku seks melangkaui batasan adat budaya, agama dan moral.

Kemungkinan yang sangat hampir dengan kita, ialah perilaku seksual luar nikah dan songsang ini tidak lagi menjadi satu perkara yang asing dan terlarang. Masyarakat akhirnya menjadi “immune” dan mungkin beranggapan bahawa gejala ini adalah satu perkara biasa. Kita telah melihat bagaimana seorang pemimpin MCA masih boleh diangkat sebagai Presiden parti walaupun beliau secara terang-terangan mengakui keterlibatan beliau dengan perilaku seks luar nikah setelah VCDnya tersebar.

Mungkin inilah akhirnya hasil yang diharapkan daripada penyiaran seumpama ini. Masyarakat akhirnya didesak untuk memisahkan unsur agama dan nilai, adat dan budaya daripada pertimbangan politik. Liberalisasi nilai ini sebenarnya akan membawa generasi kita kepada saat-saat kehancuran.

Memandang urutan peristiwa yang berkaitan dengan isu ini secara menyeluruh dan tidak terpisah, saya membuat kesimpulan bahawa kita sedang berhadapan dengan satu arus liberalisasi yang mengalir deras, yang menyerang jantung hati umat, menyerang nilai dan pegangan masyarakat.

Berhadapan dengan arus ini, umat Islam perlu kembali kepada neraca agama dan adat budaya dalam menghadapi sebarang isu. Agama sepatutnya menjadi satu benteng yang utuh, yang menjadi rujukan utama dalam mendepani segenap isu. Agama bukan sekadar satu teori, malah daripada agamalah terdirinya kehidupan. Agama ialah matlamat dan sebab kepada kehidupan ini. Mengembalikan agama ke dalam jiwa setiap orang dalam umat ini menjadi satu perjuangan yang mesti diusahakan sebagai salah satu prasyarat kepada keberlangsungan umat ini dalam menghadapi arus liberalisasi ini.

Categories: Bangsaku, Sharing Tags: ,

Assobiyyah Melayu dari Perspektif Islam

Berikut adalah nota saya daripada Ceramah oleh Ust Muhammad Fauzi Asmuni, di Masjid Al-Ikhlasiah, Pantai Dalam pada 29 April 2012

DBP dalam menterjemah Kitab Muqaddimah Ibnu Khaldun menggunakan ungkapan “semangat kekitaan” sebagai terjemahan kepada Assobiyyah.

Dihadapan kita ada kelompok yang memperjuangkan Islam dengan meninggalkan sepenuhnya istilah bangsa. Ada juga yang memperjuangkan bangsa semata-mata tanpa panduan dan asas daripada syarak dan agama.

Sayangkan keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang diiktiraf;
Kisah bilal yg rindukan makkah, madah Rasulullah,
Fitrah perlu dijaga dan dipelihara.

Sayang kepada bangsa sendiri lebih drpd bangsa lain adalah tidak dilarang pada asalnya.

Ibn Khaldun (sejarawan dan pakar sosiologi) memperkatakan ttg Larangan Assobiyyah;
Kaedah- apa jua yang allah dan rasulnya cela bukanlah satu pengharaman secara mutlak.

Contoh: Marah, marah yang dicela oleh hadith rasulullah, bukan bermakna marah itu tercela secara mutlak. Malah perlunya marah pada tempatnya.

Contoh: Syahwat, celaan apabila tidak kena pada tempatnya. Bukan celaan mutlak yang perlu dimatikan.

Sayang kepada bangsa sendiri adalah satu fitrah yang perlu dikawal dan diletak pada tempatnya.

Assobiyyah yang tercela; menolong bangsa sendiri dalam kezaliman. Membela kaum sendiri yang zalim, memberi sesuatu kpd kaum kerabat yang tidak berhak mendapatnya. Menganggap bangsa sendiri lebih mulia drpd org lain, lalu menzalimi orang lain.

Bolehkah menggunakan sentimen perkauman/semangat kekitaan utk mempertahankan Islam?

Kisah nabi2 menggunakan kaumnya sbg tonggak perjuangan;
Az-zariyaat-36; Nabi Luth tidak dibantu oleh keluarga. Hadith riwayat ahmad; Setelah Rasulullah membacakan ayat ini, baginda berkata; tidak diutuskan rasul (sesudah nabi luth) melainkan dengan perlindungan keluarganya.

Nabi Syuaib diutuskan untuk kaum madyan, dan nabi syuaib merupakan seorang yang lemah dari sudut fizikal sehingga kaumnya berkata; “kalau bukan kerana kerabatmu, nescaya telah kami rejam kamu.

Pengajaran daripada Kisah Dakwah rasulullah
Dakwah Islam bermula dengan keluarga baginda, Khadijah, Ali dan Abu Bakar adalah ister, sepupu dan sahabat terhampir dengan baginda.

Tahun ke-2 kenabian; Daripada 57 org yang memeluk Islam; 6 org daripadanya Bani Hashim (keluarga sebelah bapa), 6 Bani Zuhrah (keluarga sebelah ibu Rasulullah)

Tahun ke-3; nabi kumpulkan keluarga bapanya, Bani Hashim dgn Bani Muthalib sbg permulaan dakwah terang-terangan.
Walaupun cuma sedikit yang masuk Islam, bani hashim dan bani muthalib tetap mempertahankan nabi kecuali abu lahab.

Apabila kepungan dan boikot dikenakan oleh kafir quraisy, kepungan tersebut merangkumi bani hashim dan bani muthalib yg bukan Islam.

Org Quraisy cuma berkeras dgn Rasulullah apabila meninggalnya abu talib dan khadijah, dua orang yang kuat mempertahankan baginda.

Kisah Hijrah; selalu diperlihatkan bahawa nabi telah ditolak oleh bangsanya di makkah lalu berhijrah ke Madinah. Akan tetapi, sebenarnya, Rasulullah memiliki pertalian kekeluargaan dengan Bani Najjar di Madinah.

Datuk kepada Rasulullah, Syaibah Bin Hashim (nama sebenar abd muthalib) lahir dan membesar di Madinah drpd isterinya Salma binti Amru drpd Bani Najjar.

Drpd 6 org pemuda daripada Madinah yang menerima dakwah Rasul semasa musim haji sblm perjanjian aqabah, 2 drpd nya adalah drpd Bani Najjar.

Kefahaman bangsa tonggak yang memelihara kekuasaan Islam sepanjang zaman. Quraisy di zaman rasulullah dan khulafa’ ar-rasyidin, bani Umaiyyah dalam kerajaan Umaiyyah, bani Abbasiyyah, serta kaum Mamluk dan Saljuk (turki) menjadi bangsa tonggak kepada kerajaam Uthmaniyyah.

Ibn khaldun mensyaratkan assobiyyah di kalangan bangsa tonggak sbg unsur kekuatan dalam menegakkan Islam.

Dalam konteks Malaysia, berdasarkan kefahaman bangsa tonggak ini, bangsa Melayu sepatutnya memainkan peranan ini berdasarkan faktor sejarah, demografi dan bilangan mereka.

Seandainya dakwah supaya orang melayu kembali kepada Islam, dan memainkan peranan ini diabaikan, siapakah lagi yang diharapkan untuk menegakkan Islam. Seandainya semua orang cina muslim dan india muslim menjadi baik, mampukah mereka menjadi bangsa tonggak dengan bilangan mereka sedangkan bangsa melayu seluruhnya dibiarkan rosak?

Semangat cintakan bangsa adalah satu kekuatan fitrah yang wajar diletak pada tempatnya dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia.

Rasa cinta dan sayang kepada bangsa sendiri adalah kekuatan fitrah yang diiktiraf dalam Islam. Mendahulukan bangsa sendiri dalam apa jua urusan dengan tidak menzalimi hak orang lain adalah satu manifestasi kasih sayang ini.

Semangat ini sepatutnya digunakan dalam perjuangan memartabatkan agama, dan bukan dinafikan peranannya.

Categories: Bangsaku, Sharing Tags: ,