Archive

Archive for July, 2014

Surah Al-Kafirun untuk siapa?

 

 

 

 

 

Sesetengah orang Islam sejak kebelakangan ini begitu keberatan untuk menggunakan istilah ‘kafir’ untuk merujuk kepada orang bukan Islam. Rata-rata beranggapan istilah ini terlalu keras dan cuma terpakai untuk mereka yang secara terang-terangan memerangi Islam. Sebaliknya, mereka lebih suka mempergunakan istilah non-muslim, not yet muslim, belum Islam atau yang seangkatan dengannya.

Abul A`la Al-Maududi ada membincangkan istilah kafir ini dalam buku “Asas-asas Islam”. Antara yang dibincangkan ialah maksud perkataan kafir itu sendiri, dengan membawa beberapa contoh penggunaan perkataan tersebut dalam bahasa Arab dan di dalam Al-Quran itu sendiri. Secara ringkas, perkataan kafir, selain dari membawa maksud ingkar juga membawa maksud tutup, dinding dan terlindung. Ertinya orang kafir bukan sahaja mereka yang ingkar, menolak seruan dan memusuhi Allah, bahkan juga merangkumi mereka yang terlindung daripada mengenal fitrah, tertutup pengetahuan mereka daripada seruan Islam dan terdinding daripada melihat hakikat Islam dan keimanan terhadap Allah.

Mari kita telusuri hakikat perkataan kafir ini dengan melihat bagaimana ayat-ayat Allah yang diturunkan khusus kepada orang-orang kafir :

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (109:1)
• 109:1 “Katakanlah: “”Hai orang-orang yang kafir,”
لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (109:2)
• 109:2 aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (109:3)
• 109:3 Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.
وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ (109:4)
• 109:4 Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.
وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (109:5)
• 109:5 Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (109:6)
• 109:6 “Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku””.”

Kepada siapakah ayat-ayat ini Allah tujukan, adakah hanya kepada orang yang menentang dan memerangi Islam? Sekiranya-kita perhatikan dengan teliti, ayat-ayat ini diturunkan sebagai menjawab tawaran sebahagian orang orang kafir Quraisy yang tidak menginginkan perpecahan di kalangan kaum mereka yang pada masa itu menguasai Mekah.

Rasulullah adalah daripada Bani Hasyim, keluarga bangsawan yang terhormat, dan cucu kepada Abdul Muttalib yang juga pemimpin yang disegani dalam kalangan orang-orang Quraisy. Dakwah Islam pula diterima oleh mereka yang terkenal dengan sifat-sifat mulia, seperti Abu Bakr As-Siddiq, dan mereka yang memiliki kekayaan seperti Abdurrahman bin Auf dan Uthman bin Affan.

Orang-orang kafir Quraisy yang pada masa itu mementingkan kedudukan mereka sebagai bangsa yang utama di Semenanjung tanah Arab. Mereka tidak menginginkan perpecahan dan mahukan suasana harmoni dikekalkan, demi untuk menjamin kedudukan dan kekayaan mereka, memungut hasil daripada orang-orang yang datang mengunjungi berhala-berhala mereka di sekeliling kaabah. Mereka tidak mahu agama sembahan nenek moyang mereka di cabar dengan agama baru yang dibawa oleh Muhammad.

Mereka inilah yang datang dan membuat tawaran kepada yang pelbagai kepada Rasulullah, yang berbentuk pangkat, wanita dan harta benda. Mereka juga menawarkan supaya berhala sembahan mereka dan Allah disembah secara bergilir-gilir. Mereka datang menawarkan kompromi dan penyelesaian menang-menang, yang memastikan tiada perpecahan dan membolehkan agama mereka dan agama yang baru diseru oleh Rasulullah diamalkan silih berganti.

Mereka inilah yang Allah serukan dengan panggilan wahai orang-orang kafir! Satu seruan dengan keputusan yang muktamad.

Mereka yang dipanggil kafir ini bukan hanya mereka sekadar yang memerangi Islam, kerana pada masa itu belum terjadi apa-apa peperangan di Makkah antara orang Islam dan orang kafir, ketika ayat Makiyyah ini diturunkan.

Alangkah kejinya sekiranya ada umat Islam hari ini yang keberatan pula menggunakan istilah kafir dengan alasan untuk menjaga keharmonian, mengelak perpecahan, mengelak daripada menyinggung perasaan sasaran dakwah mereka dan beralasan bahawa Islam adalah agama rahmat kepada seluruh alam.

Penyelewengan apakan ini? Menyeleweng daripada nas al-Quran yang jelas dan pasti.

Lafaz & Janji dalam Takbir Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang dalam beberapa hari lagi. Lagu-lagu raya telah pun hampir sebulan dikumandangkan. Takbir raya pula mula dialunkan di mana-mana. Takbir raya di Malaysia selalunya dikaitkan dengan kesayuan, pertemuan semula setelah perpisahan yang lama, kesyahduan, kesedihan dan menguntumkan semula kenangan bersama insan tersayang.

Kelembutan alunan takbir terutamanya dalam budaya umat Islam di Malaysia seringkali melupakan kita tentang maksud sebenar disebalik takbir dan tahmid yang dialunkan. Mari kita ikuti sedikit terjemahan takbir raya ini :

(sekalung penghargaan kepada pemilik asal imej, semoga dikurnikan pahala amal soleh yang berpanjangan)

Sesungguhnya alunan takbir itu ialah laungan kemenangan, laungan yang menyatakan kebesaran Allah, dipenuhi pujian-pujian (tahmid) dan menyucikan Allah (tasbih) daripada segala sifat kelemahan.

Takbir ini juga diselangi oleh sebuah janji bahawa umat Islam cuma akan tunduk patuh kepada Allah dan tidak kepada selain-Nya, dengan penuh ketulusan dan keikhlasan semata-mata untuk menegakkan agama Allah, walaupun dibenci dan mendapat tentangan golongan kafir, musyrik dan munafiq.

Takbir ini juga diselangi kata-kata penuh semangat bahawa Allah yang Maha Esa telah , sedang dan akan terus menunaikan janji-Nya, menolong hamba-hamba-Nya, memuliakan tentera-tentera-Nya sebagaimana Allah telah memenangkan Rasulullah dan menghancurkan tentera bersekutu (Ahzab) dengan kekuasaan-Nya.

Inilah maksud sebenar disebalik takbir yang dilaung-laungkan. Ini bukanlah semata-mata takbir yang menitiskan air mata insan diperantauan, terkenang ibu dan ayah di kejauhan, dan bukan pula takbir kesedihan terkenangkan insan tersayang yang telahpun meninggal dunia, jauh sekali sekadar imbauan kenangan setelah perpisahan yang lama.

Marilah kita sama-sama menghayati maksud takbir ini. Mengisafi keadaan umat yang dizalimi di seluruh dunia, mengharapkan pertolongan Allah untuk kembali memartabatkan Islam ke tempatnya yang tinggi, melangkaui segala sistem jahiliyyah yang ada. Marilah kita mengambil pedoman dari peristiwa Ahzab, bilamana seluruh tanah arab bersatu untuk mengepung umat Islam di Madinah, angkara konspirasi jahat yahudi untuk menghancurkan negara Islam yang baru dibina oleh Rasulullah dan para sahabat baginda.

Hari ini, sekali lagi umat Islam ditekan dalam segenap cara yang ada dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan nama. Jangan kita lupa bahawa konspirasi jahat musuh Allah untuk menghancurkan umat akan terus wujud hingga hari kiamat. Pertembungan antara haq dan batil akan terus berlaku dalam apa jua aspek kehidupan. Apa sahaja perkara yang berkait dengan Islam sedang dileraikan satu persatu sehinggalah kita dapat saksikan hari ini, sebilangan umat yang Isalm pada zahirnya namun terkeliru dan bermati-matian memperjuangkan agenda yang bertentangan dengan ajaran agama Islam yang sebenarnya.

Marilah kita mengambil kekuatan dan semangat daripada lafaz takbir ini, untuk bangkit dan berusaha sedaya upaya untuk mengenal ajaran Islam yang sebenar, berusaha dan berjiha untuk menegakkannya dalam apa jua bidang kehidupan yang kita lalui.

Inilah takbir kemenangan. Inilah takbir perjuangan yang tidak akan berhenti sehingga kita bertemu Allah dengan salah satu daripada dua kemenangan, kemenangan Islam atau syahid di atas jalan-Nya.

(Jangan nanti ada pula organisasi Islam yang menuntut supaya lafaz takbir raya pun diubah supaya lebih lunak kepada orang ‘non-muslim’ atas nama ‘rahmat’ dan keharmonian!)

Categories: Bangsaku, Islam, Life Notes