Home > Hajj 1432H > Nikmat Pergi Haji: Bermulanya dengan keazaman.

Nikmat Pergi Haji: Bermulanya dengan keazaman.

Baitullah

Kaabah selepas musim haji

Kewajipan menunaikan fardhu haji adalah sesuatu yang secara umumnya telah sedia diketahui oleh sekalian umat Islam. Kita di ajar sejak dari kecil mengenai kewajipan menunaikan fardhu haji melalui rukun islam yang kita hafal, melalui nasyid-nasyid, melalui hadith-hadith awal dalam Kitab Hadith 40 oleh Imam An-Nawawi dan melalui pelbagai cara lagi. Pendek kata, wajibnya fardhu haji itu adalah sesuatu yang memang diketahui umum.

Berbeza dengan rukun Islam yang lain, haji merupakan satu-satunya rukun Islam yang disebut “bagi yang mampu”. Syahadah, solat lima waktu, puasa di bulan ramadhan dan zakat tidak ada yang disebut wajib bagi yang mampu, cuma ibadah haji sahaja yang disebut wajib bagi sesiapa yang mampu.

Para ulama mentakrifkan istilah ‘mampu’ ini umumnya dalam perihal harta dan kekuatan fizikal. Ibadah haji memerlukan pengorbanan harta benda yang agak banyak dan memerlukan banyak pergerakan anggota badan. Rukun dan wajib haji memerlukan perjalanan daripada beberapa tempat yang spesifik dalam tempoh waktu yang spesifik. Bilangan umat yang berpusu-pusu mengerjakan haji menambahkan lagi cubaan dan dugaan sepanjang tempoh ini.

Kadangkala, istilah mampu ini saya rasakan terlebih diberi penekanan, sehingga ramai merasakan bahawa ibadah haji itu belum wajib bagi mereka kerana mereka belum mampu. Ramai juga yang menggunakan istilah “sampai seru”. Mereka merasakan bahawa mereka belum sampai seru padahal tiada halangan bagi mereka mengerjakan haji dari segi kewangan mahupun kesihatan.

Perlu diingat bahawa kewajiban haji tidak terputus walaupun setelah seseorang itu mati, malah seumpama hutang piutang, pihak waris perlu mengerjakan haji bagi pihak si mati. Rukun Islam lain seperti puasa dan solat tidak diwarisi kewajibannya setelah seseorang itu mati, dan tidak perlu di qadha oleh pihak waris.

Saya sendiri cuma mempelajari ilmu-ilmu tentang haji sekadar salah satu daripada rukun islam, dan sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Tidak pernah terdetik di hati saya ketika menyanyikan nasyid “Rukun Islam 5 Perkara” atau ketika belajar di sekolah tentang ibadah haji, bahawa ibadah ini perlu saya segerakan seawal yang mungkin, sebaik sahaja saya “mampu”.

Saya mula terfikir untuk menunaikan fardhu haji seawal yang mungkin ketika saya sedang menuntut di Melbourne. Pada masa itu sekumpulan pelajar merancang untuk menunaikan fardhu haji terus dari sana, yang mana kosnya lebih murah dan tidak perlu mendapatkan giliran berdasarakan kuota Negara. Saya amat teringin untuk turut serta dalam rombongan itu, namun tidak memiliki kemampuan dari segi kewangan, memandangkan semua wang simpanan saya baru sahaja saya gunakan untuk majlis perkahwinan saya pada Januari 2004.

Bermula detik itu saya memahatkan azam untuk menunaikan fardhu haji seawal mungkin. Sebaik sahaja saya dan isteri mula bekerja, kami mula mendaftarkan diri untuk menunaikan fardhu haji. Pada waktu itu, jumlah minima yang perlu ada dalam akaun tabung haji iaitu RM1300 seorang. Jumlah itu terasa seakan sangat banyak jika dibandingkan dengan gaji bulanan kami dan tuntutan kewangan semasa, ketika memulakan hidup berumahtangga di tanahair dengan seorang cahaya mata. Pernah satu ketika kami terpaksa membatalkan pendaftaran haji tersebut, kerana memerlukan wang untuk membayar deposit sewa rumah ketika kami berpindah dari Seremban ke Kuala Lumpur. Kami segera mendaftarkan diri semula sebaik sahaja memiliki jumlah wang yang mencukupi beberapa bulan selepas itu.

Pernah juga cita-cita untuk menunaikan haji seawal mungkin ini seakan-akan terkubur apabila saya bertukar pekerjaan dan mula ingin bekerja sendiri, sementara isteri pula berhenti kerja untuk malanjutkan pelajaran. Dengan sumber pendapatan yang tidak menentu, dan wang simpanan yang semakin berkurangan, cita-cita haji saya seakan tenggelam dalam kesibukan harian. Adakalanya, keperluan harian kami cuma sempurna dengan pertolongan daripada orang tua kami.

Allah yang Maha Kaya mengurniakan rezeki kepada hambanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka. Benarlah janji Allah dalam ayat yang masyhur dengan nama ayat seribu dinar; “dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan untuknya jalan keluar, dan rezekinya daripada sumber yang tidak disangka-sangka, dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka akan dicukupkannya….

Untuk musim haji 1431H/2010M, Saya dan isteri menghantar rayuan kepada pihak tabung haji untuk menunaikan fardhu haji pada tahun tersebut, sambil diiringi doa dan harapan. Allah lah yang sebaik-baik perancang. Rayuan kami di tolak pada tahun tersebut.

Tahun berikutnya, kami masih menaruh harapan. Rayuan yang sama kami hantar, dan jawapan yang kami terima daripada pegawai yang bertugas bahawa, surat rayuan kami akan tetap diproses, akan tetapi pelunag yang ada amatlah tipis kerana rayuan yang diutamakan adalah untuk warga tua dan mereka yang amat perlu menyegerakan fardhu haji, sedangkan kami tidak termasuk dalam kelompok tersebut. Kami dinasihatkan untuk mendaftar dengan mana-mana pakej terutamanya pakej TH Travel sekiranya kami benar-benar mahu pergi awal, kerana peluangnya lebih cerah. Pada waktu itu, wang simpanan kami sekadar cukup untuk pergi berdua melalui muassasah yang mana kosnya lebih kurang sepuluh ribu ringgit seorang, sedangkan kos untuk pakej adalah dua kali lebih banyak. Mana mungkin kami dapat kumpulkan sebanyak itu dalam tempoh kurang setahun. Kami buntu. Dalam masa yang sama, kami tetap mendaftar dan berusaha dan tidak putus-putus berdoa untuk menyampaikan kami ke tanah suci tahun ini. Itulah tema doa-doa saya sepanjang ramadhan tahun ini, terutama dalam qiamullail di sepuluh malam yang terakhir.

Allah Maha Kayalah yang mencukupkan segala keperluan hambanya. Kadangkala, Allah tidak mengurniakan segala yang kita pinta secara terus. Cukuplah kiranya Allah meletakkan kita dikalangan hamba-hambanya yang soleh, dermawan lagi budiman. Begitulah Allah akhirnya mencukupkan keperluan kami. Alhamdulillah kami dikelilingi ibu bapa, adik beradik, saudara mara dan sahabat handai yang banyak membantu memudahkan urusan persediaan kami untuk ke tanah suci.

Akhirnya, berita gembira itu sampai jua. Kami terpilih menunaikan haji tahun ini, walaupun daripada jumlah yang mendaftar pakej bersama kami, cuma separuh sahaja yang terpilih. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar! Walillahilhamd. Kepada-Nya lah segala puji-pujian.

Labbaikallahumma labbaik! Labbaika lasyariikalaka labbaik! Innal Hamda, Wanni’mata, laka walmulk, laasyariikalak; “hamba-Mu datang menyahut seruan-Mu, Ya Allah, hamba-Mu datang menyahut seruan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut seruan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut seruan-Mu. Sesungguhnya kepada-Mu segala puji, segala nikmat, milik-Mu segala kekuasaan, tiada sekutu bagi-Mu.

Categories: Hajj 1432H
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: