Home > Bangsaku, Sharing > Kisah Penglipurlara: Tongkat Sakti

Kisah Penglipurlara: Tongkat Sakti

Kisah Penglipur-lara: Tongkat Sakti

Al-kisah sebuah bangsa yang hidupnya amat payah dek kerana kurang upaya untuk berjalan sebagaimana bangsa-bangsa yang lain. Kepayahan ini mendorong para cerdik pandai di kalangan mereka untuk mencari jalan keluar daripada kemelut yang mereka hadapi yang menyebabkan mereka tidak mampu bersaing dalam perlumbaan yang mereka sertai. Apatah lagi ada bangsa lain telah mampu untuk berlari sedangkan mereka masih terkial-kial berjalan.

Lalu datanglah idea bernas supaya mereka mencipta tongkat sakti yang membolehkan mereka berjalan. Mereka pun mulalah menggunakan tongkat-tongkat sakti mereka. Mereka berharap, dengan adanya tongkat ini mereka akan mampu bersaing, sekurang-kurangnya tidaklah jauh sangat ketinggalan meskipun tiada harapan untuk memenangi perlumbaan dalam keadaan bertongkat.

Setelah berlalu satu tempoh masa, tongkat sakti ini seakan berhasil membantu menyelesaikan sebahagian daripada masalah kurang upaya mereka. Namun dari pemerhatian mereka ada, meskipun di kalangan bangsa ini ada yang berjaya mengatasi kurang upaya mereka namun ramai yang masih gagal dan masih di tampuk lama..

Di kalangan mereka yang berjaya, terdapat beberapa golongan. Yang pertama, mereka yang telah mampu berjalan ini sebenarnya amat bergantung kepada tongkat saktinya untuk terus berjalan. Tongkat sakti itu seakan menjadi salah satu daripada anggota badan mereka. Mereka tidak sesekali mampu berjalan tanpanya. Kehilangan tongkat itu akan mengembalikan mereka kepada situasi asal mereka.

Golongan yang kedua pula seakan lebih beruntung. Mereka tidak lagi perlu bertongkat. Namun, masalah mereka ialah mereka tidak mampu mengajarkan keupayaan yang baru mereka peroleh kepada keturunan mereka. Mereka yang telah mampu berjalan ini mengajarkan kepada anak mereka, “kalau nanti tiba masanya kamu mahu berjalan, maka cari lah tongkat sakti yang akan dapat membantu kamu.” Itulah sahaja cara yang mereka ketahui berhasil untuk membolehkan mereka berjalan. Tongkat lain pula diperlukan untuk membantu setiap anak-anak mereka.

Ada golongan ketiga yang lebih berjaya. Mereka bukan sahaja mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat malah mereka juga mampu menggunakan tingkat itu untuk membuat lompatan jauh yang memberikan keuntungan besar kepada mereka. Mereka pun dapat hidup dengan bahagia dan merasai hasil usaha mereka. Namun, malangnya kesenangan mereka hanya untuk diri mereka sahaja.

Ada golongan keempat yang lebih besar kejayaannya. Mereka ini, selain mencapai apa di capai oleh golongan ketiga, mereka juga menyedari bahawa tongkat sakti mereka mempunyai kuasanya yang tersendiri. Dengan kuasa tongkat sakti ini, ada yang mampu berlari, melompat tinggi malah ada yang mampu terbang dan meluncur di atas angin. Mereka menikmati kesaktian tongkat mereka dan melupakan bahawa tujuan asal mereka bertongkat hanyalah untuk membolehkan mereka berjalan.

Setelah berlalunya masa, maka muncullah di kalangan anak cucu keempat-empat golongan yang telah berjaya ini yang mulai lupa daratan. Mereka lupa bahawa kejayaan mereka bukan lah seratus peratus hasil titik peluh mereka malah banyak bergantung kepada kesaktian tongkat mereka. Mereka pun mendabik dada seraya berkata, “Buanglah semua tongkat ini. Bangsa kita tidak lagi memerlukan tongkat seumpama ini. Bangsa kita telah mampu berjalan seiringan, berlari sama laju malah terbang sama tinggi dengan sesiapa pun.”

Di pelusuk negeri yang sama, rupa-rupanya ramai lagi mereka di kalangan bangsa yang sama yang masih belum berjaya untuk berjalan dan jumlah mereka adalah berlipat kali gandanya jika dibandingkan dengan empat golongan di atas.

Di kalangan mereka ada yang pernah dihulurkan tongkat, namun tongkat yang mereka perolehi bukan sahaja gagal menjadikan mereka pandai berjalan, malah lebih malang lagi dengan kebergantungan mereka kepada tongkat itu membuatkan anggota badan mereka makin lemah dan akhirnya lumpuh sama sekali. Tongkat itu pun tidak lagi mampu menampung berat badan mereka.

Ada juga penerima tongkat sakti ni yang sebenarnya tidak mahukan apa-apa melainkan sekadar dicukupkan makan minum mereka tanpa mereka perlu berlari. Golongan ini meminjamkan, memajak, menyewakan dana ada juga yang menjual tongkat mereka kepada bangsa lain sekalipun mereka ketahui bangsa tersebut sebenarnya telahpun lama mampu berlari. Mereka tidak kisah akan hakikat perlumbaan. Kalah dan menang tiada ertinya. Yang penting cuma kecukupan keperluan mereka.

Terdapat juga golongan yang telah menerima tongkat sakti ini sebenarnya tidak pernah memiliki keinginan untuk berjalan apatah lagi untuk berlari. Cukuplah bagi mereka untuk menjadi penonton acara perlumbaan yang disertai orang lain. Cukuplah kiranya mereka bersorak daripada tepi galanggang perlumbaan. Tongkat sakti itu tiada dapat merubah apa-apa.

Terdapat satu lagi kelompok yang ramai juga bilangan mereka. Mereka belum lagi mendapat tongkat mereka meskipun telah dijanjikan berkali-kali. Mereka masih menanti untuk mendapat tongkat yang dikatakan orang sekian banyak kesaktiannya.

Itulah nasib sebuah bangsa yang dikisahkan si penglipurlara. Tongkat sakti seakan telah sampai tarikh luputnya. Masalah mereka masih belum ditemukan penyelesaiaannya.

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: