Home > Bangsaku > Samakah ISMA dengan UMNO?

Samakah ISMA dengan UMNO?

Setelah selesai sessi Forum Cabaran Umat Islam di Malaysia di Rochester baru-baru ini, seorang peserta datang membisikkan satu soalan, bunyinya lebih kurang begini: “Saya nampak ISMA ni memperjuangkan Melayu, apa beza ISMA dengan UMNO yang juga memperjuangkan nasib Melayu?”

Saya tidak dapat mengagak kenapa soalan seumpama ini ditimbulkan. Sebuah parti besar yang sejarahnya melebihi setengah abad, dengan segala kisah suka duka bangsa Melayu, manakan boleh disamakan dengan sebuah NGO yang baru setahun jagung seperti ISMA.

Forum Rochester

Walau apapun sebab soalan ini ditanya, ini adalah pandangan saya.

Saya ingin jelaskan sekali lagi sebagaimana yang telah diperkatakan oleh pimpinan-pimpinan ISMA, slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat merupakan satu strategi semasa yang menyeru oramg Melayu yang sememangnya beragama Islam supaya bersepakat dalam isu umat Islam. Kesepakatan di kalangan orang Melayu yang merupakan majoriti umat Islam di Malaysia, merupakan satu faktor penting ke arah mendaulatkan Islam dalam konteks Malaysia. Sekiranya  kelompok majoriti ini tidak mampu bersepakat dalam isu kepentingan umat, maka umat Islam dan isu-isu umat Islam akan terus menjadi bahan percaturan politik semasa. Kita menyaksikan bahawa bagaimana kelemahan bangsa Melayu dalam segenap aspek hidup sebenarnya memberi kesan kepada perkembangan Islam di tanah air. Keindahan dan kemuliaan Islam tidak dapat diserlahkan dalam keadaan majoriti penganutnya menghadapi pelbagai permasalahan.

ISMA menjadikan bangsa Melayu sebagai sasaran dakwah dan menjadikan usaha memperkasakan jatidiri orang Melayu sebagai salah satu gerak kerja yang utama ke arah memartabatkan Islam dalam struktur negara. Kita akui dalam banyak perkara, perlaksanaan Islam di Malaysia masih belum bersifat syumul dan menyeluruh seperti yang dituntut oleh agama.

Apabila kita bandingkan UMNO dengan ISMA, terlalu besar jurang bezanya walaupun tidak dinafikan bahawa mungkin terdapat beberapa seruan ISMA yang kelihatan selari dengan kepentingan UMNO. Bahkan, dalam seruan kesepakatan yang ISMA canangkan, seruan ini sebenarnya melangkau batas politik dan sempadan kepartian sedia ada.

UMNO merupakan parti politik yang sememangnya seluruh jenteranya adalah bekerja untuk kepentingan politik, manakala ISMA cuma menjadikan politik sebagai salah satu daripada gerak kerja yang banyak dalam pelbagai aspek pembangunan masyarakat. Kerja-kerja politik dalam ISMA hanyalah dilaksanakan oleh sebuah biro, disamping biro-biro yang lain dan dalam ruang lingkup yang bersangkutan dengan kepentingan umat Islam semata-mata.

UMNO meletakkan pembangunan ekonomi sebagai salah satu agenda besar untuk mengubah nasib orang Melayu sedangkan ISMA menganggap bahawa penyelesaian kepada permasalahan bangsa Melayu sebenarnya berpaksikan pengamalan Islam yang syumul. Islam sahajalah yang mampu mengangkat darjat bangsa Melayu sebagaimana yang telah dibuktikan oleh sejarah bangsa Melayu itu sendiri. Melayu berada pada puncak kegemilangan dengan berpegang kepada agama Islam.

Secara terang, UMNO juga ada masalahnya yang tersendiri. Tanpa menafikan sumbangan UMNO kepada pembangunan bangsa Melayu dalam sejarahnya yang panjang sejak daripada perjuangan menentang Malayan Union, kita juga tidak dapat menafikan bahawa UMNO ada sumbangannya terhadap penyakit-penyakit dan gejala yang menimpa umat hari ini. Setelah kita mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun yang lalu, dengan UMNO memegang tampuk pemerintahan selama tempoh itu, negara kita cuma mengecapi pembangunan dari sudut material sedangkan jatidiri bangsa masih di takuk lama. Minda kita masih terjajah dan kita masih lagi mencedok makna pembangunan sebagaimana difahami bangsa penjajah. Pengamalan Islam kita masih berada pada tahap yang lemah dan Islam cuma dilihat sebagai ritual-ritual dalam pengertian yang terpisah-pisah.

Amat jauh jurangnya antara UMNO dan ISMA . Saya meletak harapan saya kepada ISMA sebagai penyelesaian kepada kemelut bangsa Melayu ke arah mendaulatkan Islam di Malaysia, menjauhi sempadan politik kepartian yang sempit dan dan ketaksuban kepada bangsa semata-mata.

PolitikISMA

Categories: Bangsaku Tags: , , ,
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: