Home > Bangsaku, The World > Mesir & Gaza; Cabaran Tarbiyyah Umat

Mesir & Gaza; Cabaran Tarbiyyah Umat

250px-Gaza_Strip_map2.svgGAZA

25 Januari 2006: Pilihanraya Palestine Legislative Council (PLC) menyaksikan kemenangan HAMAS di Gaza. Kemenangan ini disusuli suasana tidak stabil dengan pelbagai usaha untuk menggugat kredibiliti kerajaan baru yang dibentuk HAMAS. Quartet for Middle East yang di anggotai Amerika Syarikat, PBB, European Union dan Russia yang merupakan antara pembiaya utama Palestinian National Authority(PNA) seterusnya membekukan bantuan kewangan kepada kerajaan baru pimpinan HAMAS. Israel pula menyekat kutipan cukai yang dikutip oleh Israel bagi pihak PNA. Keadaan ekonomi selepas itu cukup sukar untuk kerajaan baru HAMAS yang berpusat di Gaza. Tidak cukup dengan itu, Gaza menghadapi sekatan ekonomi dan semua pintu sempadannya ditutup. Gaza yang berkeluasan 360 km persegi dengan populasi lebih daripada 1.67 juta menjadi sebuah pusat tahanan terbesar di dunia. Sekatan ke atas Gaza dirancang supaya akhirnya rakyat yang terhimpit dengan kesusahan akan bangkit menggulingkan kerajaan HAMAS. Namun apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan. Meskipun dalam keadaan yang sukar, dengan kebanyakan pegawai kerajaan tidak mendapat gaji sehingga berbulan-bulan, penduduk Gaza kebanyakannya setia dengan pemimpin HAMAS yang mereka pilih dalam pilihanraya tahun 2006.

Sehingga hari ini, kerajaan HAMAS di Gaza masih utuh dan mula mendapat bantuan dan sokongan daripada masyarakat dunia.

 

MESIR

25 Januari 2011: Bermulanya Revolusi Rakyat Mesir yang akhirnya berjaya memaksa Hosni Mubarak mengundurkan diri pada 11 Februari 2011.

28 Nov 2011 – 11 Jan 2012: Pilihanraya Parlimen Mesir yang dimenangi sebahagian besarnya oleh Ikwanul Muslimin.

24 Jun 2012: Keputusan pilihanraya presiden Mesir yang diadakan antara 23-24 Mei (pusingan pertama) dan 16-17 Jun (pusingan kedua) menyaksikan Mohammad Morsi diumumkan sebagai Presiden Mesir

30 Jun 2012: Mohammad Morsi mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir pertama yang dipilih melalui pilihanraya yang bebas dan dipantau masyarakat antarabangsa.

3 July 2013: Seluruh dunia menyaksikan rampasan kuasa tentera yang mendapat sokongan kuasa-kuasa besar pejuang demokrasi, yang dimulakan dengan tunjuk perasaan rakyat mesir yang dipimpin oleh kelompok liberal yang telah kalah dalam pilihanraya parlimen dan juga pilihanraya presiden. Tunjuk perasaan kebanyakannya menyatakan ketidakpuasan hati mereka atas kegagalan kerajaan pimpinan Mohammad Morsi dalam menangani kesusahan dan kesengsaraan yang dihadapi rakyat, walaupun rata-rata mengakui bahawa kebanyakan masalah tersebut adalah warisan daripada kerajaan diktator Hosni Mubarak.

APA KAITAN DUA NEGARA BERJIRAN INI

Pilihanraya kedua-dua negara berjiran ini dimenangi oleh pejuang Islam yang banyak persamaanya. Malah HAMAS pernah diistilahkan sebagai sayap Ikhwanul Muslimin di Palestin. Kemenangan kedua-duanya melalui pilihanraya yang bebas cuma menyerlahkan sifat sebenar kuasa besar dunia yang mendabik dada sebagai pejuang kebebasan dan demokrasi. Hipokrasi yang sangat ketara dapat dilihat apabila kemenangan HAMAS disusuli sekatan antarabangsa, manakala rampasan kuasa tentera Mesir ke atas presiden yang dipilih oleh rakyat pula mendapat pengiktirafan dunia. Apa yang jelas, demokrasi cuma akan diiktiraf apabila pihak tertentu memenangi pilihanraya.

Saya melihat bahawa fenomena yang berlaku di kedua-dua negara ini memberi petunjuk yang begitu besar kepada gerakan Islam seluruh dunia. Kebangkitan sesebuah gerakan Islam memerlukan kekuatan massa untuk mempertahankannya. Masyarakat Gaza telah mengenali HAMAS semenjak penubuhan HAMAS sejak 1987. Mereka menyaksikan bagaimana peribadi tokoh-tokoh HAMAS. Mereka menyaksikan dan mengambil manfaat daripada usaha-usaha HAMAS membantu rakyat Palestin. Mereka juga menyaksikan bagaimana pimpinan HAMAS bukanlah boneka yang boleh dibeli dengan kekayaan harta yang sanggup menggadaikan tanah air kepada pihak Yahudi Israel semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Mereka menyaksikan bagaimana HAMAS terus berjuang menentang kezaliman zionis, terpenjara sebahagiannya, tertindas, terbuang dan ramai yang terbunuh. Rakyat Gaza sanggup bersama HAMAS walaupun dihimpit kesempitan.

Masyarakat Mesir juga menjadi saksi jatuh bangun Ikhwanul Muslimin sejak daripada penubuhan jemaah tersebut oleh Imam Hassan Al-Banna. Beberapa generasi pimpinan telah berlalu dan mereka thabat menghadapi pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman. Allah sahaj yang tahu berapa ramai di kalangan mereka yang shahid dalam tahanan, yang diseksa, yang dipenjara tanpa pendakwaan dan bermacam-macam lagi dugaan. Rakyat Mesir mengenali tokoh-tokoh ikhwan dalam kapasiti mereka yang pelbagai, ramai yang menjawat jawatan penting dan ahli professional menabur bakti melalui perkhidmatan mereka. Tidak kurang juga mendampingi masyarakat melalui ilmu mereka, memberi tunjuk ajar kepada masyarakat. Alim-ulama ikhwan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat Mesir. Sumbangan mereka dalam bidang ekonomi dan dalam pelbagai bentuk amal kebajikan tiada tandingan dalam medan amal masyarakat yang meluas. Tidak cukup dengan itu, mereka juga terjun ke kancah politik, memberi harapan baru dan membentang jalan peneyelesaian yang realistik dan islamik.

Gaza cuma diduduki oleh 1.67 juta penduduk dalam keluasan yang sempit. Amat jauh jika kita bandingkan dengan negara Mesir yang populasinya melebihi 84 juta dan merupakan antara negara arab paling besar dengan keluasan lebih satu juta kaki persegi. Walaupun amal masyarakat Ikhwanul Muslimin telahpun bertapak di Mesir lebih daripada 80 tahun, jangkauan mereka belum lagi mampu mengawal masyarakat umum yang begitu besar jumlahnya.

Mesir juga telah menghadapi perang saraf yang begitu panjang tempohnya. Sejak daripada kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah, Mesir melalui fasa pemerintahan beraja sebelum diterajui oleh presiden-presiden diktator yang juga merupakan pemimpin tentera. Selama tempoh itu pelbagai aliran pemikiran telah mewarnai politik Mesir, daripada Nasionalis, Komunis dan Liberal dan dalam masa yang sama menggunakan kekuatan tentera untuk mengawal kestabilan. Dalam masa yang sama Mesir juga terlibat dalam percaturan kuasa-kuasa besar dunia, dalam perang dingin dan juga menjadi sebuah negara penting dalam menjamin keselamatan rejim zianis di Israel. Mesir berada di bawah undang-undang darurat sejak dari tahun 1967 sehinggalah 2012. Dalam suasana inilah, Ikhwanul Muslimin bergiat dan berkembang meskipun dalam keadaan yang sangat tertekan.

Egypt Morsi

PENGAJARAN UNTUK GERAKAN ISLAM

Satu pengajaran yang sangat penting daripada peristiwa di Mesir dan Gaza adalah betapa pentingnya gerakan Islam itu mampu menguasai massa. Inilah yang kita saksikan di Gaza, bagaimana HAMAS mampu menguasai massa dan bagaimana masyarakat sanggup untuk bersusah payah mempertahankan gerakan Islam walaupun mereka bukan ahli HAMAS. Inilah cabaran amal tarbiyyah masyarakat. Tidak cukup untuk sesebuah gerakan Islam itu untuk cuma berlegar-legar di kalangan ahli padahal dalam masa yang sama masyarakat sekitar tidak langsung mengenali mereka, apatah lagi merasai kesan tarbiyyah mereka.

Saya masih ingat ucapan dasar Mesyuarat Agung Tahunan ISMA pada 2009 yang bertemakan “Memacu Misi Perjuangan Ummah”. Antara isi ucapan dasar itu berkisar mengenai suasana Gaza yang baru sahaja melalui Perang Furqan 23 hari yang menyaksikan bagaimana ummat Islam Gaza membuktikan taat setia mereka kepada HAMAS walaupun terpaksa menghadapi peperrangan yang amat berat sebelah. Ucapan dasar tersebut meletakkan Gaza sebagai masyarakat contoh, yakni meletakkan satu objektif bahawa dakwah masyarakat sebenarnya cuma akan dikatakan berjaya dengan lahirnya masyarakat yang sanggup bersusah mempertahankan gerakan Islam.

Saya tidak katakan bahawa Ikhwanul Muslimin gagal dalam dakwah masyarakat mereka. Mereka cuma berdepan dengan suasana yang jauh lebih sukar. Malah, saya pernah mendengar daripada mulut pimpinan ikhwan Mesir bahawa mereka tidak meletakkan fasa dakwah mereka sebagai fasa menerajui negara Islam, namun mereka terpaksa turun dan terlibat dalam revolusi 25 Januari, pilihanraya parlimen dan pilihanraya presiden kerana tanpa mereka mturun dan mengambil tanggungjawab itu, maka pimpinan negara Mesir akan jatuh ke tangan kelompok liberal yang mana mudharatnya adalah jauh lebih besar. Dakwah massa Ikhwanul Muslimin Mesir sebenarnya telah mampu menjangkaui sebahagian besar rakyat Mesir. Namun, yang nyata di sana masaih ramai juga yang masih berfikiran liberal, yang mendapat sokongan dana dan media antarabangsa yang akhirnya menggerakkan tunjuk perasaan menentang Mohammad Morsi.

RELEVANSI DENGAN SENARIO POLITIK MALAYSIA

Melihat dan merenung dua senario ini, meletakkan satu persoalan yang besar apabila saya meneliti suasana politik Malaysia. Ke manakah halatuju sebenar gerakan Islam di Malaysia. Cukupkah kita berjuang dalam jihad pilihanraya untuk menegakkan negara yang Malaysia yang lebih islamik. Cukupkah dengan meletakkan nama Islam dalam nama parti dan cuma bergerak sebagaimana parti politik lain bergiat? Cukupkah dengan sekadar mendapat undi majoriti dalam peti undi atau menguasai parlimen untuk menegakkan Islam di Malaysia?

Lebih malang lagi apabila sebahagian daripada mereka dalam Parti Islam dan Gerakan Islam sebenarnya menyandarkan kemenangan mereka kepada kelompok-kelompok lain daripada pelbagai aliran pemikiran. Calon-calon daripada gerakan Islam pula bertanding atas nama yang pelbagai, tanpa dikenali oleh masyarakat bahawa mereka adalah daripada gerakan Islam yang memperjuangkan Islam. Bahkan agenda Islam mereka juga tidak kelihatan dalam kecamuk campur aduk pemikiran yang cuba diterjemah dalam manifesto mereka,

Sebenarnya, perjalanan masih jauh. Suasana masyarakat kita masih jauh daripada Islam sebagaimana yang kita fahami. Dalam masa yang sama perancangan musuh-musuh Islam pula tidak mampu difahami kebanyakan orang Islam. Kerja-kerja untuk menterjemah fikrah dan dakwah dalam masyarakat masih memerlukan kerja kuat dan akan memakan masa yang panjang. Masyarakat Islam Gaza tidak lahir pada hari HAMAS memenangi pilhanraya. Masyarakat Islam Mesir masih belum mampu menangani tekanan dunia walaupun setelah Ikhwanul Muslimim berpenat lelah dan berkorban jiwa dan raga sejak daripada penubuhannya pada 1929. Teramat janggallah pandangan mereka yang mengisytiharkan diri sebagai wakil rasmi Ikhwanul Muslimin di Malaysia, yang mensasarkan kemenangan Islam di Malaysia dalam tempoh yang singkat, cuma dengan berdasarkan perancangan strategik yang sempit.

himpunan Morsi

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: