Home > Bangsaku > Hak Istimewa orang Melayu, Keadilan Islam & Integrasi Kaum

Hak Istimewa orang Melayu, Keadilan Islam & Integrasi Kaum

Terdapat kecenderungan golongan politikus Islamis di Malaysia yang cuba membawa penyelesaian kepada permasalahan negara dengan penyelesaian dari kaca mata Islam. Perkara ini amatlah baik dan perlu kerana Islam adalah agama yang syumul yang sepatutnya merangkumi seluruh aspek kehidupan, daripada sekecil-kecil perkara seperti membersihkan najis pada kemaluan sehinggalah kepada pemerintahan negara dan hubungan antarabangsa.

Namun begitu, adalah amat perlu diberi perhatian bahawa penyelesaian yang ‘islamik’ ini kadangkala diambil secara tampal-tampalan. Kaedah-kaedah umum dalam islam seperti keadilan sejagat, hak dan kebajikan rakyat serta tanggungjawab pemerintah dilaung-laungkan secara semberono. Lebih malang lagi apabila penyelesaian yang ‘islamik’, itu hanya sekadar kosmetik, yang kelihatan cantik dari luar, tapi sebenarnya kosong dan dangkal.

Dalam banyak hal, penyelesaian yang Islamik itu sebenarnya diaplikasikan untuk menyelesaikan masalah yang sebenarnya timbul daripada lemahnya perlaksanaan Islam atau pengamalan Islam dalam cuma sebahagian kecil daripada kehidupan. Sepatutnya, penyelesaian yang sebenar adalah kembali kepada pengamalan Islam yang syumul dari segi zahir dan maknanya (forms and substance) dan bukan hanya penyelesaian yang bersifat kosmetik menggunakan kaedah umum dalam Islam yang ditafsirkan secara longgar. Itulah yang kita hadapi pada hari ini.

Apabila kita memperkatakan bahawa kita perlu memberi hak samarata kepada semua rakyat atas dasar keadilan sejagat dalam Islam tanpa mengira bangsa dan agama, kita sebenarnya terlupa bahawa kita bercakap dalam negara yang belum mengamalkan Islam secara sepenuhnya. Dalam negara Islam,  orang kafir zhimmi yang mahu duduk di bawa pemerintahan negara Islam, sememangnya memiliki hak yang sama rata dari segi kebajikan dan undang-undang (undang-undang Islam). Kaedah yang digunapakai di sini ialah Lahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna. Orang kafir zhimmi ini juga dekehendaki membayar jizyah sebagai tanda ketundukan dan penerimaan kepada sistem Islam yang mana kadarnya adalah lebih rendah daripada kadar zakat yang dikenakan ke atas orang Islam, di samping cukai yang kenakan berdasarkan keperluan negara. Di samping itu juga, terdapat had-had ke atas kuasa politik yang boleh dipegang oleh kafir zhimmi, melainkan dalam skop yang kecil. Dalam keadaan ini, hak sama rata orang kafir adalah dijamin, baik dari segi kebajikan, kebebasan mendapat keperluan asas dan mendapat layanan sama rata di sisi undang-undang.

Dalam membincangkan isu negara kita Malaysia, adakah hak sama rata ini boleh digunapakai semata-mata berasaskan prinsip keadilan Islam yang bersifat sejagat (universal)? Saya bukan mengatakan prinsip Islam tidak boleh digunapakai, namun wajarkah prinsip itu digunakan secara semberono tanpa adanya sifat-sifat negara Islam yang saya sebutkan tadi?

Hak Istimewa Melayu & Bumiputera

Hak istimewa orang melayu sebenarnya satu prinsip yang telah dipersetujui semasa penubuhan Persekutuan Tanah Melayu untuk mengimbangi jurang sosio-ekonomi antara pemilik asal ‘Tanah Melayu’ dan kaum-kaum yang baru menetap di Tanah Melayu melalui proses penghijrahan beramai-ramai. Dasar Pecah dan Perintah (Divide & Rule) British sebelum merdeka menyebabkan identifikasi kaum yang sangat ketara dari segi geografi dan aktiviti ekonomi, selain cuma memajukan tempat-tempat tertentu berdasarkan kepentingan British.

Dasar British ini akhirnya meninggalkan kesan yang besar dalam jurang ekonomi antara kaum dan memberi kelebihan kepada kaum tertentu untuk terus menguasai bidang-bidang utama selepas kemerdekaan mengatasi peluang yang dimiliki oleh orang Melayu dan Bumiputera.

Apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu digubal, dua perkara utama yang diberi perhatian adalah kedudukan agama Islam dan hak orang melayu (Raja, tanah, bahasa). Tafsiran Melayu dalam perlembagaan ini, sangat perlu untuk kita perhalusi.

Melayu ditafsirkan bukan berdasarkan etnik, genetik atau biologi mahupun keturunan yang tidak boleh berubah, yang mana mereka yang lahir sebagai Melayu akan terus menjadi Melayu. Sebaliknya, Melayu dalam tafsiran perlembagaan ditafsirkan melalui bahasa, agama dan budaya. Ketiga-tiga unsur ini adalah unsur boleh ubah dan kita dapat saksikan sebahagian daripada perubahan ini secara beransur-ansur. Matlamat tafsiran Melayu dalam perlembagaan ini adalah supaya akhirnya semua bangsa yang tinggal di Tanah Melayu mengalami satu asimilasi dalam satu jangka masa yang panjang dengan meletak identiti Melayu dari segi agama, bahasa dan budaya sebagai identiti yang dihasratkan.

Setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, asimilasi dan integrasi kaum yang diharapkan ini nampaknya amat jauh daripada hasrat yang diingini, malah polarisasi kaum seakan-akan makin bertambah. Setiap bangsa masih berkeras mengekalkan identiti masing-masing melalui sistem pendidikan yang terasing dan tersendiri.

DEB : Dasar yang Menindas Kaum Lain?

Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi dengan sasaran 30% ekuiti dalam persekitaran ekonomi yang berkembang, yang mana secara teorinya tidak akan menyebabkan hak kaum lain untuk maju berkurangan. DEB telahpun berakhir pada selepas 20 tahun perlaksanaannya (1971-1991). Walau bagaimanapun, sebahagian daripada perlaksanaan DEB masih kekal dalam dasar-dasar kerajaan selepas itu.

Adalah tidak dinafikan bahawa DEB telah melahirkan jutawan-jutawan di kalangan orang Melayu, menambahkan bilangan orang Melayu di kalangan professional dan kelas pertengahan, dan membantu sedikit sebanyak mengubah lanskap sosio-ekonomi negara, namun jurang ekonomi antara kaum masih wujud dan sasaran penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi tidak dapat dicapai. Dalam masa yang sama, terdapat juga kelemahan dan penyalahgunaan dalam keutamaan yang diberikan kepada bangsa Melayu.

Dalam situasi ini, terdapat suara-suara yang menuntut supaya dasar yang sedia ada dirombak dan hak istimewa yang diberikan dimansuhkan. Hak istimewa yang diberi seolah-oleh telah menjadikan bangsa Melayu ‘complacent’ dan tidak mampu untuk bersaing di medan terbuka. Amat malang lagi, apabila keistimewaan-keistimewaan ini dianggap sebagai suatu yang kekal, sehingga mereka yang telahpun dibantu dengan dasar ini, kemudiannya mengharapkan bantuan yang sama diberikan kepada generasi anak-anak mereka, tanpa mereka merasakan bahawa mereka perlu untuk berdikari. Dalam masa yang sama, wujud kebimbangan bahawa jurang sedia ada akan semakin membesar sekiranya dasar-dasar ini dirombak secara mendadak. Dalam suasana polarisasi kaum yang bertambah, pertambahan jurang sosio-ekonomi juga akan lebih merumitkan keadaan.

Solusinya?

Saya ingin mengajak supaya kita melihat isu jurang ekonomi antara kaum ini dalam konteks tafsiran bangsa Melayu dalam perlembagaan. Sebenarnya, hak istimewa yang diberikan kepada bangsa Melayu bukan bersifat hak yang eksklusif dan tidak boleh berubah kerana tafsiran Bangsa Melayu itu sendiri merujuk kepada perkara-perkara yang boleh berubah. Seandainya cita-cita asimilasi dan integrasi kaum yang dihasratkan berhasil, maka hak-hak yang dikecapi oleh mereka yang secara etniknya berbangsa melayu atau bumiputera lain, juga boleh dikecapi oleh etnik lain yang telah menjadi ‘Melayu’.

Saya berpandangan bahawa segala perubahan kepada dasar-dasar sedia ada perlu dibuat dengan teliti dan beransur-ansur.  Bagi saya, sebahagian daripada dasar-dasar ini tiada salahnya, yang lemah dan salah adalah perlaksanaannya yang sangat perlu diperbaiki dan diperhalusi.

Kita juga perlu melihat kepada penyelesaian yang bukan hanya dalam bentuk material seperti peluang mendapat pendidikan, lesen perniagaan, kuota-kuota, subsidi dan bantuan. Penekanan juga perlu diberikan kepada pembangunan jatidiri dan akhlak bangsa. Nilai-nilai murni perlu dipupuk sehingga generasi yang lahir akhirnya mampu berdikari dan merasa malu untuk terus bergantung kepada keistimewaan-keistimewaan ini, bukan generasi ayam daging yang menunggu untuk dihulurkan makanan.

Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada individu yang mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan orang lain, malah hidup meminta-minta sangat dikecam dalam akhlak Islam. Islam juga mengiktiraf kewujudan bangsa-bangsa yang berbeza tetapi dalam masa yang sama memberikan penekanan bahawa kemuliaan sesuatu bangsa bukan terletak kepada bangsa tersebut, tetapi terletak kepada Islamnya.

Penyelesaian yang kita perlukan bukan hanya bersifat kosmetik. Bahkan kita perlukan penyelesaian yang menyeluruh daripada yang bersifat dalaman seperti pembentukan jiwa, jatidiri, penyelesaian dari segi perubahan persekitaran dan akhirnya pengamalan Islam yang menyeluruh dalam hidup individu, budaya masyarakat dan sistem bernegara. Penyelesaian yang bersifat tempelan-tempelan kosmetik supaya nampak cantik pada pandangan mata kasar juga tidak dapat diterima bahkan jauh daripada apa yang dikehendaki oleh Islam. Islam tidak hanya mengkehendaki penganutnya supaya mencapai maksud (maqasid) perlaksanaan Islam, bahkan memerlukan perlaksanaan dari segi zahir dan juga maqasid, kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Sesungguhnya perlaksanaan Islam yang syumul adalah kunci kepada penyelesaian masalah umat, baik dari segi ekonomi, sosio-budaya mahupun integrasi kaum. Akhirnya identiti negara ini yang kita harapkan berdiri dalam wajah Islam dan dengan kemuliaan akhlak dan santun Melayu, tanpa berjauhan walau seinci pun dari kesempurnaan wahyu Quran dan hikmah hadith Nabi s.a.w.

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: