Home > Bangsaku > Surat terbuka kepada Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Surat terbuka kepada Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Ke hadapan Y.A.B. Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak,

Saya ucapkan tahniah atas kemenangan Dato’ Seri  dalam PRU13. Keputusan PRU13 ini saya harapkan menjadi satu titik permulaan ke arah pembaharuan yang menyeluruh, sekiranya BN ingin terus mengekalkan kuasa sebagaimana sekarang.

Keputusan PRU13 , adalah kemenangan tipis, dengan bilangan kerusi yang semakin berkurangan daripada 140 (2008) kepada 133 (2013). Sekiranya keputusan PRU12 (2008) menyebabkan wujud tekanan supaya Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan, saya kira Dato’ Seri Najib juga bakal menghadapi tuntutan yang sama. Namun, Dato’ Seri mungkin agak lega sedikit, memandangkan keputusan UMNO yang agak baik, dengan memenangi 90.8% (menang 109 daripada 120 calon parlimen) dama PRU13 berbanding 67.5% (cuma menang 79 drpd 117 calon parlimen) dalam PRU12 (2008). Pun begitu, peratus undi popular sebenarnya memihak kepada Pakatan Rakyat.

Saya berharap agat Dato’ Seri menyedari bahawa kemenangan kali ini adalah hasil daripada undi Melayu yang memenangkan UMNO. Maka peluang kali ini diharapkan dapat digunakan untuk melihat semula keberkesanan pelbagai polisi kerajaan untuk membantu kaum Melayu dan polisi berkaitan agama Islam. Amat malang untuk saya katakan setelah DEB dilancarkan oleh Tun Abdul Razak, ayahanda Dato’ Seri, terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbetulkan. Walaupun, bilangan golongan professional di kalangan orang Melayu telah bertambah, namun kekayaan negara sebahagian besarnya masih berada di tangan bukan bumiputera dan walau pun ada segelintir kecil di kalangan orang Melayu elit yang kaya raya. Sebahagian besar masyarakat Melayu dan bumiputera masih lagi di tahap yang kurang memuaskan.

Masyarakat Melayu dan bumiputera luar bandar terutamanya perlu mendapat pembelaan sewajarnya. Pembelaan yang saya maksudkan bukan hanya dalam bentuk material, sekadar memastikan mereka memperoleh makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal, malah pembelaan dari sudut nilai, rohani, inteletual dan spiritual. Sesetengah dasar kerajaan yang seolah-olah terus membiarkan masyarakat luar bandar dalam keadaan yang sama supaya senang disogok setiap kali pilihanraya patut dihentikan. Tindakan menyogok dari segi material dan membiarkan mereka terus berada dalam kebergantungan kepada subsidi dan bantuan kerajaan sebenarnya tidak membawa kepada apa-apa keuntungan jangka panjang, malah memburukkan lagi keadaan. Saya amat sedih apabila kempen-kempen BN yang mensasarkan golongan ini seakan-akan sebuah “insult to human intellectual”.

Saya ingin menyeru kepada kesatuan bangsa Melayu yang menjadi tunggak kepada kestabilan negara ini. Cukuplah sempadan politik memisahkan kita sehingga negeri-negeri yang ditadbir pembangkang seolah-olah dibiarkan mundur kerana yang rugi adalah bangsa Melayu secara keseluruhan.

Dari sudut agama Islam, sepanjang saya berinteraksi dengan umat Islam dari serata dunia dalam banyak peluang yang saya perolehi, Malaysia amat dikenali dan dikagumi sebagai negara Islam yang maju dan kebanyakan umat Islam luar negara amat terkejut apabila diberitahu bahawa populasi Muslim di Malaysia cuma dalam linkungan 60%. Dari satu sudut, Malaysia telah berjaya membina identiti sebagai negara Islam contoh. Namun, bagi saya pembinaan identiti Islam semata-mata adalah tidak mencukupi, tanpa pengamalan Islam secara menyeluruh luar dan dalam. Kita sepatutnya turut menjadi contoh dalam isu integriti, isu nilai, isu pengamalan Islam di kalangan rakyat, dan isu kedaulatan Islam sebagai agama negara, bukan hanya dalam kalimah perlembagaan, malah dari segi amalan negara secara keseluruhan. Sejarah dunia telah membuktikan bahawa, pengamalan Islam yang syumul telah menjadi tunjang tamadun Islam yang merangkumi dua pertiga dunia selama ratusan tahun. Keadilan kepada semua kaum, agama dan bangsa terpelihara di bawah tamadun ini. Saya mengharapkan Dato Seri akan memperkasakan lagi agensi-agensi berkaitan agama Islam, dan mempergiatkan usaha dakwah Islam supaya usaha mendidik umat Islam ke arah menjadi umat contoh akan dapat terus dijalankan. Usaha-usaha daripada NGO Islam juga seharusnya mendapat sokongan tang sekuat-kuatnya.

Keputusan PRU13 juga, seperti yang Dato’ Seri nyatakan dalam ucapan pada malam hari selepas mendapat keputusan PRU13, menyaksikan undi kaum Cina yang beralih kepada parti DAP. Parti komponen Cina dalam BN kalah teruk. Saya mengharapkan bahawa dasar kerajaan selepas PRU13 bukan hanya semata-mata untuk menarik semula undi kaum Cina. Saya telah banyak menyaksikan pentadbiran Dato’ Seri sebelum ini yang seolah-olah terlalu berlembut dengan tuntutan kaum Cina. Semakin banyak janji yang Dato Seri tabor, semakin banyak pula yang dipinta. Isu integrasi kaum perlu dilihat secara lebih menyeluruh, dan bukan hanya sekadar memenuhi tuntutan jangka pendek, tanpa melihat apa matlamat akhir integrasi kaum yang kita harapkan. Saya lihat, kebanyakan tuntutan cuma membawa kepada polarisasi kaum yang berlebihan dan tidak pun menyumbang kepada integrasi nasional.

Dato’ Seri,

Sekiranya tiada perubahan drastik yang dilakukan, saya tidak terkejut sekiranya BN tidak lagi diberi peluang sekali lagi pada PRU akan datang. Tanpa saya menidakkan pencapaian BN semenjak merdeka, sebenarnya telah cukup banyak sebab untuk rakyat menolak BN setelah lebih setengah abad berkuasa, dengan segala ketirisan, amalan rasuah, kekayaan negara yang telah disalahguna oleh individu mahupun parti, urustadbir yang kelihatan lemah dan pimpinan yang telah hilang wibawa. Jangan sampai rakyat, terutama bangsa Melayu mengambil keputusan untuk UBAH secara keseluruhan. Bagi saya, BN amat beruntung kali ini, kerana pihak pembangkang masih ada isu yang masih belum diselesaikan. Sekiranya mereka mampu menyelesaikan beberapa isu asas antara mereka, saya yakin rakyat tidak akan ragu-ragu untuk beralih arah. Mereka punya masa lebih kurang 5 tahun untuk itu dan dato’ Seri juga mempunyai masa yang sama untuk menjalankan transformasi menyeluruh ke atas UMNO, BN dan juga Kerajaan.

Sehingga detik itu, saya ucapkan selamat maju jaya!

Yang Benar,

HJ ZAIZUL AZIZI BIN HJ ZAMAN

Rakyat Malaysia yang cintakan Negara.

6 haribulan Mei 2013

  1. Mohd Amirul Iqmal
    September 15, 2013 at 2:29 pm

    Assalamualaikum dan salam satu Malaysia kepada Perdana Menteri yang saya sayangi iaitu Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Nama saya Mohd Amirul Iqmal dan tinggal di Semenyih, Selangor. berumur 19 dan merupakan pelajar tingkatan enam. Saya ingin mencadangkan sesuatu yang saya rasa boleh meyelesaikan masalah dalam kalangan remaja serba sedikit.

    Saya mempunyai masalah peribadi bersama keluarga saya, dan setiap hari pemikiran negatif iaitu lari dari rumah terpapar dalam kepala saya. Saya memerlukan khidmad kaunseling yang profesional memerlukan bayaran yang tinggi. Ramai kawan saya sudah melakukan tindakan tersebut dan putus hubungan dengan saya. Kebanyakkan daripada mereka mempunyai masalah yang sama. Ibubapa boleh menjadi salah satu punca tekanan diri yang membuatkan seseorang remaja itu melarikan diri daripada masalah dengan lari dari rumah sendiri dan membina hidup yang lebih aman di luar sana.

    Saya berharap agar pihak kerajaan bukan sahaja membuat tempat untuk belia bersukan, belajar dan lain-lain, tetapi juga menyediakan khidmat kaunseling kepada semua masyarakat terutamanya remaja yang merupakan pemimpin di masa hadapan. Perkara ini patut dipandang serius kerana kes lari rumah semakin meningkat dan adab dan moral remaja zaman kini semakin negatif kerana tiada bimbingan yang baik.

    Selain itu, khidmat pemeriksaan kepada ibubapa yang mempunyai anak-anak yang bermasalah perlu diadakan di mana, sesi kaunseling kepada ibu bapa yang mungkin menjadi punca kegagalan mendidik anak untuk menjadi seorang anak yang baik.

    Itu sahaja harapan saya, dan saya berharap agar cadangan saya mendapat perhatian ramai kerana tindakan seterusnya boleh memberi kesan kepada masa hadapan antara kesan positif atau kesan negatif. Sekian wabilahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh

  2. June 27, 2013 at 7:43 pm

    Salam DS, Tahniah atas kemenangan PRU13 yg lepas.Saya mohon suami (mohd zakky bin abdullah, 750606085639 ,Jawatan Penolong Pegawai Perubatan Gred U32) ditukarkan segera ke klantan kerana telah 16 tahun servis di JB start thn 1998 lg hingga sekarang belum dpt tukar klantan.now suami kerja kat hosp Sultan Ismail Pandan JB.Sedangkan saya servis di kota bharu sudah 5 tahun dan skrg servis di Hosp kota bharu.

    Pelbagai syarat dikenakan ke atas suami untuk bertukar ke Kelantan.Suami telah byk kali hubungi pihak Lembaga Pertukaran Pembantu Perubatan dan Bahagian Sumber Manusia untuk mengetahui status pertukaran tapi mereka kata tiada kekosongan di Kelantan.Setiap kali call alasan yg sama di beri dan nama tiada dlm list pertukaran.Kami naik feedap dgn pihak pengurusan Lembaga Pertukaran Pembantu Perubatan U32 ni.Byk sgt karenah birokrasi.Saya mahukan keadilan untuk suami itu saja.

    Surat sokongan drp Dato Seri Mustapha Mohamad pun tidak laku.Yg terbarunya kediaman
    kami di pecah masuk pd awal bln 5/2013 pun tidak dilayan.Report polis dh pun di fax. Apa lg
    yg mereka mahukan?
    MOhon DS bantu campur tgn dlm pengurusan pihak Lembaga pengurusan penolong pegawai perubatan gred U32.

  3. Eric Tay
    June 16, 2013 at 8:45 pm

    Kehadapn Yang Berhormat Dato Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

    Salam satu malaysia kepada YB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak. Taniah kepada kemenangan Dato Seri dan ahli-ahli yang lain. Kami tetap akan menyokong BN sebagai peneraju kemajuan malaysia.

    Saya memperkenalkan diri saya iaitu Tay Sze Yuong selaku Ahli PBB dari cawangan Sebuti, Miri sarawak ingin menyatakan sesuatu yang terpendam didalam hati ini dengan seikhlasnyakepada Dato seri. Saya merupakan Ahli PBB dan sekaligus telah dilantik sebagai Tuai Rumah Panjang di daerah Batu Niah, sibuti. Saya merupaka berbangsa cina campur iban sejak dari moyang saya dulu. Jadi masalahnya sekarang, hanya kerana nama saya nama cina, Pihak SAO Batu Niah menyatakan hanya orang iban saja yang layak menjadi Tuai Rumah Panjang. Penduduk rumah panjang saya ini merupak berbilang kaum yang mendiami rumah panjang ini. Selain dari bangsa iban, ada berbangsa cina, kayan dan melayu. Jadi, mereka sebulat suara melantik saya menjadi ketua kepada mereka.

    Ada apa pada nama. Sejak dari datuk bapa saya, kami telah pun mempunyai darah campuran dengan bangsa iban. Mereka sebulat suara melantik saya sebagai ketua adalah kerana saya mempunyai pelajaran yang bagus daripada mereka. Mahu cakapkan saya pandai tidak jugalah. Saya sekolah sampai Diploma Dalam Perniagaan. Nak lanjut ke Universiti ada masalah duit jadi tak kesampaianlah impian saya.

    Nak dijadikan cerita, seorang ketua wanita PBB iaitu Magdeline Semunjan telah menemui kami yang menetap ditanah haram(setinggan). Jadi beliau memberi kami harapan baru untuk membuat rumah panjang asalkan bukan ditanah haram ini. Jadi saya yang telah dilantik membawa anak buah bermesyuarat, dan mendapat persetujuan daripada mereka untuk menyediakan tapak tanah untuk mendirikan rumah panjang. Jadi kami pun telah membeli kira-kira 3 hektar keluasan tanah tersebut. Untuk mendirikan rumah panjang, kami memerlukan dana ataupun duit yang cukup. Jadi saya sebagai ketua mereka telah pun menulis surat kepada YB Tuan Haji Ahmad Lai dan menyatakan masalah kami ini. Puan Magdeline Semunjan menyuruh saya membuka akuan rumah panjang. Tetapi SAO tidak setuju yang saya berbangsa cina mengetuai penduduk rumah panjang ini. Hanya kerana nama saya cina, mereka sudah hilang keyakinan. Jikalaulah ada seorang yang serba sedikit tahu menulis, berkomputer memang sudah kami lantik sudah untuk meneruskan impian penduduk rumah panjang yang menumpang ditanah setinggan ini. Disini saya amat kesal dengan tindakan SAO Batu Niah. Sedangkan saya ini bukannya bangsa cina asli. Campurang pun semenjak datuk bapa saya dulu. Penduduk rumah panjang kami seramai 49 orang. 25 daripada 49 orang ini telahpun mendaftar mengundi. Pada asalnya mereka memang tidak pernah mendaftar mengundi, atas desakkan saya, mereka mendaftar mengundi dan akan mengundi pada masa akan datang.

    Dato Seri, saya mempunyai cerita lagenda Negara China pada masa dahulu. Terdapat golongan bangsawan, kelas pertengahan dan golongan miskin ataupun pengemis. Maharaja Cina sangat sayang akan kepada golongan miskin@pengemis ini. Ternyata, fikiran Maharaja itu benar yang orang golongan bangsawan dan pertengahan ingin mengulingkan beliau. Jadi secara tidak langsung, golongan miskin@pengemis ini membantu maharaja memerangai golongan tersebut. Maharaja dan golongan bawahan ini telah menewaskan golongan bangsawan dan pertengahan itu. Fikiranlah apa yang tersirat dengan cerita tersebut.

    Disini saya ingin mengakhiri ucapan saya kepada Dato Seri. Seandainya saya terkasar bahasa, maafkan saya. Tolong fikirkan sesuatu untuk Nama saya yang Cina ini. Sekian dari saya Ribuan Terima Kasih. Jangan risau, kami tetap akan menyokong Dato Seri dalam apa jua keadaan.

    ” RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN “

  4. June 1, 2013 at 8:43 pm

    terbaik la surat ini

  5. Kwong Hai Foo
    May 7, 2013 at 9:47 pm

    Surat saudara memang ada kebenarannya. Saya memang tertarik dengan ungkapan ” “insult to human intellectual”. Namun saya ingin memberi sedikit pandangan dari sudut sebagai rakyat biasa dan untuk pengetahuan saudara, saya adalah anak Merdeka. Jika di ambil kira sepintas lalu, kebanyakan kerusi yang BN kalah adalah di kawasan bandar. Ini seolah-olahnya menunjukkan isu perkauman tetapi hakikat sebenarnya adalah kerana rakyat yang tinggal di bandar lebih celik baik dari segi isu semasa, pengetahuan am.

    Program yang dijalankan itu sendiri (seperti BR1M & BR2M ) tidak membawa menafaat kepada rakyat untuk jangka masa panjang. Ini berbalik kepada komen penulis di atas “Tindakan menyogok dari segi material dan membiarkan mereka terus berada dalam kebergantungan kepada subsidi dan bantuan kerajaan sebenarnya tidak membawa kepada apa-apa keuntungan jangka panjang, malah memburukkan lagi keadaan.” Kerajaan sepatutnya peka kepada kos beban, sengsara rakyat yang semakin hari semakin meningkat. Tidak gunanya atas kertas kita berasa bangga dengan angka GDP atau KDNK yang meningkat tetapi hakikatnya rakyat biasa yang sengsara.

    Ini termasuk isu keselamatan sekitar di sekeliling kawasan baik di Taman-Taman perumahan atau diatas jalanraya.

    Selain, cara sebahagian Parti politik yang “salahguna” Media cetak saban hari juga membawa kepada “back fire” dari pengundi yang sudah matang dan bijak.

    Rata-rata rakyat Malaysia mencintai keamanan.

  6. Abdullah adham
    May 7, 2013 at 5:07 pm

    Typical of isma, I wouldn’t expect anything more

  7. May 7, 2013 at 2:34 pm

    Kandungan surat ini khusus menjurus kepada siasah kaum melayu.. Ada bahayanya… kerana asas penolakan melayu kepada UMNO adalah tunggak objective UMNO meletak nasionalisma melebihi Ugama dan di sulami kepentingan keluarga dikalangan pemimpin UNMO termasuk korupsi, dan kroni,,, Ini budaya UMNO semasa.. belum tentu ada jawapan kepada halatuju baru UMNO… PRU13 juga melihat kan kempen yang berat sebelah dan kesilapan SPR tidak menjawab perihal ganjil yang berlaku semasa mengira undi… Penganalisa Astro awani juga tersasul menyatakan pandangan bertentangan dengan matlamat BN… Mungkin aje surat ini saperti “Gonggongan anjing kearah bukit”… sama-sama lah kita lihat …

  8. May 7, 2013 at 2:33 pm

    Alhamdulillah wAllahu akbar, satu komentar yang lebih adil dan lagi constructive.

    Saya juga berharap kerajaan pemerintah dapat menyemarakkan lagi kerjasama dengan NGO2 Islam tanpa mengira kecenderungan politik mereka demi meningkatkan amalan Islam di kalangan rakyat.

    Mungkin saudara Zaizul Azizi boleh mencadangkan kepada Dato’ Seri PM tentang upgrading mainstream media kepada amalan media yang lebih intellectual dan berilmu, bukan lagi berunsurkan speculations dan provocations. Ini selari dengan phrase yang saudara kongsikan dalam surat ini; “insult to human intellectual”.

    wAllahu ‘alam

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: