Home > Bangsaku > Non-Muslim di Malaysia: Saya Bukan Racist!

Non-Muslim di Malaysia: Saya Bukan Racist!

Mungkin kebanyakan tulisan saya dalam mengajak kepada perpaduan  Melayu, mengukuhkan pegangan politik Melayu, memperkasakan kedudukan Islam dalam struktur negara Malaysia dan membongkarkan agenda-agenda jahat seperti liberalisasi, LGBT, kristianisasi dan pluralism, telah pun disalahertikan sehingga menggambarkan saya seorang yang racist dan hanya memikirkan berkenaan survival Melayu dan Islam.

Saya ingin menekankan bahawa semua pandangan saya adalah untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang aman damai dan pada masa yang sama mengiktiraf kewujudan kaum-kaum lain selain Melayu dan mereka yang bukan beragama Islam. Pada pandangan saya, kedudukan bangsa Melayu dari segi ekonomi, politik dan sosio-budaya  dan kedudukan agama Islam adalah satu faktor yang penting dalam mewujudkan sebuah negara Malaysia yang harmoni dan sejahtera.

Saya ingin mengajak supaya kita melihat kewujudan kaum dan agama sebagai satu realiti yang tidak boleh dinafikan, dan perlu diambilkira. Saya melihat ada sesetangah kelompok yang cuba mengenepikan factor perkauman dan factor agama dalam merangka perjalanan negara pada masa akan datang.

Mari kita mengambil contoh daripada pengalaman jiran kita Indonesia. Walaupun kelihatan berlaku asimilasi kaum dan agama berasaskan nilai pancasila, sehingga semua rakyat tanpa mengira bangsa menggunakan nama-nama Indonesia (termasuk mereka yang berbangsa Cina) menggunakan bahasa Indonesia dan hidup dengan cara hidup yang hampir sama, namun asimilasi yang dipaksakan ini akhirnya meledak sebagai satu rusuhan bersifat perkauman pada Mei 1998. Menafikan kewujudan faktor bangsa dan agama dalam kerangka negara hanya akan menyebabkan isu-isu berkenaan kaum dan agama ini disenyapkan dan tidak ditangani dengan sewajarnya.

Apabila saya mengutarakan isu perpaduan Melayu, kekuasaan politik Melayu, isu kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, saya tidak sesekali menafikan hak bukan Melayu dan bukan Islam secara pukul rata. Apa yang saya inginkan ialah kesedaran bahawa penghormatan kepada Melayu dan Islam sebagaimana wujud dalam kontrak sosial yang merupakan sebahagian daripada prasyarat kewujudan negara Malaysia. Usaha-usaha mempersoal, merungkai semula kontrak sosial dan menyamaratakan semua perkara berasaskan hak asasi semata-mata adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Saya akui bahawa saya membesar di kalangan masyarakat Melayu di Terengganu dan Kelantan semenjak saya lahir sehinggalah saya berumur akhir belasan tahun. Pengalaman saya berinteraksi dengan mereka daripada bangsa lain amat terhad, cuma kepada hubungan ketika berurusniaga di kedai-kedai, dan dengan beberapa orang pelajar bukan Melayu di sekolah saya yang bilangannya cuma 2 atau 3 orang dalam setiap batch.

Apabila saya melanjutkan pelajaran ke kolej persediaan di Damansara, saya mengalami kejutan budaya apabila hidup selama beberapa bulan dalam keadaan cuma terdapat sebilangan kecil pelajar Melayu di kolej tersebut. Pengalaman itu tidak lama, cuma hampir setengah tahun.

Apabila saya melanjutkan pelajaran ke Australia, itulah pengalaman saya berhubung rapat dengan kawan-kawan berbangsa cina, yang salah seorang daripadanya merupakan teman serumah saya selama dua tahun yang menjadi kawan rapat saya sehingga ke hari ini. Pengalaman berinteraksi dengan manusia daripada pelbagai kaum selepas itu banyak merubah persepsi saya dan membuatkan saya lebih menghargai kepelbagaian bangsa dan agama yang wujud di Malaysia.

Saya meyakini banyak perkara yang boleh dipelajari daripada bangsa lain dan setiap bangsa memiliki kekuatan masing-masing. Saya juga meyakini bahawa terdapat banyak peluang untuk dakwah kepada agama Islam hasil daripada interaksi yang sihat antara kaum-kaum di Malaysia. Ada pihak yang memberi komen bahwa sebahagian daripada tulisan saya cuma menutup ruang dakwah kepada bangsa lain dan melambatkan mereka mendapat hidayah.

Saya ingin menyatakan bahawa dalam berurusan dengan hal ehwal perkauman di Malaysia, kita perlu membezakan beberapa kelompok kaum di Malaysia. Sabahagian mereka merupakan sasaran dakwah yang sangan hampir dengan Islam, sebahagiannya cuma ingin untuk hidup aman dan ada juga kelompok yang tidak berpuas hati dengan struktur negara yang ada dan inginkan perubahan dan kebebasan mutlak.

Semua ini ada latar belakang sejarahnya. Masyarakat Cina di Malaysia contohnya saya kategorikan kepada tiga kelompok, berasaskan kepada beberapa pembacaan saya;

  1. Kelompok Pertama : Kaum cina tiba di Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sebahagiannya berasimilasi dengan budaya tempatan sehingga lahirnya budaya tersendiri seperti Baba Nyonya di Melaka.
  2. Kelompok Kedua: Sebahagian besar kaum Cina tiba di Tanah Melayu pada zaman penjajahan British. Sebahagian daripada mereka tinggal di negeri-negeri Melayu dan mengiktiraf kewujudan Kesultanan Melayu dan pemilikan asal Melayu ke atas Tanah Melayu.
  3. Kelompok Ketiga: Terdapat juga kaum Cina di Malaysia yang datang dan tinggal di negeri-negeri Selat (Penang, Malacca and Singapore). Negeri-negeri Selat ditadbir secara langsung oleh Britsh sebagai sebahagian daripada koloni British. Penduduk Cina negeri-negri Selat memiliki kerakyatan British dan tidak mempunyai hubungan dengan kerajaan-kerajaan Melayu dan sebahagian daripada mereka masih mengekalkan ketaatan mereka dengan Tanah Besar Cina.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan, tentunya ketiga-tiga kelompok ini, menjadi warganegara Malaysia. Apa yang kita lihat dalam senario politik dan sosio-budaya semasa adalah terjemahan langsung kepada fakta sejarah ini. Terdapat masyarakat cina yang begitu hampir dengan masyarakat Melayu sehingga tiada langsung pelat dalam berbahasa Melayu. Ada yang berpuas hati dengan suasana semasa di bawah kuasa politik orang Melayu asal sahaja peluang mereka untuk mencari rezeki tidak terhalang. Di sana juga ada kelompok yang memperjuangkan hak kesamarataan mutlak, supaya akhirnya tiada lagi apa jua had ke atas mereka, baik dalam politik, pemilikan harta, bahasa, agama dan apa jua aspek hidup mereka.

Saya ingin meyeru mereka terutamanya aktivis politik Islam agar menyedari hakikat ini. Dalam keghairahan kita menjalinkan kerjasama politik, menyampaikan dakwah dan menunjukkan contoh teladan, jangan kita lupa bahawa ada kelompok yang memilik agenda tersendiri dan kita perlu sentiasa berwaspada supaya kita tidak menjadi mangsa agenda politik mereka atau akhirnya terkorban setelah diperkudakan.

Ambillah contoh sirah secara syumul. Ya, Rasulullah bekerjasama dengan penduduk Madinah yang terdiri daripada bangsa Arab, Yahudi dan Kristian. Dalam masa yang sama Rasulullah sangat-sangat berhati-hati dengan segala tipudaya, helah dan kelicikan Yahudi, dan terus mengambil tindakan yang keras apabila jelas ada unsur khianat.

membangun umat beragenda

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: