Home > Bangsaku, Sharing > Durian Runtuh: Antara Ikan atau Joran

Durian Runtuh: Antara Ikan atau Joran

Pengumuman “durian runtuh” kepada warga Felda oleh DS Najib di Jengka 8 semalam mendapat reaksi yang pelbagai daripada banyak pihak. Ada yang memuji, menyatakan rasa terima kasih dan bersyukur kepada Allah dan tidak kurang juga yang sinis, kritis dan mengemukakan pelbagai persoalan.

Seorang rakan di syarikat minyak dan gas nasional menyatakan rasa tidak puas hati sekiranya durian runtuh ini dibiaya oleh “taxpayer’s money”. Maklumlah, mereka secara individu merupakan penyumbang besar kepada kutipan cukai pendapatan, dan pada peringkat syarikat pula menyumbang lebih daripada 40% pendapatan Negara. Mungkin rakan saya ini terlupa bahawa kewujudan dan keutuhan mereka pada hari ini bergantung banyak kepada Akta Petroleum 1974 yang “memilik-Petronas-kan” semua hasil minyak dan gas yang dijumpai di bumi Malaysia. Tanpa menidakkan kerja keras dan professionalism semua kakitangan dalam menjayakan syarikat tersebut sehingga mendapat pencapaian hari ini, mereka sepatutnya menyedari bahawa mereka cuma pengendali sumber hasil Negara yang seharusnya memberi manfaat kepada semua rakyat.

Berbalik kepada isu durian runtuh, Ahmad Maslan sudahpun menjelaskan bahawa durian runtuh ini dibiaya oleh wang Felda dan bukan daripada duit pembayar cukai. Untuk makluman, Felda merupakan sebuah agensi kerajaan (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) yang telah sekian lama tidak mendapat peruntukan terus daripada kerajaan, sebaliknya bersifat “self-sufficient” bergantung kepada hasil daripada aktiviti ekonomi anak-anak syarikat. Perbenlanjaan tahunan Felda dikatakan berjumlah RM2billion setiap tahun.

Apabila melihat isu durian runtuh yang telah diumumkan, agakan saya ramai yang tidak berpuas hati dengan jumlah yang dijanjikan (RM15,000 yang dibayar dalam 3 kali pembayaran) jika dibandingkan dengan publisiti yang telah diberikan yang antaranya berbunyi “amaun yang tidak pernah tergambar oleh warga peneroka”. Umum mengetahui bahawa, pada harga pasaran komoditi Minyak Sawit Mentah semasa, pendapatan peneroka menjangkau RM 5000 sebulan. Pembayaran durian runtuh sebanyak RM15,000 dalam tiga kali pembayaran agak tidak jauh bezanya daripada pendapatan bulanan mereka. Persoalan saya, adakah wajar pembayaran sedemikian rupa dibuat?

Felda dibangunkan atas idea berani Tun Abdul Razak, membuka tanah dan memberikan hakmilik kepada peneroka untuk mengusahakan tanah ini sehingga membuahkan hasil. Bagi saya, tindakan ini sangatlah bertepatan dengan tajuk saya, yakni memberikan joran yang membolehkan peneroka akan akhirnya dapat berdikari. Usaha ini seolah-olah menampakkan hasil yang amat memberangsangkan apabila kita melihat kepada hasil pendapatan para peneroka pada hari ini.

Saya melihat idea “visionary” Tun Razak ini amat bertentangan dengan arus ekonomi kapitalis masa kini. Seandainya Tun Razak lebih mencita-citakan perkembangan ekonomi sebagai matlamat, maka sepatutnya tanah yang dibuka diberikan kepada syarikat perladangan komersil, yang tentunya akan membuahkan hasil ekonomi yang berlipat kali ganda, jauh daripada pencapaian peneroka yang mengusahakannya secara persendirian seperti pekebun kecil yang lain. Akan tetapi, apakah makna kemajuan sekiranya anak bangsa akhirnya terpinggir di tanah sendiri? Apakah akan terjadi seandainya projek mega seumpama Felda ini diberikan kepada kroni dan kaum kerabat untuk diusahakan?

Perkembangan Felda selepas era Tun Abdul Razak pada pandangan saya telah agak terpesong daripada matlamat asal untuk melahirkan satu masyarakat yang mampu berdikari, sebaliknya saya melihat bahawa terdapat usaha terancang untuk mengekalkan kebergantungan peneroka terhadap Felda dan kerajaan yang memerintah dan seterusnya menjadikan peneroka sebagai “safe deposit” yang akan dimanipulasikan setiap kali menjelang pilihanraya.

Saya pada mulanya menyalahkan pihak kerajaan ke atas kebergantungan peneroka kepada Felda dan kerajaan. Namun, saya terasa amat terkesan apabila melihat bagaimana tuntutan daripada badan-badan dan kelompok yang mewakili generasi Felda sendiri terhadap pihak kerajaan. Antara tuntutan yang timbul baru-baru ini ialah supaya kerajaan menyediakan rumah dan peluang pekerjaan kepada generasi kedua dan ketiga Felda dan tuntutan supaya tanah ladang yang sekarang diusahakan melalui Felda Plantation dibahagikan kepada generasi kedua peneroka.. Adakah sesuatu yang wajar apabila sebuah generasi yang telah mendapat bantuan untuk hidup berdikari, kemudiannya menuntut supaya pihak yang telah membela nasib mereka kemudiannya membantu pula anak dan cucu mereka? (hal yang sama dengan ahli professional yang telah berjaya dengan bantuan dan peluang pendidikan yang diberikan kepada mereka, kemudiannya masih mengharapkan supaya anak-anak mereka terus dibiaya dengan biasiswa kerajaan, sedangkan sepatutnya merekalah yang membantu orang lain yang masih susah)

Saya membesar dikalangan masyarakat peneroka Felda dan menyaksikan bagaiamana rakan-rakan yang membesar bersama-sama saya dari kalangan anak-anak peneroka Felda melalui hidup mereka. Ada yang berjaya (terutamanya yang meneruskan pelajaran di luar kawasan Felda) dan ramai pula yang menjadi mangsa pelbagai gejala yang melanda mereka yang masih tinggal di tanah rancangan.

Saya melihat pemberian durian runtuh ini, cuma sekadar pemberian ikan yang akan habis juga, melainkan ada yang bijak untuk “menternak” ikan tersebut untuk mendapat hasil jangka panjang. Saya menafsirkan imbuhan ini sekadar salah satu usaha meneruskan kelangsungan kebergantungan masyarakat peneroka kepada pihak kerajaan dan tidak lebih dari itu.

Dengan penyenaraian FGV yang akan datang ini, saya mengharapkan agar masyarakat peneroka bertindak lebih bijak dan tidak cuma menjual saham yang diperuntukkan kepada mereka untuk mendapat untung cepat yang akhirnya habis dijoli, atau dihabiskan dalam “perlumbaan” sesama jiran untuk melihat siapa yang memiliki rumah yang lebih besar dan kereta yang lebih mewah.

Saya mengharapkan akan munculnya satu arus politik baru yang tidak akan memperjudikan nasib anak bangsa untuk kepentingan politik semata-mata. Perjuangan politik tanpa prinsip sehingga sanggup menggadaikan semua perkara perlu dihentikan baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Apa agenda kita dalam berpolitik? Adakah sekadar untuk menang kerusi yang akhirnya kita menurut jejak Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai. Tidak mustahil kita masih akan memenangi pilihanraya, sedang anak bangsa akan terus merempat di tanahairnya yang telah berstatus Negara maju.

Categories: Bangsaku, Sharing Tags: ,
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: