Home > Hajj 1432H > Pagi Jumaat di Rooftop, Cikgu Alias & Akhi ‘Abdo dari Mesir

Pagi Jumaat di Rooftop, Cikgu Alias & Akhi ‘Abdo dari Mesir

Kaabah daripada tingkat paling atas Mas'aa (tempat Sa'ei) pada waktu fajr sehari sebelum hari wuquf

25 November 2011/ 29 Dzulhijjah 1432H:  Hari itu adalah hari Jumaat terakhir saya di bumi Makkah Al-Mukarramah. Suasana semakin sayu, bila mengenangkan saya bakal meninggalkan bumi penuh barakah ini. Bumi ini barakah dengan doa Nabi Ibrahim: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku sudah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah tidak mempunyai tanaman, dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati.“Wahai Tuhan kami, dengan demikian itu supaya mereka (Hajar dan Ismail) mendirikan solat. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki mereka daripada buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim, 14; Ayat 37)

Saya telah mempelawa Cg Alias dan isterinya yang juga seorang bekas guru (Cg Zainab) untuk naik ke tingkat 3 masjidil haram atau lebih biasa disebut “rooftop”. Cg Alias berumur 72 tahun dan isterinya telah 3 kali menunaikan fardhu haji. Beliau naik haji kali pertama pada tahun 1981 ketika berusia lebih kurang 40 tahun, kali ke-2 pada tahun 2000 pada usia lebih kurang 60 tahun. Katanya; “ketiga-tiga kali haji memberi pengalaman yang berbeza, yang kali ni susah nak dapat tengok kaabah sebab kena tawaf di laluan kerusi roda atau di tingkat paling atas.” Dari perbualan inilah saya mengajaknya solat subuh di rooftop, di saf paling hadapan dengan kaabah dapat dilihat terus walaupun dari kejauhan.

Pagi itu saya berjalan ke Masjid agak lewat, lebih kurang jam 4.45 sedangkan Azan pertama sudah dilaungkan lebih kurang jam 4.15, iaitu sejam sebelum masuk waktu subuh. Alangkah terkejutnya saya apabila saya mendapati Cg Alias dan isterinya sedang menunggu saya di sofa di lobi hotel. Saya tidak menyangka beliau begitu bersungguh-sungguh menerima pelawaan saya pada malam sebelumnya. Katanya, mereka berdua telah bangun seawal jam 3.30 pagi kerana tidak mahu terlepas ajakan saya. Tambahan pula, kami saling tidak menyimpan nombor telefon masing-masing. Kami cuma berbicara bila bertemu di dewan makan kami.

Kami berjalan dalam dingin subuh menuju escalator untuk naik ke rooftop. Kira-kira seminggu sebelum hari haji sehingga ke seminggu selepasnya, sudah tentu kami tidak akan dapat masuk ke Masjid seandainya kami keluar pada waktu itu. Jalan-jalan yang kami lalui ini sudah tentu telah penuh dengan saf para jemaah yang sedang menunggu waktu subuh, sambil bersolat sunat, berzikir dan membaca al-quran.

Suasana fajar di rooftop amat dingin dengan angin sejuk sepoi-sepoi bahasa. Suasana di sini semakin lengang kerana ramai jemaah haji telah pun pulang ke tempat asal masing-masing. Saya cukup menyukai suasana rooftop yang agak sunyi walaupun ketika orang ramai memenuhi setiap ruang saf. Terasa diri ini bergitu kerdil berada di kalangan jutaan manusia, dengan berbumbung kan langit yang gelap yang seakan tiada sempadannya. Di hadapan kami kelihatan Kaabah yang tidak henti-henti dikelilingi manusia sedang bertawaf. Satu keajaiban dalam dunia ini. Satu bongkah segiempat yang begitu simple, begitu diagungkan oleh umat manusia. Tidak ada saat yang berlalu melainkan ada sahaja orang yang bertawaf. Kalau berhenti pun cuma beberapa minit ketika solat jemaah lima waktu. Sebaik sahaja selesai solat, ada sahaja yang terus bangun dan menyambung tawaf.

Kaabah di tengah-tengah jutaan umat manusia

Permandangan dari atas, menyaksikan ribuan, bahkan jutaan manusia bersolat dan bertawaf di sekliling kaabah sangat memberikan kesan dalam hati. Terpahat rasa kebesaran Allah yang Esa, kekerdilan diri ini dihadapan-Nya, kesatuan umat sekalipun dengan segala bentuk kepelbagaian luaran dan dalaman bila semuanya berada di hadapan Kaabah. Berada di bawah langit tanpa bumbung memebrikan perasaan bahawa rahmat Allah begitu luas, terasa Maha Kuasa Allah mendengar rintihan hati setiap hambanya, terasa bahawa pintu rahmat seluas langit itu terus terbuka, menanti doa dan taubat setiap hamba.

Kami tiba di “rooftop” dan segera mencari ruang di saf hadapan. Saya pastikan tiada apa yang menghalang pandangan kami daripada melihat Kaabah. Isteri saya pula mengiringi Cikgu Zainab duduk di saf belakang bersama beberapa orang wanita yang lain. Saya berpesan kepada isteri saya supaya mengiringi Cikgu Zainab datang ke hadapan setelah jemaah mula beredar setelah selesai solat subuh.

Azan subuh berkumandang diikuti dengan solat sunat dan solat subuh. Solat subuh hari itu setenang subuh-subuh yang lain. Daripada tempat kami berdiri, jelas kelihatan Imam yang mengetuai solat di sebelah pintu Ka’abah. Seperti biasa, bacaan solatnya berkumandang melalui sistem pembesar suara yang cukup baik kualitinya. Selesai solat, ramai jemaah segera beredar dari tempat masing. Itu kebiasaan yang saya lihat di sini, kerana kebanyakan mereka telah pun berada di tempat duduk masing-masing beberapa jam sebelum subuh lagi.

(gambar saf solat)

Para jemaah sedang bersedia untuk solat Subuh (gambar diambil sejurus sebelum solat)

Kami mengambil tempat rapat ke pagar, supaya Kaabah kelihatan dekat tanpa sebarang halangan. Kami duduk di situ sambil berzikir dan berdoa. Menjadi kelaziman, masa lapang sesudah solat subuh itu saya isikan dengan zikir ma’thurat kubra. Kalau di tanah air, jarang sekali berpeluang membaca zikir ma’thurat kubra ini.

Saya selalunya menghabiskan masa antara antara solat subuh hingga ke Dhuha di situ, dengan di isi dengan zikir dan memerhatikan gelagat manusia yang terus tekun bertawaf. Dari tempat itu juga jelas kelihatan hiruk-pikuk mereka yang berlum-lumba mencium Hajar Al-aswad. Sesekali kelihatan kumpulan-kumpulan tertentu yang tawaf secara berkumpulan, dengan pakaian yang seragam supaya dapat di cam setiap ahlinya.

Teringat saya beberapa hari yang lalu, ketika duduk di rooftop ini bersama isteri sementara menunggu dhuha. Tiba-tiba, saya di sapa seorang lelaki yang sejak dari tadi kelihatan khusyuk membaca al-quran tidak jauh dari tempat saya duduk. Ruang antara kami boleh memuatkan seorang lagi jemaah. Dia bertanya apa yang sedang saya baca. “Al-ma’thurat,” jawab saya ringkas. “Al-Banna?” lelaki tadi bertanya lagi. Saya mengiakan sambil menghulurkan naskhah ma’thurat saya yang turut mengandungi terjemahan versi Indonesia, lengkap dengan riwayat-riwayat berkenaan dengan ayat al-quran dan zikir-zikir di dalam ma’thurat tersebut.

Dia memperkenalkan namanya sebagai ‘Abdo, berasal dari Mahmudiah, tempat lahir Hassan Al-Banna. Setelah saling memperkenalkan diri, kami berbual dalam bahasa Inggeris, bercampur bahasa arab yang cuma sedikit yang depat saya fahami. Antara isi perbualan kami adalah berkenaan Revolusi Mesir, keadaan Mesir dan umat Islam selepas Revolusi, tentang pilihanraya yang pada ketika itu belum berlangsung dan berkenaan dengan isu umat Islam seluruhnya. Antara cabaran di Mesir selepas revolusi adalah arus liberal dan generasi muda yang baru merasa “kebebasan”. Cabaran juga lahir daripada masyarakat kristian di Mesir. Walaupun jumlahnya tidak sampai 5%, namun mereka cuba mengambil kesempatan dalam ketidaktentuan selepas revolusi. ‘Abdo juga bertanya mengenai keadaan umat Islam di Malaysia.

‘Abdo bertanya juga mengenai buku apa yang saya baca, tafsir yang saya suka, dan beberapa soalan mengenai gagasan dakwah Imam Hassan Al-Banna yang saya fahami. Setelah kami bercerita panjang lebar, ‘Abdo berkata: “Now, I am confidence. I am from The Brotherhood, Alhamdulillah.” Perbualan kami semakin rancak ketika itu sehingga waktu yang berlalu terasa begitu pantas. Kami bertukar-tukar email dan no telefon dan ‘Abdo berpesan supaya menghubunginya jika saya berkesempatan ke Mesir. Sebelum berpisah, ‘Abdo berpesan supaya mengingatinya dalam doa Rabithah, doa yang mengakhiri zikir ma’thurat. Doa Rabithah itulah ikatan yang menghubungkan seluruh pekerja dakwah di atas jalan ini, yang berkongsi fikrah dan kefahaman yang sama, yang terus bekerja untuk mengembalikan Islam ke tempat yang sepatutnya.

Doa Rabitah (courtesy of http://ainaamardhiah.wordpress.com)

Ya Allah…
Engkau mengetahui bahawa
Hati-hati ini berhimpun kerana mengasihi-Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu
Bersatu memikul beban dakwah-Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia
untuk menegak dan mendaulatkan syariah-Mu

Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini
Akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini
Dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini
Dengan makrifat pengetahuan yang sebenar tentang-Mu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini
Sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu

Engkaulah sebaik-baik sandaran
Dan sebaik-baik penolong Ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin…

Tiba-tiba bunyi batuk Cikgu Alias mengembalikanku ke dunia nyata, setelah ingatanku bersama Akhi ‘Abdo yang mungkin telah kembali ke Mesir, bumi para nabi dan Rasul, bumi kelahiran Dakwah Ikhwanul Muslimin, walaupun masyarakat dunia mengenalinya sebagai bumi pyramid dan fir’aun.

Angin sejuk pagi itu mungkin tidak begitu sesuai untuk Cikgu Alias yang tentunya agak sensitive dengan suhu yang rendah pada usia sebegitu. Mungkin kalau terdedah kepada angin sejuk itu dengan lebih lama, batuk Cikgu Alias akan semakin teruk. Saya pun mengajak Cikgu Alias yang lebih selesa saya panggil Atuk itu untuk beredar dari Rooftop yang mula disinari mentari dhuha itu.

Itulah saat-saat akhir saya di Rooftop. Tanggal 1 Muharram 1433H, iaitu sehari selepas itu, ruang rooftop ditutup untuk orang awam, memandangkan kebanyakan jemaah haji telah pulang dan ruangan solat di aras tanah dan tingkat satu cukup untuk menampung jemaah yang masih tinggal.

Semoga kami akan kembali lagi ke sini.

Categories: Hajj 1432H
  1. No comments yet.
  1. July 27, 2013 at 11:50 pm
  2. March 1, 2013 at 11:54 am

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: