Home > Hajj 1432H > 4 Petunjuk dari India: Syahadatul Haq

4 Petunjuk dari India: Syahadatul Haq

Dataran luar Masjidil haram berhadapan dengan King Abdul Aziz Gate (gate 1)

Itulah umrah kami yang kesekian kalinya. Alhamdulillah, kebanyakan ahli kumpulan kami agak muda dan dikurniakan nikmat kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Pagi itu, kami sama-sama bertolak ke Tan’eim, miqat atau tempat untuk berniat umrah yang terdekat. Perjalananan dari Masjidil Haram ke Masjid Aishah di Tan’eim adalah sejauh kira-kira 7 km dan mengambil masa kira-kira 15 minit jika jalanraya agak lengang dan kadangkala mencecah 40 minit pada waktu sesak. Rutin biasa di masjid Aishah ialah solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat ihram dan solat sunat dhuha. Setelah berniat ihram, kami bertolak kembali ke masjidil haram sambil diiringi talbiyah dan zikrullah. Setibanya kami di Masjidil Haram, selalunya kami akan segera melaksanakan tawaf dan saei dan bertahallul (keluar dari ihram). Jangka masa tawaf dan saei kadangkala mencecah sehingga dua jam, bergantung kepada kesihatan dan kesesakan orang ramai yang turut bertawaf dan saei pada masa itu.

Setibanya kami di perkarangan Masjidil Haram pada pagi itu, saya dan beberapa orang rakan berdiri di $dataran di hadapan Menara Jam Mekah, sambil menunggu para isteri kami yang kebetulan mahu ke tandas dan berwudhuk. Kami cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan daripada terbatalnya wudhu’ ketika sedang tawaf, yang akan menyebabkan kami terpaksa berhenti tawaf, dan keluar untuk berwudhuk dan kembali menyambung tawaf.

Sedang kami berada di dataran itu, tiba-tiba kami di sapa oleh seorang lelaki yang agak berumur yang memperkenalkan dirinya sebagai Ismail daripada India. Ismail bersungguh-sungguh mengajak kami duduk dan memulakan kata-katanya dalam bahasa Inggeris yang agak bercampur-aduk: “ada 4 perkara penting yang semua Muslim patut berpegang dengannya;

  • Pertama: Kalimah Syahadah;
  • Kedua: Maka apabila engkau hendak membaca Al-Quran, mintalah perlindungan kepada Allah daripada Syaitan yang terkutuk. (Surah An-nahl, 16: Ayat 98)
  • Ketiga: Dan katakanlah, Ya tuhanku, Aku berlindung kepada engkau dari bisikan-bisikan syaitan (Surah Al-Mu’minuun, 23: Ayat 97)
  • Keempat: Dan aku berlindung kepada Engkau, Ya tuhanku, agar mereka (syaitan) tidak mendekatiku (Surah Al-Mu’minuun, 23: Ayat 98)

Sheikh Ismail menyambung lagi, sekiranya semua umat bersatu atas kalimah syahadah dan beramal dengan semua ayat ini, iaitu ayat-ayat memohon perlindungan daripada syaitan, maka semua masalah dunia akan selesai, umat akan bersatu. Dunia ada pelbagai masalah kerana umat Islam tunduk kepada syaitan dalam macam-macam bentuk ketundukan!

Kami kagum dengan kesungguhan Sheikh Ismail menyampaikan tazkirah beliau, ringkas, padat dan bersungguh-sungguh. Dan saya amat bersetuju dengan isi tazkirahnya. Memang itu lah hakikat dunia; pertembungan antara haq dan batil akan terus berlaku dan syaitan akan sentiasa cuba untuk menyesatkan manusia. Berbahagialah sesiapa yang selepas melalui semua ujian ini, mereka menemui Allah dalam keadaan redha dan diredhai.

Selesai tazkirah ringkasnya, Sheikh Ismail tiba-tiba mengeluarkan satu buku nota kecil daripada koceknya. Dia menulis nombor ayat-ayat yang telah dipetiknya, berserta namanya S.Md.Ismail lalu menghulurkan kepada kami. Sheikh Ismail kemudiannya bertanya nama setiap daripada kami dan tempat asal kami, Malaysia lalu menulis semuanya di dalam buku notanya. Jelas kelihatan senarai dalam buku itu sudah agak panjang, nama dan tempat asal. Kelihatan seolah-olah buku nota itu sudah hampir penuh dengan nama-nama dan sudah sekian lama disimpannya. Kami mengambil gambar bersama-sama dan Sheikh Ismail berlalu pergi.

Saya cukup takjub dengan peristiwa itu. Peristiwa itu mengingatkan saya kepada sebuah risalah kecil yang pernah saya baca, yang kami pernah bincangkan dalam halaqah kami, yang juga karangan seorang Sheikh dari bumi India; Risalah bertajuk Syahadatul Haq oleh Abul A’la Al-Maududi.

Wajah ceria di sebalik pesanan yang amat bermakna

Syahadatul Haq (Persaksian Kebenaran) antara lain berkisar mengenai ayat Al-Quran yang terjemahannya berbunyi: “Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) sebagai “umat pertengahan” agar kamu menjadi saksi atas manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi ke atas kamu” (Al-Baqarah; 143)

Abul A’la Al-Maududi menekankan bahawa peranan umat Islam sebagai umat pertengahan ini akan dipersoalkan di hadapan Allah sebagaimana setiap Rasul akan dipersoalkan di hadapan umatnya. Apabila sesuatu umat sesat, maka Rasulnya akan ditanya; “tidakkah telah engkau sampaikan apa yang wahyukan kepadamu?” Maka setiap Rasul akan bersaksi bahawa dia telah berusaha dengan sehabis daya untuk menyampaikan dakwahnya lalu umat yang sesat itu pun akan menerima azabnya.

Sebagai umat pertengahan, persaksian yang sama akan diminta daripada kita, umat Islam. Kitalah yang menyambung dakwah Rasul sehingga ke akhir Zaman, menjadikan kita “umat pertengahan” yang menghubungkan dakwah Rasulullah sehinggalah kepada semua umat sehingga hari kiamat. Maka, apabila persaksian itu diminta daripada kita, bagaimana agaknya kita akan menjawabnya. Seandainya ada seorang bukan Islam yang pernah hidup bersama kita di dunia, ketika dipersoalkan di hari akhirat kelak, lalu si kafir berkata; “tidak pernah sampai seruan ini kepadaku, walaupun sipolan tinggal di sebelah rumahku, maka azablah dia bersama-sama aku!” Bagaimana agaknya jawapan kita?

Abul A’la Al-Maududi juga menegaskan bahawa persaksian ini tidak cukup dengan kata-kata. Seandainya mesej Islam dan keimanan itu tidak sampai melalui kata-kata, adakah semua ruang telahpun diusahakan? Beliau juga menegaskan bahawa mungkin dakwah Islam itu tidak sampai disebabkan kelemahan umat islam sendiri, maka bagaimana agaknya kita hendak mempertahankan diri?

Berapa ramai orang tidak langsung tertarik dengan Islam disebabkan keburukan akhlak orang Islam, atau disebabkan kemunduran umat Islam, atau disebabkan pecah belah yang berlaku di kalangan umat Islam, dan pertumpahan darah di sana sini dalam dunia Islam.

Satu-satunya cara melepaskan diri daripada persaksian ini adalah berusaha dengan sedaya yang mungkin!

Mungkin inilah yang menggerakkan Sheikh Ismail untuk menyampaikan sedikit tazkirahnya kepada sesiapa sahaj yang dijumpainya. Supaya nanti, bila bertemu Allah ta’ala, ketika diminta persaksiannya, maka dia akan berkata; “wahai tuhanku, aku telah sampaikan kepada sipolan dan sipolan, Inilah senarai namanya!”

Inilah contoh yang hidup di hadapan kami, yang Allah takdirkan bertemu dengan kami, yang menimbulkan satu kesedaran dalam diri kami, pada pagi itu, pada masa kami cuma menunggu para isteri yang pergi ke tandas.

Allahuakbar!

Categories: Hajj 1432H
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: