Home > Hajj 1432H > Petang Terakhir di Masjid Nabawi: Sheikh Arab berkaki satu

Petang Terakhir di Masjid Nabawi: Sheikh Arab berkaki satu

Petang itu merupakan petang terakhirku di masjid nabawi. Aku berazam untuk solat di saf pertama buat pertama kali. Seusai solat asar, aku terus melangkah menuju ke saf pertama, di hadapan ruangan raudhah yang tidak sunyi dari manusia, berdekatan dengan tempat solat jenazah. Alangkah pilunya pabila mendapati saf pertama telah hampir penuh. Kalau ada ruang pun sudah bertanda, sama ada dengan sejadah, rehal mahupun igal. Aku duduk di saf kedua, dengan harapan ada orang yang akan beredar apabila selesai berzikir.

Saat-saat akhirku di sini kurasakan amat berharga, lalu segera aku memulakan zikir ma’thurat dan diikuti dengan tilawah al-quran. Saf hadapanku masih penuh, tiada yang beredar. Ruang-ruang bertanda juga mula dipenuhi sipemilik tanda-tanda itu.

Makanan berbuka puasa mula dihidangkan untuk mereka yang berpuasa sunat hari khamis. Seingat aku, dalam minggu ini setiap hari ada disediakan juadah berbuka untuk mereka yang berpuasa sunat, bermula dengan puasa sunat hari isnin yang juga jatuh pada tanggal 9 Muharram, diikuti hari asyura pada 10 Muharram dan 11 Muharram yang jatuh pada hari Rabu. Sungguh jelas bahawa sunnah berpuasa sunat ini begitu diamalkan sambil mereka berebut-rebut mencari pahala tambahan, menyediakan makanan untuk berbuka.

Waktu maghrib hampir tiba. Tempat disebelah kananku diminta dikosongkan untuk memberi ruang kepada ahli keluarga jenazah. Azan maghrib berkumandang diikuti dengan  juadah berbuka puasa yang ringkas. Solat maghrib terakhirku di masjid nabawi aku kerjakan di saf kedua. Di dalam kecilku, aku terus berdoa untuk dapat solat di saf pertama. Mungkin untuk solat isyak nanti. Teringatku kata-kata mutawwif kami siang tadi yang melafazkan sebuah hadith yang lebih kurang maksudnya, “andai manusia mengetahui kelebihan solat di saf pertama, nescaya mereka akan berebut-rebut mendapatkannya.” Mungkin rezekiku bersolat di saf pertama belum tiba.

Sesudah solat maghrib, solat jenazah dan solat sunat ba’diah, kutinggalkan tempat dudukku untuk ke tandas dan memperbaharui wudhuk. Harapanku untuk solat di saf pertama makin tipis apabila tempat di saf kedua itu terpaksa kutinggalkan.

 

Solat Isyak terakhir….

Aku berjalan masuk ke Masjid Nabawi untuk solat isyak yang terakhir di sini. Malam ini aku akan bertolak pulang setelah hampir sembilan hari di Kota Suci Madinah. Aku masuk melalui Bab As-salam, yang selalunya sesak dengan mereka yang mahu menziarahi maqam Rasulullah. Aku terus menuju saf-saf yang paling hadapan. Seperti solat maghrib tadi, kebanyakan ruang telah berpunya. Aku terus berdoa dan berharap. Semoga Allah takdirkan yang terbaik untukku. Akhirnya aku duduk di saf ketiga.

Tiba-tiba, seorang jemaah di hadapanku yang tadinya khusyuk membaca al-quran bangun dan meletak mushaf Al-Qurannya di atas rak, lalu berlalu pergi. Baru sahaja aku hendak bangun dan duduk di ruang kosong itu, masuk seorang sheikh bertongkat dua. Dia terus menuju tempat kosong tadi, lalu menguiskan tongkat kirinya kepada seorang jemaah yang duduk berhampiran dengan tiang, sambil mengisyaratkan supaya tongkatnya di sandarkan ke tiang tersebut. Sambil bersandar kepada sebelah lagi tongkat di kanannya, sheikh tadi terus menunaikan dua rakaat solat sunat.

Mataku yang sejak tadi asyik memerhatikan sheikh tadi mula berlinangan dengan air mata. Bagaimana seorang tua berkaki satu, yang mana kaki kanannya kudung pada paras pangkal peha tidak menguzurkan diri daripada solat di masjid.

Usai solat sunat, sheikh tua berkaki satu tadi duduk sambil tongkatnya terjulur ke saf kami. Apabila azan isyak berkumandang, seorang tua disebelahku mula tidak senang apabila ruang sujudnya terhalang dengan hujung tongkat tadi. Dia meminta supaya tongkat itu dialih dan disandar di tepi tiang. Mungkin sangkanya, sheikh tua berkaki satu akan terus solat dalam keadaan duduk tanpa memerlukan tongkat. Sesudah azan, sheikh tua berkaki satu terus bangun untuk solat sunat dua rakaat.

Setiap gerakan solatnya tidak terlepas dari pandangan mataku. Aku takjub, tiada satu rukun pun yang dilakukan melainkan semuanya sempurna, meskipun dengan segala susah payah dengan bertopangkan satu tongkat.

Linangan airmataku berterusan sepanjang solat isyak, solat jenazah dan solat sunat ba’diah. Semuanya dikerjakan dengan sempurna oleh sheikh berkaki satu tadi. Inilah solat-solat yang kurasakan betapa banyaknya nikmat yang Allah telah kurniakan selama ini, sambil aku bertanya kepada diriku, dengan nikmat sebanyak ini, sudah berapa banyak solat fardhu yang tidak kukerjakan di masjid dengan berjemaah?

Bila tiba masa sheikh tadi berlalu pergi, dia bangun dan berpusing ke belakang. Aku segera mencapai sebelah lagi tongkatnya yang tersandar di tiang lalu kuhulurkan padanya. Ku perhatikan wajahnya yang tersenyum, tiada tanda kesusahan, kepayahan, kepenatan atau kesesalan terhadap nasib dirinya. Ku peluk sheikh tadi lalu kudengar ucapan doa dari mulutnya “baarakallahu fiik”. Air mataku terus bercucuran.

Wallahi, inilah tazkirah terbaik sebelum ku berlalu pergi meninggalkan masjid ini. Kalaulah sheikh arab berkaki satu tidak menguzurkan dirinya daripada solat fardhu di masjid, dengan sempurna setiap rukunnya, tanpa meninggalkan solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat qabliah dan ba’diah, apa alasan yang bakal aku ajukan di hadapan Allah nanti, bila ditanya apa yang kau telah kerjakan dengan anggota badanmu yang sempurna itu?

Aku menanam azam untuk terus istiqamah dengan solat fardhu berjemaah di masjid. Terngiang-ngiang sepotong lagi hadith Rasulullah bila ditanya oleh sahabat yang sakit, apakah dia juga perlu ke masjid untuk solat berjemaah? Apa jawab Rasulullah? Seandainya ada dua orang yang boleh memapahmu ke masjid, maka solatlah di masjid.

Categories: Hajj 1432H
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: