Home > Life Notes, Sharing > Salam Aidilfitri 1431H

Salam Aidilfitri 1431H

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Dan kepada Allahlah segala puji-pujian.

Sempena sambutan ‘Aidilfitri kali ini, marilah kita dengan tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran kepada Allah, atas nikmat Ramadhan yang telah sama-sama kita lalui. Marilah kita terus menerus menyatakan puji-pujian kita kepada Allah s.w.t melalui takbir, tasbih dan tahmid. Sesungguhnya kita memuji Allah atas kemenangan kita memerdekakan diri dari belenggu hawa nafsu, melalui ibadah sepanjang bulan Ramadhan. Kami ucapkan “Taqabballahu minna wa minkum”, semoga allah menerima segala amalan kita semua, Insya Allah. Semoga setiap Ramadhan yang berlalu akan meningkat darjat kita di sisi Allah, menambahkan ketaqwaan kita, memantapkan keimanan kita dan memperteguhkan keazaman kita untuk terus berusaha memperbaiki diri kita menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Antara cara kita menyatakan kesyukuran kita adalah dengan beristiqamah dengan amal ibadah yang telah kita lazimi sepanjang bulan Ramadhan. Tilawah al-quran yang kita usahakan sehingga khatam pada bulan Ramadhan hendaklah kita cuba teruskan sehingga ke Ramadhan akan datang. Kebiasaan bangun awal pagi untuk bersahur seharusnya kita teruskan dengan solat-solat sunat qiam sebelum tibanya waktu subuh. Ibadah puasa pula kita teruskan sekurang-kurangnya enam hari di bulan syawal supaya kita dapat mengecapi ganjaran seumpama berpuasa selama setahun seperti yang Allah janjikan. Pada bulan-bulan akan datang, ibadah puasa boleh diteruskan dengan puasa sunat pada hari isnin dan khamis atau pada pertengahan setiap bulan, ata puasa-puasa sunat yang lain. Seandainya kita telah membiasakan diri kita untuk memakmurkan masjid-masjid dan surau-suaru kita untuk solat sunat terawih sepanjang Ramadhan, maka janganlah kita merasa berat untuk melangkah ke masjid untuk setiap solat fardhu yang juga menjadi tuntutan untuk kita, terutamanya kaum adam. Semoga ibadah kita pada Ramadhan yang lalu, bukan sekadar kenangan semusim, tapi membuahkan kesan yang berlarutan hingga Ramadhan akan datang.

Rakan Belia yang dikasihi,

Marilah kita mengambil peluang Hari Raya Aidilfitri ini untuk kita berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa, mengeratkan tali silaturrahim, menghubungkan yang jauh, memesrakan yang dekat. Inilah peluang untuk kita saling menziarahi dan berjumpa dengan sanak saudara yang tinggal berjauhan. Semoga ikatan silaturrahim yang erat dan ukhuwwah yang mantap ini akan dapat memberi manfaat kepada kita, di dunia dan akhirat. Sejarah umat Islam terdahulu mengajarkan kepada kita bahawa setiap hubungan kemanusiaan ini, baik hubungan berasaskan kekeluargaan, hubungan sesama saudara-mara, hubungan berasaskan kaum kerabat, semuanya dapat memberi kesan yang positif dalam membentuk kekuatan umat Islam, sekiranya semuanya didasarkan kepada Islam.

Pada masa kita mengecapi kemeriahan sambutan aidilfitri ini juga, marilah kita sama-sama memastikan bahawa sambutan aidilfitri kita jauh daripada perkara-perkara yang merosakkan keberkatan aidilfitri seperti hiburan dalam bentuk yang bercanggah dengan Islam, pembaziran dan pergaulan yang tidak mengikut batas syarak. Marilah kita jadikan Islam sebagai panduan kita dalam segenap aspek kehidupan. Jangan pula kita biarkan hawa nafsu yang telah kita didik selama sebulan dalam bulan Ramadhan dibiarkan bermaharajalela dalam sambutan Aidilfitri.

Akhir kata, bergembiralah kerana inilah perayaan kejayaan kita. Dan berdoalah supaya kita ditemukan dengan Ramadhan yang akan datang. Semoga Allah menerima segala amalan kita, Amin.

Selamat Hari Raya,

Maaf Zahir & Batin.

Zaizul Azizi bin Zaman,
Presiden,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Categories: Life Notes, Sharing
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: