Home > Life Notes, Sharing > Ramadhan: Mendalami Erti Kemerdekaan

Ramadhan: Mendalami Erti Kemerdekaan

Fokus
Ramadhan sudah menghampiri penghujungnya. Detik-detik yang berlalu begitu pantas sekali meninggalkan kita semua. Semoga dengan berlalunya Ramadhan kali ini, akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kita, kesan daripada pengalaman melalui fasa rahmat daripada Allah dalam 10 hari yang pertama, fasa kedua yang dijanjikan keampunan buat hamba-hambaNya dan fasa terakhir yang dijanjikan jaminan keselamatan daripada api neraka sebagaimana atsar yang selalu kita dengari.

Ramadhan mengajar kita untuk memerdekakan diri kita daripada belenggu hawa nafsu. Ibadat puasa menuntut kita untuk menahan diri daripada perkara-perkara yang halal dan harus, malah perkara yang menjadi keperluan dalam kehidupan kita. Kita meninggalkan makan dan minum, dan segala perkara yang membatalkan puasa pada siang hari demi mencapai ketaqwaan. Di sebelah malamnya pula kita disunatkan untuk bersolat terawih dan bangun awal pagi untuk bersahur. Semua ini mengajar kita nilai-nilai ketaqwaan, apabila kita mampu mengawal diri daripada berlebih-lebihan dalam perkara harus yang halal, tentunya kita akan lebih mampu mengawal diri daripada terjebak dalam perkara-perkara dosa yang diharamkan oleh Allah, demi kebaikan hambanya. Dalam hari-hari terakhir di bulan yang mulia ini, marilah kita gandakan lagi amalan kita, mencari ‘lailatul qadar’ yang Allah janjikan yang mana ganjarannya umpama beribadah selama 1000 bulan.

Betapa  nilai-nilai yang dipupuk melalui amal ibadah di bulan Ramadhan ini adalah nilai kemerdekaan yang sejati. Merdeka daripada belenggu hawa nafsu adalah kemerdekaan tertinggi yang mampu dicapai oleh seseorang. Jiwa yang merdeka akan mampu membuat penilaian yang rasional, dipandu oleh akal dan ilmu, bukan menurut hawa nafsu, atau bukan sekadar menjadi pak turut kepada trend semasa, atau menjadi seperti lalang yang melentur menurut ke mana sahaja arah angin membawanya. Kemerdekaan jiwa ini memberi erti yang jauh lebih bernilai. Sebagaimana kata-kata Bilal bin Rabah ketika beliau masih dibelenggu perhambaan, “Jasadku boleh diperhambakan, tapi tiada siapa yang memiliki hatiku selain Allah yang satu.”

Hari ini, ketika Hari Kebangsaan disambut ke sekian kalinya saban tahun pada 31 Ogos, sempena hari perisytiharan kemerdekaan, kita menyaksikan jiwa-jiwa belia kita yang masih belum mengenal erti dan hakikat merdeka. Mereka menjadi mangsa eksploitasi daripada pelbagai sudut. Dari sudut ekonomi, mereka diperhambakan sebagai pengguna yang taat, apa jua yang disogok akan diterima sebagai “the in thing“, “cool“, fesyen yang terkini dan pelbagai lagi. Dari sudut budaya dan falsafah hidup, apa sahaja yang ditonjolkan akan mendapat sanjungan, asalkan sahaja ada ikon atau idol yang kena dengan citarasa mereka. Di sana tiada neraca nilai, tiada panduan agama, adat dan kebiasaan juga tertolak ke tepi dan dituduh sebagai kolot. Apa yang kita saksikan melalui berita-berita jenayah, gejala sosial, pergaulan tanpa batas, seks bebas, zina, mengandung luar nikah, buang bayi, rempit dan pelbagai lagi adalah hasil daripada jiwa yang belum merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.

Sempena sambutan hari kemerdekaan tahun ini, saya ingin menyeru semua pihak untuk menghayati nilai-nilai sebenar sebuah kemerdekaan. Merdekakah kita seandainya kita masih terbelenggu dengan cara fikir yang dirantai oleh penjajah ke atas diri kita? Merdekakah diri kita seandainya harga diri kita cuma dinilai melalui jenama yang kita pakai? Merdekakah kita seandainya kita menjadi mangsa eksploitasi ekonomi yang menindas? Merdekakah kita seandainya anak gadis kita sanggup menggadai harga diri demi memastikan mereka diterima sebagai moden dan berfikiran terbuka? Merdekakah jiwa anak gadis kita yang menerima nilaian matawang sebagai harga kesucian dirinya?

Kemerdekaan yang hakiki, sebagaimana yang dibawa oleh Islam, yang menerangi zaman jahiliyyah yang dibelenggu kegelapan, ialah meletak manusia pada darjat yang sebenarnya, jauh lebih tinggi daripada nafsu kebinatangan, dan mencapai darjat kemuliaan di sisi Allah, sebagai khalifahNya di muka bumi. Sekali lagi saya ungkapkan kata-kata Rubai’ bin Amir di hadapan Rustum, panglima tentera Parsi. Kata-kata keramat ini menjadi mercu tanda kemerdekaan yang sejati; “Sesungguhnya kami datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah yang Esa, membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, membebaskan manusia daripada kezaliman pelbagai anutan, kepada keadilan Islam.”

Inilah kemerdekaan yang hakiki.

Selamat beribadah di bulan Ramadhan, semoga Syawal yang menjelang bakal disambut dalam suasana kemerdekaan yang penuh keberkatan. Selamat menyambut Hari Kemerdeklaan ke-53.

Categories: Life Notes, Sharing
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: